PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VIII - PILIHAN RAYA




Perkara 116. Bahagian pilihan raya persekutuan.

(1) Bagi pemilihan ahli-ahli ke Dewan Rakyat, sesuatu unit kajian semula hendaklah dibahagikan kepada bahagian-bahagian pilihan raya mengikut peruntukan yang terkandung dalam Jadual Ketiga Belas.

(2) Jumlah bilangan bahagian pilihan raya hendaklah sama dengan bilangan ahli supaya seorang ahli dipilih bagi setiap bahagian pilihan raya, dan daripada jumlah bilangan bahagian pilihan raya di dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu itu suatu bilangan yang ditentukan mengikut peruntukan yang terkandung dalam Perkara 46 dan Jadual Ketiga Belas hendaklah diuntukkan bagi setiap Negeri.

(3) (Dimansuhkan).

(4) (Dimansuhkan).

(5) (Dimansuhkan).

_____________________________________________
CATATAN

Per. 116:

Lihat Jadual ke-8 seksyen 4(2); Jadual ke 13 seksyen 2.

Fasal (1): Perkataan "peruntukan yang berikut dalam Perkara ini" yang terdapat di hujung Fasal digantikan dengan "peruntukan yang terkandung dalam Jadual Ketiga Belas." oleh Akta 14/1962, perenggan 22(a), berkuat kuasa dari 21-6-1962. Perkataan "Persekutuan" yang terdapat selepas "Dewan Rakyat," digantikan dengan "sesuatu unit kajian semula" oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

Fasal (2): (a) Perkataan "Fasal (3)" digantikan dengan "peruntukan yang terkandung dalam Jadual Ketiga Belas." oleh Akta 14/1962, perenggan 22(b), berkuat kuasa dari 21-6-1962. Perkataan "di dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu" dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

(b) Perkataan "Jadual Ketiga Belas" digantikan dengan "Perkara 46 dan Jadual Ketiga Belas" oleh Akta A206, seksyen 14, berkuat kuasa dari 23-8-1973.

fasal (3), (4) dan (5): Fasal-fasal ini yang berbunyi seperti yang berikut dimansuhkan oleh Akta 14/1962, perenggan 22(c), berkuat kuasa dari 21-6-1962:

"(3) Bahagian-bahagian pilihan raya hendaklah diuntukkan kepada beberapa Negeri mengikut apa-apa cara

supaya kuota pemilih bagi setiap Negeri adalah dengan seboleh-bolehnya hampir sama dengan kuota pemilih bagi Persekutuan tanpa menyebabkan berlakunya ketidaksamaan yang tidak wajar antara kuota penduduk Negeri itu dengan kuota penduduk Persekutuan.

(4) Setiap Negeri hendaklah dibahagikan kepada bahagian-bahagian pilihan raya mengikut apa-apa cara supaya

setiap bahagian pilihan raya itu mengandungi sebilangan pemilih yang hampir sama dengan kuota pemilih Negeri dengan membuat perhitungan yang wajar tentang pembahagian kaum yang berlainan dan perbezaan kepadatan penduduk dan cara perhubungan; tetapi perhitungan yang dibuat sedemikian tidak boleh menambah atau mengurangkan bilangan pemilih di dalam mana-mana bahagian pilihan raya kepada bilangan yang berbeza daripada kuota pemilih sebanyak lebih daripada lima belas peratus.

(5) Dalam Perkara ini-

(a) "kuota pemilih" ertinya bilangan yang didapati dengan membahagikan bilangan pemilih di dalam Persekutuan atau sesuatu Negeri dengan jumlah bilangan bahagian pilihan raya atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, bilangan pilihan raya Negeri itu;

(b) "kuota penduduk" ertinya bilangan yang didapati dengan membahagikan bilagan penduduk Persekutuan atau sesuatu Negeri dengan jumlah bilangan bahagian pilihan raya atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, bilangan bahagian pilihan raya Negeri itu;

dan bagi maksud Perkara ini bilangan pemilih hendaklah dianggapkan sebagaimana yang ditunjukkan dalam daftar pemilioh semasa dan bilangan penduduk sebagaimana yang dikira dalam bancian penduduk yang terbaru sekali.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas