PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VII - PERUNTUKAN KEWANGAN
Bab 2 - Pemakaian bagi Negeri Sabah dan Sarawak




Perkara 112C. Pemberian khas dan penyerahhakan hasil kepada Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) Tertakluk kepada peruntukan Perkara 112D dan kepada apa-apa batasan yang dinyatakan dalam seksyen yang berkenaan dalam Jadual Kesepuluh--


(a) Persekutuan hendaklah membuat kepada Negeri Sabah dan Sarawak berkenaan dengan setiap tahun kewangan pemberian yang dinyatakan dalam Bahagian IV Jadual itu; dan

(b) setiap Negeri itu hendaklah menerima segala hasil daripada cukai, fi dan dius yang dinyatakan dalam Bahagian V Jadual itu, setakat yang dipungut, dilevikan atau diperdapatkan di dalam Negeri itu, atau apa-apa bahagian daripada hasil itu sebagaimana yang dinyatakan sedemikian.

(2) Amaun yang dikehendaki untuk membuat pemberian yang dinyatakan dalam Bahagian IV tersebut, dan amaun yang boleh diterima oleh Negeri Sabah atau Sarawak di bawah seksyen 3 atau 4 Bahagian V tersebut, hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan; dan amaun yang selainnya boleh diterima oleh Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Bahagian V tersebut tidaklah boleh dibayar ke dalam Kumpulan Wang Disatukan.

(3) Dalam Perkara 110, Fasal (3A) dan (4) tidaklah terpakai bagi Negeri Sabah atau Sarawak.

(4) Tertakluk kepada Fasal (5) Perkara 112D, berhubung dengan Negeri Sabah dan Sarawak, Fasal (3B) Perkara 110--

(a) hendaklah terpakai berhubung dengan segala mineral, termasuk minyak mineral; tetapi

(b) tidaklah memberi kuasa Parlimen untuk melarang Negeri itu daripada melevikan royalti ke atas apa-apa mineral atau untuk menyekat royalti yang dilevikan dalam apa-apa hal jika dengan yang demikian Negeri itu tidak berhak menerima royalti berjumlah sepuluh peratus ad valorem (yang dihitung sebagaimana bagi duti eksport).

____________________________________________
CATATAN

Per. 112C:

Ditambahkan oleh Akta 26/1063, seksyen 46, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

Fasal (1)(a): Perkataan "Negeri-Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah atau Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Fasal (2), (3) dan (4): Perkataan "sesuatu Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah atau Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Fasal (4): Lihat Per. 112D(5).

Per. 112A-D:

Nota Bahu: Perkataan Negeri-Negeri Borneo" digantikan dengan perkataan "Negeri SAbah dan Sarawak" oleh Akta A 514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas