PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VII - PERUNTUKAN KEWANGAN
Bab 1 - Am




Perkara 99. Penyata kewangan tahunan.

(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah, berkenaan dengan tiap-tiap tahun kewangan, menyebabkan dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat suatu penyata terimaan dan perbelanjaan yang dianggarkan bagi Persekutuan untuk tahun itu, dan, melainkan jika diperuntukkan selainnya oleh Parlimen berkenaan dengan mana-mana tahun, penyata itu hendaklah dibentangkan sedemikian sebelum permulaan tahun ini.

Dengan syarat bahawa bolehlah ada penyata-penyata yang berasingan bagi terimaan yang dianggarkan dan perbelanjaan yang dianggarkan, dan dalam hal sedemikian tidaklah perlu penyata terimaan itu dibentangkan sedemikian sebelum permulaan tahun yang dimaksudkan oleh penyata itu.

(2) Anggaran perbelanjaan itu hendaklah menunjukkan--

(a) jumlah wang yang dikehendaki untuk membayar perbelanjaan yang dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan; dan

(b) tertakluk kepada Fasal (3), jumlah wang yang dikehendaki untuk membayar perbelanjaan bagi maksud lain yang dicadangkan dibayar daripada Kumpulan Wang Disatukan.

(3) Jumlah wang yang hendaklah ditunjukkan di bawah perenggan (b) Fasal (2) tidak termasuk--

(a) jumlah wang yang merupakan hasil daripada apa-apa pinjaman yang diperdapatkan oleh Persekutuan bagi maksud tertentu dan yang diuntukkan bagi maksud itu oleh Akta yang membenarkan pinjaman itu diperdapatkan;

(b) jumlah wang yang merupakan apa-apa wang atau bunga atas wang yang diterima oleh Persekutuan yang tertakluk kepada suatu amanah dan yang hendaklah digunakan mengikut terma-terma amanah itu;

(c) jumlah wang yang merupakan apa-apa wang yang dipegang oleh Persekutuan yang telah diterima atau diuntukkan bagi maksud apa-apa kumpulan wang amanah yang ditubuhkan oleh atau mengikut undang-undang persekutuan.

(4) Penyata tersebut hendaklah juga menunjukkan, setakat yang dapat dilaksanakan, aset dan liabiliti Persekutuan pada akhir tahun kewangan yang baru genap, cara aset itu dilaburkan atau dipegang, dan maksud am yang berkenaan dengannya liabiliti itu masih belum selesai.

____________________________________________
CATATAN


Per. 99:

Lihat Per. 120(b).

Fasal (1): proviso ditambahkan oleh Akta 14/1962, subseksyen 18(1), berkuat kuasa dari 21-6-1962.

Fasal (2): Fasal (2) yang asal berbunyi seperti yang berikut:

"(2) Anggaran perbelanjaan itu hendaklah menunjukkan secara berasingan-

(a) jumlah wang yang dikehendaki untuk membayar perbelanjaan yang dipertanggungkan pada kumpulan Wang Disatukan; dan

(b) tertakluk kepada Fasal (3), jumlah wang yang masing-masing dikehendaki untuk membayar kepala-kepala perbelanjaan bagi perbelanjaan lain yang dicadangkan dibayar daripada Kumpulan Wang Disatukan.".

Fasal (3):

1. Perenggan (c) ditambahkan oleh Akta 14/1962, subseksyen 18(2), berkuat kuasa dari 21-6-1962.

2. Lihat Per. 100, 104(2).

Fasal (4): Perkataan "kepala-kepala" digantikan dengan "maksud" oleh Akta A354, seksyen 18, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas