PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN II - KEBEBASAN ASASI




Perkara 12. Hak berkenaan dengan pendidikan.

(1) Tanpa menjejaskan keluasan Perkara 8, tidak boleh ada diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan atau tempat lahir--

(a) dalam pentadbiran mana-mana institusi pendidikan yang disenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam, dan, khususnya, kemasukan murid-murid atau pelajar-pelajar atau pembayaran fi; atau

(b) dalam memberikan bantuan kewangan daripada wang sesuatu pihak berkuasa awam bagi penyenggaraan atau pendidikan murid-murid atau pelajar-pelajar di mana-mana institusi pendidikan (sama ada disenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam atau tidak dan sama ada di dalam atau di luar Persekutuan).


(2) Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi pendidikan kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.

(3) Tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri.

(4) Bagi maksud Fasal (3), agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaga.

____________________________________________
CATATAN:

Per. 12(2):

1. Fasal (2) yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta A354, seksyen 6, berkuat kuasa dari 27-8-1976, dan menggantikan Fasal dahulu yang berbunyi seperti yang berikut:

"(2) Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi untuk pendidikan kanak-kanak serta mengadakan di dalamnya ajaran-ajaran dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidaklah boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu, tetapi undang-undang persekutuan atau undang-undang Negeri boleh mengadakan bantuan kewangan khas untuk menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau untuk ajaran-ajaran dalam agama Islam bagi orang yang menganuti agama itu."

2. Perkataan "atau undang-undang Negeri" yang terdapat di baris lima dan enam selepas perkataan "undang-undang persekutuan" dimasukkan oleh Akta 25/1963, subseksyen 2(1), berkuat kuasa dari 31-8-1957 melalui subseksyen 3(3). 

                                                                                                                                                                                                          

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas