PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VII - PERUNTUKAN KEWANGAN
Bab 1 - Am




Perkara 109. Pemberian kepada Negeri.

(1) Persekutuan hendaklah membuat kepada setiap Negeri berkenaan dengan setiap tahun kewangan--

(a) pemberian, yang dikenali sebagai pemberian ikut kepala, yang hendaklah dihitung mengikut peruntukan Bahagian I Jadual Kesepuluh;

(b) pemberian bagi penyenggaraan jalan Negeri, yang dikenali sebagai pemberian jalan Negeri, yang hendaklah dihitung mengikut peruntukan Bahagian II Jadual Kesepuluh.

(2) Parlimen boleh dari semasa ke semasa melalui undang-undang mengubah kadar pemberian ikut kepala; tetapi jika kesan mana-mana undang-undang itu akan mengurangkan pemberian itu, peruntukan hendaklah dibuat dalam undang-undang itu bagi memastikan bahawa amaun pemberian yang diterima oleh mana-mana Negeri berkenaan dengan mana-mana tahun kewangan tidak kurang daripada sembilan puluh peratus daripada amaun yang diterima oleh Negeri itu dalam tahun kewangan sebelumnya.

(3) Parlimen boleh melalui undang-undang membuat pemberian bagi maksud tertentu kepada mana-mana Negeri atas apa-apa terma dan syarat yang diperuntukkan oleh mana-mana undang-undang itu.

(4) Amaun yang dikehendaki untuk membuat pemberian yang disebut dalam peruntukan yang terdahulu dalam Perkara ini hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan.

(5) Jika, mengikut Perkara 103, suatu Kumpulan Wang Luar Jangka diwujudkan, maka kuasa untuk membuat pendahuluan daripada Kumpulan Wang itu bagi memenuhi keperluan perbelanjaan yang mendesak dan di luar jangkaan termasuklah kuasa untuk membuat pendahuluan itu kepada sesuatu Negeri bagi memenuhi keperluan yang sedemikian.

(6) Persekutuan hendaklah membayar ke dalam suatu kumpulan wang, yang hendaklah dikenali sebagai Kumpulan Wang Rizab Negeri--

(a) (Dimansuhkan).

(b) berkenaan dengan tiap-tiap tahun kewangan apa-apa jumlah wang yang ditentukan sebagai perlu oleh Kerajaan Persekutuan selepas berunding dengan Majlis Kewangan Negara,

dan Persekutuan boleh dari semasa ke semasa, selepas berunding dengan Majlis Kewangan Negara, membuat pemberian daripada Kumpulan Wang Rizab Negeri kepada mana-mana Negeri bagi maksud pembangunan atau pada amnya untuk menambah hasil Negeri itu.

_____________________________________________
CATATAN

Per 109:

Fasal (2): Lihat Per. 108(4)(g).

Fasal (6): Perkataan "yang berikut" yang terdapat selepas "tahun kewangan" dalam perenggan (b) dipotong dan perenggan (a) yang berbunyi seperti berikut dimansuhkan oleh Akta 25/1963, seksyen 8, berkuat kuasa dari 29-8-1963:

"(a) berkenaan dengan tahun kewangan yang pertama yang dalamnya Bahagian VII berkuat kuasa, jumlah wang sebanyak empat juta ringgit; dan".

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas