PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VII - PERUNTUKAN KEWANGAN
Bab 1 - Am




Perkara 108. Majlis Kewangan Negara.

(1) Maka hendaklah ada suatu Majlis Kewangan Negara yang terdiri daripada Perdana Menteri, mana-mana Menteri lain yang ditetapkan oleh Perdana Menteri, dan seorang wakil dari setiap Negeri yang dilantik oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri.

(2) Majlis Kewangan Negara hendaklah dipanggil bermesyuarat oleh Perdana Menteri seberapa kerap yang difikirkannya perlu dan apabila wakil-wakil dari tiga Negeri atau lebih menghendaki diadakan mesyuarat, tetapi sekurang-kurangnya satu mesyuarat hendaklah diadakan pada tiap-tiap dua belas bulan.

(3) Dalam mana-mana mesyuarat Majlis Kewangan Negara, Perdana Menteri boleh diwakili oleh seorang Menteri Persekutuan yang lain, dan Perdana Menteri atau, jika Perdana Menteri tidak hadir, Menteri yang mewakilinya itu, hendaklah mempengerusikan mesyuarat itu.

(4) Menjadi kewajipan Kerajaan Persekutuan untuk berunding dengan Majlis Kewangan Negara berkenaan dengan--

(a) pemberian yang dibuat oleh Persekutuan kepada Negeri-Negeri;

(b) penyerahhakan kepada Negeri-Negeri keseluruhan atau apa-apa bahagian hasil daripada apa-apa cukai atau fi persekutuan;

(c) keperluan pinjaman tahunan Persekutuan dan Negeri-Negeri dan penjalanan kuasa meminjam Persekutuan dan Negeri-Negeri itu;

(d) pembuatan pinjaman kepada mana-mana Negeri itu;

(e) pembuatan rancangan pembangunan mengikut Perkara 92;

(f) perkara-perkara yang disebut dalam Butiran 7(f) dan (g) Senarai Persekutuan;

(g) apa-apa cadangan untuk membawa Rang Undang-Undang bagi suatu undang-undang yang disebut dalam Fasal (2) Perkara 109 atau Fasal (3) atau (3A) Perkara 110;

(h) apa-apa perkara lain yang berkenaan dengannya Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan membuat peruntukan bagi mengadakan rundingan dengan Majlis Kewangan Negara.

(5) Kerajaan Persekutuan boleh merundingi Majlis Kewangan Negara berkenaan dengan apa-apa perkara lain, sama ada atau tidak perkara itu melibatkan soal kewangan, dan kerajaan sesuatu Negeri boleh merundingi Majlis tersebut berkenaan dengan apa-apa perkara yang menyentuh kedudukan kewangan Negeri itu.

____________________________________________
CATATAN

Per. 108:

1. Fasal (1): Perkataan "seorang Menteri lain" digantikan dengan "Menteri-Menteri lain sebagaimana" dan "Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh Akta A354, seksyen 22 dan seksyen 42, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

2. Fasal (4): Perkataan "atau (3A)" di hujung perenggan (g) dimasukkan oleh Akta 14/1962. Jadual seksyen 5, berkuat kuasa dari 21-6-1962.

3. Lihat Per. 112D(7).

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas