PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN IX - BADAN KEHAKIMAN




Perkara 124. Sumpah jawatan hakim-hakim.

(1) Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, sebelum menjalankan fungsi jawatannya, hendaklah mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia yang dinyatakan dalam Jadual Keenam, dan hendaklah berbuat demikian di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

(2) Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi, selain Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, sebelum menjalankan fungsi seorang hakim hendaklah mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia yang dinyatakan dalam Jadual Keenam berhubung dengan kewajipan kehakimannya dalam apa-apa jua jawatan.

(3) Seseorang yang mengangkat sumpah apabila menjadi Hakim Besar Mahkamah Tinggi hendaklah berbuat demikian di hadapan hakim kanan yang ada bagi Mahkamah Tinggi itu.

(4) Tertakluk kepada Fasal (3), seseorang yang mengangkat sumpah apabila menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah berbuat demikian di hadapan Ketua Hakim Negara atau, jika Ketua Hakim Negara tidak ada, di hadapan hakim yang kanan selepasnya yang ada bagi Mahkamah Persekutuan.

(5) Seseorang yang mengangkat sumpah apabila menjadi hakim Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi (tetapi bukan Hakim Besar) hendaklah berbuat demikian di hadapan Hakim Besar Mahkamah itu atau, jika Hakim Besar tidak ada, di hadapan hakim yang kanan selepasnya yang ada bagi Mahkamah itu.

________________________________________________
CATATAN

Per. 124:

1. Perkara yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 20, berkuat kuasa dari 16-9-1963, dan menggantikan Perkara yang dahulu yang berbunyi seperti berikut:

"124. Hakim Besar atau mana-mana hakim yang lain Mahkamah Besar hendaklah, sebelum menjalankan fungsi jawatannya, mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia yang dinyatakan dalam Jadual Keenam-

(a) Hakim Besar di hadapan Yang di-Pertuan Agong; dan

(b) mana-mana hakim yang lain di hadapan Hakim Besar atau, jika Hakim Besar tidak ada, di hadapan hakim yang kanan selepasnya yang ada lagi Mahkamah Besar itu.".

2. Perkataan "Persekutuan" digantikan dengan "Agung" oleh Akta A566, subseksyen 16(1), berkuat kuasa 1-1-1985.

3. Fasal (1): Perkataan "Ketua Hakim Negara Mahkamah Agung" digantikan dengan perkataan "Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan" oleh Akta A885, seksyen 20, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

4. Fasal (2): Digantikan oleh Akta A885, seksyen 20, berkuat kuasa dari 24-6-1994. Fasal asal berbunyi seperti yang berikut:

"(2) Hakim Mahkamah Agung atau hakim Mahkamah Tinggi, selain Ketua Hakim Negara Mahkamah Agung,

sebelum menjalankan fungsi seorang hakim, hendaklah mengangkat dan menandatangani sumpah itu berhubung dengan kewajipan kehakimannya dalam apa-apa jua jawatan, dan setelah berbuat demikian, dia tidaklah dikehendaki mengangkat sumpah itu lagi apabila di lantik atau bertukar ke suatu jawatan kehakiman yang lain yang bukan jawatan Ketua Hakim Negara.".

5. Fasal (3): Perkataan ", melainkan jika orang itu mengangkat sumpah itu mengikut Fasal (4) sebagai hakim Mahkamah Agung" dipotong oleh Akta A885, seksyen 20, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

6. Fasal (4): Perkataan "Agung" digantikan dengan "Persekutuan" oleh Akta A885, seksyen20, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

7. Fasal (5): Perkataan "Mahkamah Rayuan atau" dimasukkan selepas perkataan "hakim" oleh Akta A885, seksyen 20, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas