PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN IX - BADAN KEHAKIMAN




Perkara 122. Keanggotaan Mahkamah Persekutuan.

(1) Mahkamah Persekutuan hendaklah terdiri daripada seorang yang dipertua Mahkamah (yang digelar "Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan"), Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi dan, sehingga diperuntukkan selainnya melalui perintah oleh Yang di-Pertuan Agong, *empat orang hakim lain dan apa-apa bilangan hakim tambahan yang dilantik menurut Fasal (1A).

(1A) Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, boleh melantik mana-mana orang yang telah memegang jawatan kehakiman yang tinggi di Malaysia untuk menjadi hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan bagi apa-apa maksdu atau bagi apa-apa tempoh masa yang ditentukan olehnya:

Dengan syarat bahawa tiada hakim tambahan yang sedemikian menjadi tidak layak untuk memegang jawatan oleh sebab dia telah mencapai umur enam puluh lima tahun.

(2) Seseorang hakim Mahkamah Rayuan selain Presiden Mahkamah Rayuan boleh bersidang sebagai hakim Mahkamah Persekutuan jika Ketua Hakim Negara berpendapat bahawa kepentingan keadilan menghendaki yang sedemikian, dan hakim itu hendaklah dinamakan bagi maksud itu (mengikut kehendak keadaan) oleh Ketua Hakim Negara.

_________________________________________________
CATATAN

Per. 122:

1. Perkara ini dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 15, berkuat kuasa dari 16-9-1963. Fasal (1A) ditambahkan oleh Akta 31/1965, subseksyen 2(2), berkuat kuasa dari 1-7-1965, yang juga menggantikan perkataan "dua orang hakim lain" di hujung Fasal (1) dengan "empat orang hakim lain dan apa-apa bilangan hakim tambahan yang dilantik menurut Fasal (1A)". Perkataan "Parlimen memperuntukkan selainnya" dalam Fasal (1) digantikan dengan "diperuntukkan selainnya melalui perintah oleh Yang di-Pertaun Agong" oleh Akta A354, seksyen 26, berkuat kuasa dari 27-8-1976. Perkara yang dahulu seperti yang terdapat pada tarikh pemansuhan berbunyi seperti yang berikut:

"122. (1) Mahkamah Agung hendaklah terdiri daripada seorang Hakim Besar dan hakim-hakim lain; tetapi bilangan hakim yang lain itu tidak boleh melebihi lima belas sehingga Parlimen memperuntukkan selainnya.

(2) Hakim Besar dan hakim-hakim lain Mahkamah Agung hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

(3) Pada melantik Hakim Besar Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri,

selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja; dan pada melantik hakim-hakim lain Mahkamah Agung dia hendaklah bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja dan menimbangkan nasihat Hakim Besar.".

2. Perkataan "Persekutuan" digantikan dengan "Agung" oleh Akta A566, subseksyen 16(1), berkuat kuasa dari 1-1-1985.

3. Dalam nota bahu Fasal (1), (1A) dan (2) perkataan "Agung" digantikan dengan perkataan "Persekutuan" oleh Akta A885, seksyen 14, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

4. Dalam Fasal (1), perkataan "Ketua Hakim Negara Mahkamah Agung, Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi" digantikan dengan perkataan "Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim-Hakim Besar Mahkamah tinggi" oleh Akta A885, seksyen 14, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

5. Dalam Fasal (1A), perkataan "Ketua Hakim Negara Mahkamah Agung" digantikan dengan perkataan "Ketua Hakim Negara Mahkamah Tinggi" oleh Akta A885, seksyen 14, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

6. Dalam Fasal (2), perkataan "Mahkamah Tinggi selain Hakim Besar" digantikan dengan perkataan "Mahkamah Rayuan selain Presiden Mahkamah Rayuan" oleh Akta A885, seksyen 14, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas