PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN X - PERKHIDMATAN-PERKHIDMATAN AWAM




Perkara 135. Sekatan mengenai pembuangan kerja dan penurunan pangkat

(1) Tiada seorang pun anggota mana-mana perkhidmatan yang disebut dalam perenggan (b) hingga (h) Fasal (1) Perkara 132 boleh dibuang kerja atau diturunkan pangkat oleh sesuatu pihak berkuasa yang rendah daripada pihak berkuasa yang, pada masa pembuangan kerja atau penurunan pangkat itu, mempunyai kuasa untuk melantik seseorang anggota perkhidmatan itu yang sama pangkatnya:

Dengan syarat bahawa dalam pemakaiannya bagi anggota-anggota perkhidmatan-perkhidmatan yang disebut dalam perenggan (g) Fasal (1) Perkara 132, Fasal ini tidaklah terpakai bai apa-apa undang-undang yang mungkin dibuat oleh badan perundangan mana-mana Negeri, selain Pulau Pinang dan Melaka, yang memperuntukkan bahawa segala kuasa dan fungsi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri itu, selain kuasa untuk membuat pelantikan pertama ke perjawatan tetap atau perjawatan berpencen hendaklah dijalankan oleh suatu Lembaga yang dilantik oleh Raja Negeri itu:

Dan dengan syarat selanjutnya bahawa Fasal ini tidaklah terpakai bagi hal jika seseorang anggota mana-mana perkhidmatan yang disebut dalam Fasal ini dibuang kerja atau diturunkan pangkat oleh sesuatu pihak berkuasa menurut sesuatu kuasa yang diwakilkan kepadanya oleh suatu Suruhanjaya yang baginya Bahagian ini terpakai, dan proviso ini hendaklah disifatkan telah menjadi suatu bahagian perlu Fasal ini mulai dari Hari Merdeka.

(2) Tiada seorang pun anggota sesuatu perkhidmatan yang disebut terdahulu boleh dibuang kerja atau diturunkan pangkat tanpa diberi peluang yang munasabah untuk didengar:

Dengan syarat bahawa Fasal ini tidaklah terpakai bagi hal yang berikut:

(a)

jika seseorang anggota sesuatu perkhidmatan itu dibuang kerja atau diturunkan pangkat atas alasan kelakuan yang berkenaan dengannya suatu pertuduhan jenayah telah dibuktikan terhadap anggota itu; atau

(b)

jika pihak berkuasa yang diberi kuasa untuk membuang kerja atau menurunkan pangkat seseorang anggota sesuatu perkhidmatan itu berpuas hati bahawa kerana sesuatu sebab, yang hendaklah direkodkan oleh pihak berkuasa itu secara bertulis, kehendak Fasal ini tidaklah semunasabahnya dapat dilaksanakan; atau

(c)

jika Yang di-Pertuan Agong, atau, dalam hal seseorang anggota perkhidmatan awam sesuatu Negeri, Raja atau Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri itu, berpuas hati bahawa demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya tidaklah suai manfaat kehendak Fasal ini dijalankan; atau

(d)

jika apa-apa perintah tahanan, pengawasan, kediaman terhad, buang negeri atau pengusiran telah dibuat terhadap seseorang anggota sesuatu perkhidmatan itu, atau jika apa-apa bentuk sekatan atau pengawasan dengan bon atau selainnya telah dikenakan ke atas seseorang anggota yang sedemikian, di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, pencegahan jenayah, tahanan pencegahan, kediaman terhad, buang negeri, imigresen, atau perlindungan wanita dan gadis:

Dengan syarat selanjutnya bahawa bagi maksud Perkara ini, jika perkhidmatan seseorang anggota sesuatu perkhidmatan itu ditamatkan demi kepentingan awam di bawah mana-mana undang-undang yang sedang berkuat kuasa atau di bawah mana-mana peraturan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (2) Perkara 132, penamatan perkhidmatan itu tidaklah merupakan pembuangan kerja sama ada atau tidak keputusan untuk menamatkan perkhidmatan itu dikaitkan dengan salah laku atau pelaksanaan kewajipan dengan tidak memuaskan oleh anggota itu berhubung dengan jawatannya, atau akibat penamatan itu melibatkan unsur hukuman; dan proviso ini hendaklah disifatkan telah menjadi suatu bahagian perlu Perkara ini mulai dari Hari Merdeka.

(3) Tanpa persetujuan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, tiada seorang pun anggota mana-mana perkhidmatan yang disebut dalam perenggan (c), (f) atau (g) Fasal (1) Perkara 132 boleh dibuang kerja atau diturunkan pangkat atau menanggung apa-apa langkah tatatertib yang lain kerana apa-apa jua yang dilakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan olehnya pada menjalankan sesuatu fungsi kehakiman yang diberikan kepadanya oleh undang-undang.



___________________
CATATAN

Per. 135(1):

1. Lihat Per. 144(5A) dan (5B).

2. Perkataan "(g)" digantikan dengan "(h)" oleh Akta A193, seksyen 3, berkuat kuasa dari 1-1-1974.

3. Proviso kepada Fasal (1) dimasukkan oleh Akta 27/1968, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-9-1968 dan Akta A31, seksyen 5, berkuat kuasa dari 24-3-1971.

4. Proviso selanjutnya kepada Fasal (1) dimasukkan oleh Akta A354, seksyen 30, berkuat kuasa dari Hari Merdeka.



Per. 135(2):

1. Proviso dimasukkan oleh Akta A354, seksyen 30, berkuat kuasa dari 27-8-1976. Proviso selanjutnya dimasukkan oleh Akta A442, seksyen 3, berkuat kuasa dari Hari Merdeka.

2. Lihat Per. 160(5)(b).



Per. 135(3):

Fasal yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 53(1), berkuat kuasa dari 16-9-1963. Perkataan "perenggan (e)" digantikan dengan "perenggan (c)" oleh Akta A31, seksyen 5, berkuat kuasa dari 24-3-1971. Fasal yang dahulu yang dimansuhkan oleh Akta 10/1960, seksyen 18, berkuat kuasa dari 31-5-1960, berbunyi seperti yang berikut:

 

"(3) Tiada seorang pun anggota mana-mana perkhidmatan yang disebut dalam perenggan (e), (f), atau (g) Fasal (1) Perkara 132 boleh, tanpa persetujuan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, diberhentikan atau diturunkan pangkat atau menanggung apa-apa langkah tatatertib yang lain kerana apa-apa jua yang dilakukan atau ditinggalkan olehnya pada menjalankan fungsi kehakiman yang diberikan kepadanya oleh undang-undang.".

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas