|ENGLISH

 

[ ]

 

BANTUAN KHAS KEWANGAN (BKW) RM500

PRINSIP DAN SYARAT PEMBERIAN

BANTUAN KHAS KEWANGAN (BKW) RM500

 

 

1.       Kategori penerima pencen yang LAYAK dibayar BKW?  

1.1 Pesara dan penerima pencen bagi semua gred di  dalam -

(a)  Perkhidmatan Awam Persekutuan (termasuk Polis Diraja Malaysia) dan Negeri;

(b)  Perkhidmatan Pihak-pihak Berkuasa Berkanun (Persekutuan dan Negeri) dan Tempatan; dan

(c)  Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia.

1.2 Penerima semua jenis pencen (pencen perkhidmatan, pencen hilang upaya, pencen terbitan dan pencen tanggungan) elaun tanggungan, elaun bersara dan elaun bersara terbitan bagi perkhidmatan-perkhidmatan seperti di perenggan 1.1 yang layak menerimanya dari 25.08.2010  hingga 31.12.2010. 

1.3 Penerima pencen yang tidak bermastautin di Malaysia di sisi undang-undang pencen.

 

2.       Kategori pesara / penerima pencen yang TIDAK LAYAK dibayar BKW ?

2.1 Penerima pencen bagi:

(a) Perkhidmatan sebagai Ahli Parlimen atau Anggota Pentadbiran;

(b) Perkhidmatan sebagai Setiausaha Politik; dan

(c) Perkhidmatan sebagai Hakim.

(d)  Skim Pencen Balu dan Anak Yatim (Semenanjung, Sabah dan Sarawak).

2.2  Pesara yang tarikh persaraannya ialah pada atau selepas 31.12.2010 dan selepasnya; atau

2.3  Penerima pencen terbitan kerana kematian pegawai dalam perkhidmatan pada 31.12.2010 dan selepasnya (iaitu mereka yang dibayar pencen mulai 1.1.2011). 

2.4  Pesara yang bersara secara pilihan atau persaraan atas dasar penswastaan atau pengkorporatan yang berkuat kuasa pada atau sebelum 31.12.2010 tetapi tidak layak menerima pencen pada atau sebelum 31.12.2010 kerana belum memenuhi syarat-syarat umur dan / atau tempoh perkhidmatan dalam pertubuhan, mana yang berkenaan.   

 

3.       Apakah cara pembayaran BKW kepada pesara / penerima pencen? 

3.1             BKW akan dibayar kepada pesara/penerima pencen melalui 2 cara iaitu  

(i)     Secara automatik bagi pesara / penerima pencen yang sedang dibayar melalui bank. 

(ii)     Secara manual bayaran dengan menggunakan waran bagi : 

        Pembayaran pencen melalui waran tahunan bagi pesara / penerima pencen terbitan di Sabah dan Sarawak 

        Penerima yang tidak boleh menguruskan pencen sendiri; 

        Pesara yang dikenakan prosiding ke arah bankrap; 

        Pesara yang diisytiharkan bankrap; 

        Pesara yang dipenjarakan atau telah keluar penjara (penerima elaun tanggungan); 

        Berada di luar negeri; dan 

        Penerima pencen yang dibayar melalui Amanah Raya Berhad (ARB). 

(iii)    ATM akan mengurus pembayaran BKW kepada pesaranya sendiri. Walau bagaimanapun, bagi maksud mendapatkan peruntukan, perlu memohon kelulusan Pegawai Pengawal  iaitu KPPA. 

3.2     Pegawai/kakitangan yang akan dibayar pencen pada atau sebelum 31 Disember 2010 adalah layak dibayar BKW.   

3.3     Penerima pencen terbitan akan dibayar berasaskan pembahagian sama rata antara akaun penerima pencen. 

4.       Adakah pemberian BKW ini berhubung kait dengan pemberian Imbuhan Tahunan kepada sektor awam baru-baru ini?

Pemberian BKW tidak ada hubung kait dengan pemberian Imbuhan Tahunan kepada anggota-anggota sektor awam yang sedang berkhidmat ataupun penyelarasan pencen di bawah mana-mana undang-undang pencen. 

5.       Bagaimana dengan penerima pencen yang memiliki dua pencen atau lebih dari satu faedah persaraan yang dibayar setiap bulan?

Hanya satu BKW akan diberi bagi seorang pengkhidmat, tidak kira berapa pencen yang dibayar bagi perkhidmatan / perkhidmatan-perkhidmatannya itu.

Contoh 1:

Puan A sedang menerima pencen terbitan dan pencen tanggungan bagi gemulah suaminya yang telah meninggal dunia dalam perkhidmatan ekoran kemalangan dalam perjalanan, maka beliau akan diberi satu BKW.

Contoh 2:

Puan B, yang telah bersara atas sebab kesihatan ekoran kemalangan dalam perjalanan, sedang menerima pencen perkhidmatan dan pencen hilang upaya, maka beliau akan diberi satu  BKW. 

6.       Bagaimana dengan pesara yang menerima pencen dan pencen terbitan bagi gemulah pasangannya?

Pesara yang menerima pencen perkhidmatan dan juga menerima pencen terbitan dan / atau pencen tanggungan sebagai balu atau duda / ibu atau bapa akan diberi dua atau lebih BKW atas dasar satu BKW bagi setiap pengkhidmat.

Contoh 1:

Encik C, seorang duda, sedang menerima pencen perkhidmatan bagi perkhidmatannya sendiri serta pencen terbitan bagi gemulah isterinya, maka beliau akan diberi dua BKW.

Contoh 2:

Puan D, seorang balu, sedang menerima pencen perkhidmatan bagi perkhidmatannya sendiri, pencen terbitan bagi gemulah suaminya serta pencen tanggungan  (ibu) bagi gemulah anaknya, maka beliau akan diberi tiga BKW.

7.       Adakah BKW ini akan dibayar secara pro rata (proration) jika tarikh persaraan tidak mencukupi genap sebulan?

Anggota-anggota yang bersara pada bila-bila masa dalam tempoh 1.1.2010 sehingga 30.12.2010 layak menerima pencen ketika bersara akan dibayar BKW sepenuhnya (RM500.00), tanpa pro rata (proration). 

8.       Bagaimanakah kaedah pemberian BKW kepada balu-balu gemulah yang lebih dari satu?

Pemberian BKW kepada penerima-penerima pencen terbitan dan pencen tanggungan dibuat berlandaskan pembahagian sama rata di antara akaun penerima pencen

Prinsip ini adalah untuk membolehkan pemberian sebahagian BKW kepada ibu atau bapa gemulah sebagai penerima pencen tanggungan dalam kes di mana pencen terbitan juga diberi kepada balu / duda dan / atau anak gemulah, tanpa BKW melebihi kadar RM500.00 bagi satu pengkhidmat.

Contoh:

Dalam kes kematian seorang gemulah, pencen terbitan dibahagikan kepada tiga akaun penerima, iaitu Balu Pertama (yang juga menerima bahagian pencen terbitan bagi dua orang anak kandungnya), Balu Kedua yang juga menerima bahagian pencen terbitan bagi seorang anak kandungnya serta seorang anak melebihi 18 tahun yang menerima pencen terbitan atas akaun penerima pencennya sendiri.  Walaupun pembahagian pencen terbitan adalah mengikut nisbah 4/8 kepada Balu Pertama, 3/8 kepada Balu Kedua dan 1/8 kepada anak yang melebihi umur 18 tahun itu, pembahagian BKW ialah 1/3 tiap-tiapnya bagi Balu Pertama, Balu Kedua dan anak.  Sekiranya kematian gemulah juga membawa pembayaran pencen tanggungan kepada semua balu dan anak itu serta ibu gemulah, pembahagian BKW ialah berasaskan penerimaan pencen tanggungan (dan bukan pencen terbitan) kerana ini membolehkan pembayaran BKW kepada ibu juga.  Dalam contoh ini pembahagian ialah tiap-tiapnya bagi Balu Pertama, Balu Kedua, anak dan ibu gemulah.

9.       Bagaimana pula pembayaran BKW kepada penerima yang:

i.   dikehendaki membayar balik hutang dengan kerajaan?

ii.  membayar tanggungan nafkah mengikut perintah Mahkamah?

iii. sedang memperoleh perlepasan daripada kebankrapan?

Bagi seseorang penerima pencen atau elaun tanggungan yang mana sebahagian atau keseluruhan pencennya digunakan untuk pembayaran balik hutang Kerajaan, pembayaran tanggungan nafkah mengikut perintah Mahkamah atau untuk memperoleh perlepasan daripada kebankrapan, BKW hendaklah dibayar kepada beliau sendiri dan bukan kepada pihak yang menerima sebahagian atau keseluruhan pencen beliau untuk tujuan-tujuan berkenaan. 

10.     Bagaimana pula jika penerima tunggal pencen terbitan  / elaun bersara terbitan meninggal dunia dalam tempoh 25.08.2010  hingga 31.12.2010 ?

Bagi penerima tunggal pencen terbitan / elaun bersara terbitan tetapi telah meninggal dunia dalam tempoh yang dinyatakan di perenggan 1.2 sebelum sempat dibayar BKW, pembayaran kepada waris boleh dibuat dengan syarat ada probet atau surat mentadbir pusaka.

 

Jabatan Perkhidmatan Awam
Bahagian Pasca Perkhidmatan

27 Ogos 2010

 

[muat turun]