PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN X - PERKHIDMATAN-PERKHIDMATAN AWAM




Perkara 134. Peminjaman pegawai

(1) Persekutuan boleh, atas permintaan sesuatu Negeri, pihak berkuasa tempatan, atau pihak berkuasa berkanun atau mana-mana organisasi, di dalam atau di luar Malaysia, meminjamkan mana-mana anggota perkhidmatan awamnya kepada perkhidmatan Negeri, pihak berkuasa atau organisasi itu, mengikut mana-mana yang berkenaan; dan sesuatu Negeri boleh, atas permintaan Persekutuan, suatu Negeri lain, suatu pihak berkuasa tempatan atau suatu pihak berkuasa berkanun atau mana-mana organisasi, di dalam atau di luar Malaysia, meminjamkan mana-mana anggota perkhidmatan awamnya sendiri kepada perkhidmatan Persekutuan, Negeri lain, pihak berkuasa atau organisasi itu, mengikut mana-mana yang berkenaan.

(2) Seseorang yang dipinjamkan di bawah Perkara ini hendaklah tetap menjadi anggota perkhidmatan yang dianggotainya, tetapi saraannya hendaklah dibayar oleh Persekutuan, Negeri, pihak berkuasa atau organisasi, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang kepada perkhidmatannya dia dipinjamkan.


____________________
CATATAN

Per. 134:

Fasal yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta A885, seksyen 29, berkuat kuasa dari 24-6-1994, dan menggantikan Fasal yang dahulu yang berbunyi seperti yang berikut:

"134. (1) Persekutuan boleh, atas permintaan sesuatu Negeri, meminjamkan mana-mana anggota mana-mana perkhidmatan yang disebut dalam perenggan (a), (b), (c) dan (d) atau (f) Fasal (1) Perkara 132 kepada perkhidmatan Negeri itu; dan sesuatu Negeri boleh, atas permintaan Persekutuan atau permintaan suatu Negeri lain, meminjamkan mana-mana anggota perkhidmatan awamnya sendiri kepada Perkhidmatan Persekutuan atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, kepada perkhidmatan Negeri yang lain itu.

(2) Seseorang yang dipinjamkan di bawah Perkara ini tetap menjadi anggota perkhidmatan yang dianggotainya, tetapi saraannya hendaklah dibayar oleh Negeri yang berkenaan itu jika dia dipinjamkan kepada perkhidmatan Negeri itu, atau dibayar oleh Persekutuan jika dia dipinjamkan kepada perkhidmatan Persekutuan.".



Per. 134(2):

Lihat Per. 146D(1).

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas