Jadual Kesepuluh- Pemberian dan Sumber Hasil yang Diserahhakkan kepada Negeri.


JADUAL KESEPULUH

[Perkara 109, 112C, 161C(3)]

Pemberian dan Sumber Hasil yang Diserahhakkan kepada Negeri

BAHAGIAN I

PEMBERIAN IKUT KEPALA


1. (1) Pemberian ikut kepala yang yang kena dibayar kepada setiap Negeri berkenaan dengan sesuatu tahun kewangan hendaklah mengikut kadar yang berikut:

(a) bagi 100,000 orang yang pertama mengikut kadar RM72.00 bagi tiap-tiap orang;

(b) bagi 500,00 orrang yang berikutnya mengikut kadar RM10.20 bagi tiap-tiap orang;

(c) bagi 500,000 orang yang berikutnya mengikut kadar RM10.80 bagi tiap-tiap orang;

(d) bagi yang selebihnya mengikut kadar RM11.40 tiap-tiap orang,

dan hendaklah berdasarkan unjuran kependudukan tahunan bagi Negeri itu sebagaimana yang ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan dan dihitung menurut bancian kependudukan yang lalu:

Dengan syarat bahawa jika bancian yang lalu itu telah dijalankan satu tahun sebelum permulaan tahun kewangan, maka

pemberian bagi tahun tertentu itu hendaklah berdasarkan kependudukan, sebagaimana yang ditentukan oleh bancian kependudukan itu.

2. (Dimansuhkan).

 

BAHAGIAN II

PEMBERIAN JALAN NEGERI


2. Pemberian jalan Negeri yang kena dibayar kepada setiap Negeri Tanah Melayu berkenaan dengan sesuatu tahun kewangan hendaklah dihitung dengan mendarabkan-

(a) kos purata bagi sesuatu Negeri untuk menyenggarakan sebatu jalan Negeri mengikut standard minimum yang ditentukan bagi jalan-jalan Negeri di dalam Negeri yang berkenaan oleh Kerajaan Persekutuan selepas berunding dengan Majlis Kewangan Negara; dengan

(b) sekian panjang perbatuan jalan-jalan Negeri di dalam Negeri itu yang layak mendapat pemberian

3. Bagi maksud seksyen 2-

(a) perbatuan jalan-jalan Negeri di dalam sesuatu Negeri ialah perbatuan jalan-jalan Negeri itu yang ada pada tiga puluh satu hari bulan Disember dalam tahun kewangan yang terdahulu, dan kos purata yang disebut dalam perenggan (a) seksyen itu ialah kos purata di dalam Negeri itu yang dihitung dalam tahun kewangan yang terdahulu; dan

(b) penyenggaraan jalan-jalan Negeri ertinya pemeliharaan, penjagaan dan pemulihan jalan-jalan Negeri, perabot tepi jalan, jambatan, jejambat atau pembetung yang menjadi sebahagian daripada jalan itu atau yang bersambung dengannya dengan seberapa hampir yang mungkin dengan keadaan asalnya sebagaimana yang dibina atau sebagaimana yang dibaiki kemudiannya.

4. Sesuatu batang jalan Negeri, jika jalan itu sebenarnya disenggarakan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri itu mengikut standard minimum atau yang lebih tinggi daripadanya sebagaimana yang disebut dalam seksyen 2(a) dan sesuatu batang mana-mana jalan di dalam had kawasan sesuatu pihak berkuasa tempatan jika jakan itu diperakui oleh Jabatan Kerja Raya Negeri itu sebagai termasuk dalam standard kelayakan dan disenggarakan mengikut standard minimum atau yang lebih tinggi daripadanya sebagaimana yang disebut dalam seksyen 2(a) layak mendapat pemberian.

5. Dalam bahagian ini dalam Jadual ini. "jalan Negeri" ertinya mana-mana jalan awam, selain jalan persekutuan, dan mana-mana jalan lain, selain jalan persekutuan, yang boleh dilalui oleh orang ramai.

6. (1) Pemberian jalan Negeri yang kena dibayar kepada Sabah atau Sarawak dalam setipa tahun 1964 dan 1965 hendaklah dibayar mengikut kadar RM4,500 sebatu berkenaan dengan perbatuan di Sabah sepanjang 1,151 batu dan di Sarawak mengikut apa-apa amaun sebagaimana yang dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan denga Kerajaan Negeri.

(2) Selepas itu, seksyen 2 hingga 5 hendaklah terpakai bagi pemberian jalan Negeri yang kena dibayar sedemikian dengan

ubah suaian yang berikut:

(a) standard minimum yang disebut dalam seksyen 2(a) ialah standard minimum yang ditentukan bagi jalan-jalan Negeri di dalam Negeri itu; dan

(b) mana-mana batang jalan yang disenggarakan oleh sesuatu pihak berkuasa tempatan atas perbelanjaan Negeri hendaklah dikira sebagai disenggarakan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri itu.

BAHAGIAN III

SUMBER HASIL YANG DISERAHHAKKAN
KEPADA NEGERI


1. Hasil daripada kedai tuak.

2. Hasil daripada tanah, lombong dan hutan.

3. Hasil daripada lesen-lesen selain lesen-lesen yang berkaitan dengan kenderaan yang didorong secara makenik, pepasangan elektrik dan pendaftaran perniagaan.

4. Duti hiburan.

5. Fi di dalam mahkamah, selain mahkamah persekutuan.

6. Fi dan terimaan berkenaan dengan perkhidmatan tertentu yang diberikan oleh jabatan-jabatan Kerajaan Negeri.

7. Hasil lembaga-lembaga bandaran, majlis-majlis bandaran, lembaga-lembaga luar bandar, majlis-majlis tempatan dan pihak-pihak berkuasa tempatan yang seumpamanya selain-

(a) perbandaran-perbandaran yang ditubuhkan di bawah mana-mana Ordinan Perbandaran;

(b) lembaga-lembaga bandaran, majlis-majlis bandaran, lembaga-lembaga luar bandar, majlis-majlis tempatan dan pihak-pihak berkuasa tempatan yang seumpamanya yang mempunayi kuasa do bawah undang-undang bertulis untuk memegang simpan hasilnya dan mengawal perbelanjaan hasilnya itu.

8. Terimaan hasil berkenaan dengan bekalan air, termasuk kadar air.

9. Sewa mengenai harta Negeri.

10. Bunga atas baki wang Negeri.

11. Terimaan daripada jualan tanah dan jualan harta Negeri.

12. Denda dan perlucuthakan di dalam mahkamah selain mahkamah persekutuan.

13. Zakat, Fitrah dan Baitulmal dan hasil agama Islam yang seumpamanya.

14. Harta karun.

BAHAGIAN IV

PEMBERIAN KHAS KEPADA NEGERI
SABAH DAN SARAWAK


1. (1) Dalam hal Sarawak, pemberian sebanyak RM5,800,000 dalam setiap tahun.

(2) Dalam hal Sarawak, pemberian yang amaunnya dalam tahun 1964 dan setiap tahun selama empat tahun yang

berikutnya ialah masing-masingnya RM3 1/2 juta, RM7 juta, RM 11 1/2 juta dan RM21 juta, dan dalam tahun-tahun yang kemudiannya hendaklah ditetapkan mengikut satu kajian semula di bawah Perkara 112D.


2. (1) Dalam hal Sabah, pemberian yang amaunnya sama banyak dalam setiap tahun dengan du perlima daripada amaun yang hasil bersih yang didapati oleh Persekutuan dari Sabah itu melebihi hasil bersih yang akan didapati sedemikian oleh Persektuan dalam tahun 1963 jika-

(a) Akta Malaysia telah berkuat kuasa dalam tahun itu seperti dalam tahun 1964; dan

(b) hasil bersih bagi tahun 1963 dihitung tanpa mengambil kira apa-apa perubahan mengenai apa-apa cukai atau fi yang dibuat pada atau selepas Hari Malaysia,

("hasil bersih" ertinya bagi maksud ini hasil yang terakru kepada Persekutuan, ditolak amaun yang diterima oleh Negeri berkenaan dengan penyerahhakkan hasil itu).

(2) Dalam hal Sabah, bagi mana-mana tahun sebelum 1968 yang dalamnya pemberian jalan Negeri yang kurang dari

RM5,179,500, suatu tambahan kepada pemberian itu yang amaunnya sama banyak dengan kekurangan itu.


3. Dalam mana-mana satu hal, bagi mana-mana tahun sebelum tahun 1974 dan, jika pada permulaan tahun 1974 Badan Perundangan Negeri mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang mengenai pembawaan penumpang dan barangan mengikut jalan darat atau mengenai kenderaan jalan yang didorong secara makenik, maka dalam masa kuasa itu berterusan, suatu pemberian yang sama banyaknya dengan kos yang kena dibayar oleh Negeri itu dalam tahun itu bagi jabatan pengangkutan jalan Negeri itu.

BAHAGIAN V

SUMBER TAMBAHAN HASIL YANG DISERAHHAKKAN
KEPADA NEGERI SABAH DAN SARAWAK


1. Duti import dan duti eksais atas keluaran pertroleum.

2. Duti eksport atas balak dan hasil hutan lain.

3. Selgai royalti yang dilevikan oleh Negeri ke atas apa-apa mineral yang boleh dikenakan duti eksport, selain timah (tetapi termasuk minyak mineral) tidak berjumlah 10 peratus ad valorem yang dihitung seperti bagi maksud duti eksport, duti eksport atas mineral itu atau apa-apa bahagian daripada duti eksport yang menhasikan jumlah royalti dan duti atas mineral yang dieksport hingga 10 peratus ad valorem yang dihitung sedemikian.

4. Dalam hal Sabah selagi perubatan dan kesihatan masih menjadi suatu butiran dalam Senarai Bersama dan perbelanjaan berkenaan dengan butiran itu ditanggung oleh Negeri itu, 30 peratus daripda segala hasil kastam selain hasil kastam berkenaan dengan duti-duti yang disebut dalam seksyen 1, 2 dan 3.

5. Bagi mana-mana tahun sebelum 1974 dan, jika pada permulaan tahun 1974 Badan Perundangan Negeri mempunayi kuasa untuk membuat undang-undang mengenai pembawaan penumpang dan barangan mengikut jalan darat atau mengenai kenderaan jalan yang didorong secara makenik atau lesen-lesen berkaitan dengan kenderaan-kenderaan itu, maka, dalam masa kuasa itu berterusan, fi daripada lesen-lesen itu.

6. Bagi mana-mana tahun sebelum tahun 1974, dan jika pada permulaan tahun 1974 Badan Perundangan Negeri mempunayi kuasa membuat undang-undang mengenai pendaftraran kenderaan yang didoraong secara makenik, maka dalam masa kuasa itu berterusan, fi daripada pendaftaran kenderaan-kenderaan itu.

7. Cukai-cukai jualan Negeri.

8. Fi dan dius daripada pelabuhan, selain pelabuhan persekutuan.

____________________________________________
CATATAN

Jadual Kesepuluh:

BAHAGIAN I: Lihat Per. 109(1)(a).

Seksyen 1(1): subseksyen ini digantikan oleh Akta A392, seksyen 2, berkuat kuasa dari 1-1-1976. Subseksyen ini yang asal berbunyi seperti berikut:

"1. (1) Pemberian ikut kepala yang kena dibayar kepada setiap Negeri berkenaan dengan sesuatu tahun kewangan hendaklah mengikut kadar yang berikut:

(a) bagi 50,000 orang yang pertama mengikut kadar $15 bagi tiap-tiap orang;

(b) bagi 200,00 orrang yang berikutnya mengikut kadar $10 bagi tiap-tiap orang;

(c) bagi yang selebihnya mengikut kadar $4 tiap-tiap orang,

dan hendaklah berdasarkan unjuran kependudukan Negeri itu sebagaimana yang ditentukan dalam bancian akhir yang dijalankan sebelum permulaan tahun kewangan yang terdahulu.".

Perkataan "dan hendaklah berdasarkan kependudukan Negeri itu sebagaimana yang ditentukan dalam bancian akhir yang dijalankan sebelum permulaan tahun kewangan yang terdahulu" digantikan dengan "dan hendaklah berdasarkan unjuran kependudukan tahunan bagi Negeri itu sebagaimana yang ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan dan dihitung menurut bancian kependudukan yang lalu:

Dengan syarat bahawa jika bancian yang lalu itu telah dijalankan satu tahun sebelum permulaan tahun kewangan,

maka pemberian bagi tahun tertentu itu hendaklah berdasarkan kependudukan, sebagaimana yang ditentukan oleh bancian kependudukan itu." oleh Akta A514, seksyen 18, berkuat kuasa dari 15-5-1981.

Seksyen 1(1): Perenggan (a), (b), (c) dan (d) yang berbunyi seperti yang berikut digantikan oleh Akta 503, seksyen 2, berkuat kuasa dari 1-1-1992:

"(a) bagi 100,000 orang yang pertama mengikut kadar $20 bagi tiap-tiap orang;

(b) bagi 150,00 orrang yang berikutnya mengikut kadar $10 bagi tiap-tiap orang;

(c) bagi 250,000 orang yang berikutnya mengikut kadar $6 bagi tiap-tiap orang;

(d) bagi yang selebihnya mengikut kadar $3 bagi tiap-tiap orang,".


Seksyen 1(1):Perenggan (a), (b), (c) dan (d) yang berbunyi seperti yang berikut digantikan oleh Akta 622, seksyen 2, berkuat kuasa dari 1-1-2002

(a) bagi 50,000 orang yang pertama mengikut kadar RM60.00 bagi tiap-tiap orang;

(b) bagi 500,00 orrang yang berikutnya mengikut kadar RM8.50 bagi tiap-tiap orang;

(c) bagi 500,000 orang yang berikutnya mengikut kadar RM9.00 bagi tiap-tiap orang;

(d) bagi yang selebihnya mengikut kadar RM9.50 tiap-tiap orang,".

Seksyen 1(2): Subseksyen ini yang berbunyi seperti yang berikut dimansuhkan oleh Akta 25/1963, seksyen 8, berkuat kuasa dari 29-8-1965:

"(2) Walau apa pun subseksyen (1) ,jika pemberian ikut kepala kena dibuat berkenaan dengan sesuatu tahun kewangan yang bermula sebelum satu haribulan Januari, seribu sembilan ratus lima puluh sembilan, maka pemberian itu hendaklah berdasarkan kependudukan Negeri itu sebagaimana yang ditentukan dalam bancian yang dijalankan dalam tahun seribu sembilan ratus lima puluh tujuh.".


BAHAGIAN II: Lihat Per. 109(1)(b).

Seksyen 2:

1. Perkataan "setiap Negeri" digantikan dengan "setiap Negeri Tanah Melayu" oleh Akta 26/1963, perenggan 51(a), berkuat kuasa dari 16-9-1963.

2. Lihat seksyen 3, 4, 6(2).

Perenggan (a): Perkataan "bagi sesuatu Negeri" yang terdapat selepas "kos purata" dimasukkan oleh Akta 25/1963, subseksyen 7(1), berkuat kuasa dari 1-1-1958, dan perkataan "jalan-jalan" digantikan dengan "jalan-jalan Negeri di dalam Negeri-Negeri yang berkenaan" oleh Akta 26/1963, perenggan 51(a), berkuat kuasa dari 16-9-1963. Perkataan "termasuk kos membaiki dan menyenggara apa-apa jambatan, jejambat atau pembetung yang menjadi sebahagian daripada jalan itu atau yang bersambung dengannya," yang terdapat selepas "jalan Negeri" dimasukkan oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 1-1-1963.

Seksyen 2(a):

Perkataan "termasuk kos membaiki dan menyenggara jambatan, jejambat atau pembetung yang menjadi sebahagian daripada jalan itu atau yang bersambung dengannya," dipotong daripada perenggan (a) selepas perkataan "jalan Negeri" oleh Akta A514, seksyen 18, berkuat kuasa dari 15-5-1981.

Seksyen 3:

1. Perkataan "Persekutuan" digantikan dengan "Negeri-Negeri Tanah Melayu" oleh Akta 26/1963, perenggan 51(b), berkuat kuasa dari 16-9-1963.

2. Lihat seksyen 6(2).

3. Seksyen ini digantikan oleh Akta A514, seksyen 18, berkuat kuasa dari 15-5-1981. Seksyen yang dahulu berbunyi seperti yang berikut:

"4. Sesuatu batang jalan Negeri layak mendapat pemeberian, jika jalan itu sebenarnya disenggarakan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri itu mengikut standard minimum atau standard yang lebih tinggi yang disebut dalam seksyen 2(a); melainkan bahawa mana-mana jalan yang tidak mendapat pemberian dalam tahun kewangan terdahulu layak mendapat pemberian hanya jika Kerajaan Persekutuan bersetuju bahawa jalan itu layak mendapatnya.".

Seksyen 5:

1. Perkataan "jalan lain, selain jalan persekutuan" digantikan dengan "jalan awam, selain jalan persekutuan, dan mana-mana jalan lain, selain jalan persekutuan yang boleh dilalui oleh orang ramai" oleh Akta 14/1962, berkuat kuasa dari 21-6-1962.

2. Lihat seksyen 6(2).

3. Seksyen ini digantikan oleh Akta 514, seksyen 18, berkuat kuasa dari 15-5-1981. Seksyen yang dahulu berbunyi seperti berikut:

"5. Dalam Bahagian ini dalam Jadual ini-


(a) "jalan Negeri" ertinya mana-mana jalan awam, selain jalan persekutuan, dan mana-mana jalan lain, selain jalan persekutuan yang boleh dilalui oleh orang ramai;

(b) "tahun asas" ertinya tahun kewangan yang bermula dua tahun terdahulu daripada tahun kewangan yang mengenainya pemberian itu diberi.".

Seksyen 6: Ditambahkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 45(2), berkuat kuasa dari 16-9-1963.

Seksyen 6(2)(a):

Perenggan (a) subseksyen (2) digantikan oleh Akta A514, seksyen 18, berkuat kuasa dari 15-5-1981. Perenggan terdahulu berbunyi seperti berikut:

"(a) kos purata dan standard minimum yanf disebut dalam seksyen 2(a) masing-masingnya ialah purata di Negeri itu dan standard minimum yang ditentukan bagi jalan-jalan Negeri di dalam Negeri itu'".

BAHAGIAN III: Lihat Per. 110


Butiran 1, 3-8, 12, 14: Lihat Per. 110(2).

BAHAGIAN IV:


1.Ditambahkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 45(10, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

2. Lihat Per. 112C(1)(a) dan (2), 112D(1).

Seksyen 1 & 2: Lihat Per. 112D(1).

BAHAGIAN V:


1. Ditambahkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 45(1), berkuat kuasa dari 16-9-1963.
2.Lihat Per. 112C(1)(b), (2), 112D(5).

Seksyen 1&2: Lihat Seksyen 4.

Seksyen 3: Lihat Per. 112C(2), Jadual ke-10 seksyen 4.

Seksyen 4: Lihat Per. 112C(2), 112D(5).

Seksyen 5-8: Lihat Per. 112D(5).

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas