PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN IX - BADAN KEHAKIMAN




Perkara 128. Bidang kuasa Mahkamah Persekutuan.

(1) Hanya Mahkamah Persekutuan sahaja, dan tidak mana-mana mahkamah lain, mempunyai bidang kuasa bagi memutuskan mengikut mana-mana kaedah mahakamah yang mengawal selia penjalanan bidang kuasa sedemikian-

(a) apa-apa soal sama ada sesuatu undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Badan Perundangan sesuatu Negeri adalah tidak sah atas alasan bahawa undang-undang itu membuat peruntukan mengenai sesuatu perkara yang mengenainya Parlimen atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, Badan Perundangan Negeri itu tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang; dan

(b) pertikaian atas apa-apa soal lain antara Negeri dengan Negeri atau antara Persekutuan dengan mana-mana Negeri.



(2) Tanpa menjelaskan apa-apa bidang kuasa rayuan Mahkamah Persekutuan, jika dalam mana-mana prosiding di hadapan suatu mahakamah lain suatu soal berbangkit tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini, Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa (tertakluk kepada mana-mana kaedah mahkamah yang mengawal selia perjalanan bidang kuasa itu) untuk memutuskan soal itu dan menghantar balik kes itu kepada mahkamah yang satu lagi untuk dibereskan mengikut keputusan itu.

(3) Bidang kuasa Mahkamah Persekutuan untuk memutuskan rayuan dari Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau seseorang hakim Mahkamah itu hendaklah sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undag persekutuan.


______________________________
CATATAN

Per. 128:


1. Perkara yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 14, berkuat kuasa dari 16-9-1963, dan menggantikan Perkara yang dahulu yang berbunyi seperti berikut:

"128. (1) Mahkamah Besar hendaklah mempunyai bidang kuasa asal, bidang kuasa rayuan dan bidang kuasa penyemakan sebagaimana yang diperuntukkan oleh undag-undang persekutuan.

(2) Hanya Mahkamah Besar sahaja, dan tidak mana-mana mahkamah lain, mempunyai bidang kuasa mengenai apa-apa pertikaian antara Negeri dengan Negeri atau antara Persekutuan dengan mana-mana Negeri.".

 

2. Lihat Per. 121(2)(b).

Fasal (1): Perkataan "mengikut mana-mana kaedah mahkamah yang mengawal selia perjalanan bidang kuasa sedemikian" dimasukkan selepas "memutuskan" oleh Akta A354, seksyen 29, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Fasal (2): Lihat Per. 161(4), 161B(2).

3. Perkataan "Persekutuan" digantikan dengan "Agung" oleh Akta A566, subseksyen 16(1), berkuat kuasa dari 1-1-1985.

4. Dalam Fasal (1) dan (2), perkataan "Agung" digantikan dengan perkataan "Persekutuan" oleh Akta A885, seksyen 25, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

5. Fasal (3) digantikan oleh Akta A885, seksyen 25, berkuat kuasa dari 24-6-1994. Fasal (3) yang asal berbunyi seperti yang berikut:

 

"(3) Bidang kuasa Mahkamah Agung untuk memutuskan rayuan dari Mahkamah Tinggi atau seseorang hakim Mahkamah Tinggi hendaklah sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang persekutuan.".

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas