PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN IX - BADAN KEHAKIMAN




Perkara 122A. Keanggotaan Mahkamah Rayuan.

(1) Mahkamah Rayuan hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi (yang digelar "Presiden Mahkamah Rayuan") dan, sehingga diperuntukkan selainnya melalui perintah oleh Yang di-Pertuan Agong, sepuluh** orang hakim lain.

(2) Seseorang hakim Mahkamah Tinggi boleh bersidang sebagai hakim Mahkamah Rayuan jika Presiden Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa kepentingan keadilan menghendaki yang sedemikian, dan hakim itu hendaklah dinamakan bagi maksud itu (mengikut kehendak keadaan) oleh Presiden Mahkamah Rayuan selepas berunding dengan Hakim Besar Mahkamah Tinggi itu.

_____________________________________________
CATATAN

Per. 122A:

Ditambahkan oleh Akta 26/1963, seksyen 16, berkuat kuasa dari 16-9-1963. Akta 59,1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965, memansuhkan Fasal (1)(c) yang berbunyi seperti yang berikut:

"(c) lapan di Mahkamah Tinggi di Singapura".

Fasal (1): Perkataan "ditetapkan selainnya oleh Parlimen" digantikan dengan "diperuntukkan selainnya melalui perintah oleh Yang di-Pertuan Agong" oleh Akta A354, seksyen 27, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Fasal (2): Lihat Per. 122B(5).

Fasal (3): Perkataan "Persekutuan" digantikan dengan "agung" oleh Akta A566, subseksyen 161(1), berkuat kuasa dari 1-1-1985.

Perkara ini yang berbunyi seperti yang berikut digantikan dengan Akta A885, seksyen 15, berkuat kuasa dari 24-6-1994:

"122A. (1) Setiap Mahkamah Tinggi hendaklah terdiri daripada seorang Hakim Besar dan tidak kurang daripada empat orang hakim yang lain; tetapi bilangan hakim yang lain itu tidaklah boleh, sehingga diperuntukkan selainnya melalui perintah oleh Yang di-Pertuan Agong, melebihi-

(a) dua belas di Mahkamah Tinggi di Malaya; dan

(b) lapan di Mahkanah Tinggi di Borneo.

(c) (Dimansuhkan).



(2) Mana-mana orang yang layak untuk dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi boleh bersidang sebagai hakim

mahkamah itu, jika ditetapkan bagi maksud itu (mengikut kehendak keadaan) mengikut Perkara 122B.

(3) Supaya segera diselesaikan urusan Mahkamah Tinggi di Borneo di sesuatu kawasan di mana seorang hakim

Mahkamah itu tidak ada pada masa itu untuk menjalankan urusan mahkamah itu, Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Ketua Hakim Negara Mahkamah Agung, atau bagi sesuatu kawasan di mana-mana satu Negeri itu, Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri itu yang bertindak atas nasihat Hakim Besar Mahkamah itu, boleh melalui perintah melantik seorang peguam bela atau seorang yang layak dari segi profesion diterima sebagai seorang peguam bela mahkamah itu untuk menjadi persuruhjaya kehakiman di kawasan itu bagi apa-apa tempoh atau bagi apa-apa maksud sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu.

(4) Tertakluk kepada apa-apa balasan atau syarat yang dikenakan melalui perintah yang melantiknya, seseorang

pesuruhjaya kehakiman hendaklah mempunyai kuasa, di kawasan yang baginya dia dilantik, untuk melaksanakan apa-apa fungsi hakim Mahkamah Tinggi di Borneo yang ternyata kepadanya dikehendaki supaya dilaksanakan dengan tidak berlengah-lengah; dan apa-apa jua yang dilakukan oleh seseorang pesuruhjaya kehakiman apabila bertindak mengikut perlantikannya hendaklah mempunyai kesahan dan kesan yang sama seolah-olah dilakukan oleh seorang hakim mahkamah itu, dan berkenaan dengan apa-apa jua yang dilakukan itu dia mempunyai kuasa yang sama dan menikmati kekebalan yang sama seolah-olah dia seorang hakim mahkamah itu.

(5) Supaya segera diselesaikan urusan Mahkamah Tinggi di Malaya, Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas

nasihat Ketua Hakim Negara Mahkamah Agung boleh melalui perintah melantik mana-mana orang yang layak dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi untuk menjadi pesuruhjaya kehakiman bagi apa-apa tempoh atau apa-apa maksud yang dinyatakan dalam perintah itu; dan orang yang dilantik sedemikian hendaklah mempunyai kuasa untuk melaksanakan apa-apa fungsi hakim Mahkamah Tinggi di Malaya yang ternyata kepadanya dikehendaki supaya dilaksanakan; dan apa-apa jua yang dilakukan olehnya apabila bertindak mengikut perlantikannya hendaklah mempunyai kesahan dan kesan yang sama seolah-olah dilakukan oleh seorang hakim mahkamah itu, dan berkenaan dengan apa-apa jua yang dilakukan itu dia mempunyai kuasa yang sama dan menikmati kekebalan yang sama seolah-olah dia seorang hakim mahkamah itu.".

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas