PERLEMBAGAAN
PERSEKUTUAN
BAHAGIAN VIII - PILIHAN
RAYA
Perkara 119. Kelayakan
pemilih.
(1) Tiap-tiap warganegara
yang--
(a) telah mencapai umur dua puluh satu tahun pada tarikh
kelayakan;
(b) bermastautin di dalam
sesuatu bahagian pilihan raya pada tarikh kelayakan yang sedemikian atau, jika
tidak bermastautin sedemikian, ialah seorang pengundi tidak hadir; dan
(c) didaftarkan, di bawah
peruntukan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pilihan raya, dalam
daftar pemilih sebagai pemilih dalam bahagian pilihan raya tempat dia
bermastautin pada tarikh kelayakan,
berhak
mengundi di dalam bahagian pilihan raya itu dalam mana-mana pilihan raya ke
Dewan Rakyat atau Dewan Undangan melainkan jika dia hilang kelayakan di bawah
Fasal (3) atau di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan
kesalahan yang dilakukan berkaitan dengan pilihan raya; tetapi tiada seorang
pun boleh mengundi dalam pilihan raya yang sama di dalam lebih daripada satu
bahagian pilihan raya.
(2) Jika
seseorang berada di dalam sesuatu bahagian pilihan raya semata-mata oleh sebab
dia ialah seorang pesakit di suatu institusi yang disenggarakan keseluruhannya
atau terutamanya untuk menerima dan merawat orang yang mengidap penyakit mental
atau kecacatan mental atau semata-mata oleh sebab dia ditahan dalam jagaan,
maka dia hendaklah bagi maksud Fasal (1) disifatkan tidak bermastautin di dalam
bahagian pilihan raya itu.
(3) Seseorang
hilang kelayakan untuk menjadi pemilih dalam mana-mana pilihan raya ke Dewan
Rakyat atau Dewan Undangan jika--
(a) pada tarikh kelayakan dia ditahan sebagai orang yang tidak
sempurna akal atau sedang menjalani hukuman pemenjaraan; atau
(b) sebelum tarikh kelayakan dia
telah disabitkan atas suatu kesalahan di dalam mana-mana bahagian Komanwel dan
dihukum dengan hukuman mati atau pemenjaraan selama tempoh melebihi dua belas
bulan dan pada tarikh kelayakan itu dia masih kena menjalani apa-apa hukuman
bagi kesalahan itu.
(4)
Dalam perkara ini--
(a) "pengundi tidak hadir" ertinya, berhubung dengan
mana-mana bahagian pilihan raya, mana-mana warganegara yang berdaftar sebagai
pengundi tidak hadir berkenaan dengan bahagian pilihan raya itu;
(b) "tarikh kelayakan"
ertinya tarikh seseorang memohon supaya didaftarkan sebagai pemilih dalam
sesuatu bahagian pilihan raya, atau tarikh dia memohon untuk menukar
pendaftarannya sebagai pemilih dalam suatu bahagian pilihan raya yang lain,
mengikut
peruntukan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pilihan raya.
_____________________________________________
CATATAN
Per. 119(1):
1. Fasal ini dimasukkan oleh Akta 10/1960, perenggan
14(a), berkuat kuasa dari 31-5-1960, dan menggantikan Fasal asal yang
berbunyi seperti yang berikut:
"(1) Tiap-tiap warganegara yang telah mencapai
umur dua puluh satu tahun pada tarikh kelayakan dan telah
bermastautin di dalam sesuatu bahagian pilihan raya
selama sekurang-kurangnya enam bulan sebaik sebelum tarikh kelayakan berhak
untuk mengundi di dalam bahagian pilihan raya itu dalam mana-mana pilihan raya
ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan melainkan jika dia hilang kelayakan di
bawah Fasal (3) atau di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan
kesalahan-kesalahan yang dilakukan berkaitan dengan pilihan raya, tetapi tiada
seorang pun boleh mengundi dalam pilihan raya yang sama di dalam lebih daripada
satu bahagian pilihan raya.".
2.
Fasal ini dipinda oleh Akta A1130, seksyen 9, berkuat kuasa dari 28-9-2001
seperti yang berikut:
(a) dalam perenggan (a), perkataan "dan" di akhir
perenggan itu dipotong;
(b) dalam perenggan (b),
dengan menggantikan koma di akhir perenggan itu dengan perkataan
",dan";
(c) perenggan baru (c)
dimasukkan, seperti yang berikut:
"(c) didaftarkan di bawah peruntukan mana-mana
undang-undang yang berhubungan dengan pilihan raya, dalam daftar pemilih
sebagai pemilih dalam bahagian pilihan raya tempat di bermastautin pada tarikh
kelayakan,".
3. Lihat
Per. 120(c).
Per. 119(4):
Perkataan ', dan "pengundi tidak hadir", berhubungan
dengan mana-mana bahagian pilihan raya ertinya mana-mana warganegara yang
didaftarkan sebagai seorang pengundi tidak hadir berkenaan dengan bahagian
pilihan raya itu di bawah peruntukan mana-mana undang-undang yang berhubungan
dengan pilihan raya' yang terdapat di hujung Fasal ditambahkan oleh Akta
10/1960, perenggan 14(b), berkuat kuasa dari 31-5-1960. Kemudiannya
pula, Fasal ini digantikan oleh Akta A1130, perenggan 9(b), berkuat
kuasa dari 28-9-2001. Fasal asal berbunyi seperti yang berikut:
"(4) Dalam Perkara ini "tarikh
kelayakan" ertinya tarikh yang menurutnya daftar-daftar pemilih disediakan
atau disemak, dan "pengundi tak hadir", berhubungan dengan mana-mana
bahagian pilihan raya, ertinya mana-mana warganegara yang didaftarkan sebagai
pengundi tak hadir berkenaan dengan bahagian pilihan raya itu di bawah
peruntukan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pilihan raya.".