PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN IX - BADAN KEHAKIMAN




Perkara 131A. Peruntukan berkenaan dengan ketidakupayaan, dsb. Ketua Hakim Negara, Presiden atau Hakim Besar

(1) Apa-apa peruntukan yang dibuat oleh undang-undang persekutuan supaya fungsi Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan atau Presiden Mahkamah Rayuan atau Hakim Besar Mahkamah Tinggi dilaksanakan oleh seorang hakim lain Mahkamah Persekutuan sekiranya berlaku kekosongan dalam jawatan itu atau sekiranya Ketua Hakim Negara, Presiden atau Hakim Besar itu tidak berdaya menjalankan fungsinya, bolehlah meliputi fungsinya di bawah Perlembagaan ini.

(2) Apa-apa peruntukan yang dibuat oleh undang-undang persekutuan supaya fungsi Presiden Mahkamah Rayuan atau Hakim Besar Mahkamah Tinggi dilaksanakan oleh seorang hakim lain Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi, mengikut mana-mana yang berkenaan, sekiranya berlaku kekosongan dalam jawatan itu atau sekiranya Presiden atau Hakim Besar itu tidak berdaya menjalankan fungsinya, bolehlah meliputi fungsi Presiden atau Hakim Besar di bawah Perlembagaan ini selain fungsi sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.


___________________
CATATAN

Per. 131A:

1. Ditambahkan oleh Akta 26/1963, seksyen 21, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

2. Perkataan "Persekutuan" digantikan dengan "Agung" oleh Akta A566, subseksyen 16(1), berkuat kuasa dari 1-1-1985.

3. Dalam nota bahu, perkataan "Presiden" dimasukkan selepas perkataan "Ketua Hakim Negara," oleh Akta A885, seksyen 27, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

4. Dalam Fasal (1), perkataan "Ketua Hakim Negara Mahkamah Agung" digantikan dengan "Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan atau Presiden Mahkamah Rayuan atau Hakim Besar Mahkamah Tinggi", dan perkataan "lain" dan "Agung" masing-masingnya digantikan dengan perkataan "seorang" dan "Persekutuan" oleh Akta A885, seksyen 27, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

5. Dalam Fasal (2), perkataan "Presiden Mahkamah Rayuan atau" dimasukkan selepas perkataan "fungsi" pada kali pertama perkataan itu terdapat, dan perkataan "mahkamah itu" digantikan dengan "Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi, mengikut mana-mana yang berkenaan" dan perkataan "Agung" digantikan dengan perkataan "Persekutuan" oleh Akta A885, seksyen 27, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas