PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN X - PERKHIDMATAN-PERKHIDMATAN AWAM




Perkara 139. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

1) Maka hendaklah ada suatu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang bidag kuasanya hendaklah, tertakluk kepada Perkara 144, meliputi semua orang yang menjadi anggota perkhidmatan-perkhidmatan yang disebut dalam perenggan (c) dan (f) Fasal (1) Perkara 132, selain Ketua Audit Negara, meliputi anggota perkhidmatan-perkhidmatan awam Negeri Melaka dan Negeri Pulau Pinang, dan, setakat yang diperuntukkan oleh Fasal (2), meliputi anggota perkhidmatan awam mana-mana Negeri lain.

(1A) Bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam hendaklah meliputi-

(a)

anggota perkhidmatan awam am Persekutuan yang diambil kerja dalam sesuatu jabatan persekutuan di Negeri Sabah atau Sarawak;

(b)

anggota perkhidmatan awam Negeri Sabah atau Sarawak yang dipinjamkan kepada perkhidmatan awam am Persekutuan; dan

(c)

anggota perkhidmatan awam Negeri Sabah atau Sarawak yang berkhidmat dalam jawatan persekutuan atau dalam mana-mana jawatan yang dijadikan jawatan persekutuan di Negeri itu dan yang telah membuat pilihan untuk menjadi anggota perkhidmatan awam am Persekutuan.



(2) Badan Perundangan mana-mana Negeri, selain Melaka dan Pulau Pinang, boleh melalui undang-undang memperluas bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam supaya meliputi semua atau mana-mana orang dalam perkhidmatan awam Negeri itu, tetapi tiada undang-undang yang sedemikian boleh berkuat kuasa lebih awal daripada dua belas bulan dari tarikh undang-undang itu diluluskan; dan jika suatu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri tidak ada ditubuhkan dan menjalankan fungsinya pada bila-bila masa di mana-mana Negeri yang di dalamnya tiada undang-undang sedemikian berkuat kuasa, maka bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam itu hendaklah, jika undang-undang persekutuan memperuntukkan sedemikian, meliputi semua anggota perkhidmatan awam Negeri itu.

(3) Apa-apa peluasan bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang dibuat oleh Badan Perundangan mana-mana Negeri menurut Fasal (2) boleh dibatalkan atau diubahsuaikan melalui suatu undang-undang yang diluluskan oleh Badan Perundangan Negeri itu.

(4) Suruhanjaya Perkhidmatan Awam hendaklah terdiri daripada anggota yang berikut yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menurut budi bicaranya tetapi selepas menimbangkan nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, iaitu, seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan tidak kurang daripada empat orang anggota lain; tetapi bilangan anggota lain itu tidak boleh, sehingga diperuntukkan selainnya melalui perintah oleh Yang di-Pertuan Agong, melebihi tiga puluh.

(5) Sama ada pengerusi atau timbalan pengerusi hendaklah, dan kedua-duanya boleh, dilantik daripada kalangan orang yang menjadi anggota mana-mana perkhidmatan awam, atau yang pernah menjadi anggota mana-mana perkhidmatan awam pada bila-bila masa dalam tempoh lima tahun sebaik sebelum tarikh pelantikan pertama mereka.

(6) Seseorang anggota mana-mana perkhidmatan awam yang dilantik menjadi pengerusi atau timbalan pengerusi tidaklah layak memegang apa-apa jawatan selanjutnya dalam perkhidmatan Persekutuan selain sebagai anggota sesuatu Suruhanjaya yang baginya Bahagian ini terpakai.


________________________________________
CATATAN

Per. 139:

Lihat Per. 144(5B), 148(1).

Fasal (1):

1. Perkataan "perenggan (c) dan (f)" dalam naskhah asal dipinda oleh Akta 10/1960, perenggan 21(a), berkuat kuasa dari 31-5-1960 supaya dibaca "perenggan (b), (c) dan (f)". Akta 26/1963, subseksyen 53(2), berkuat kuasa dari 16-9-1963, mengekalkan versi asal "perenggan (c) dan (f)".

2. Perkataan "anggota-anggota perkhidmatan awam bagi Negeri Melaka atau Negeri Pulau Pinang" digantikan dengan "anggota-anggota perkhidmatan-perkhidmatan awam bagi Negeri Melaka dan Negeri Pulau Pinang" oleh Akta 10/1960, perenggan 21(b), berkuat kuasa dari 31-5-1960.

3.Huruf ", (e)" dimasukkan selepas huruf "(c)" oleh Akta A514, seksyen 9, berkuat kuasa dari 15-5-1981.

4. Dalam Fasal (1), perkataan "perenggan (c), (e) dan (f)" digantikan dengan perkataan "perenggan (c) dan (f)" oleh Akta A885, seksyen 31, berkuat kuasa dari 24-6-1994.



Per. 139(1A):

Ditambahkan oleh Akta A514, seksyen 9, berkuat kuasa dari 15-5-1981.

Subseksyen 9(2) Akta A514, berkuat kuasa dari 15-5-1981, berbunyi seperti yang berikut:

 

"(2) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan atau Perlembagaan Negeri Sabah atau Sarawak, mana-mana anggota perkhidmatan awam Negeri Sabah atau Sarawak yang berkhidmat dalam mana-mana jawatan persekutuan atau dalam mana-mana jawatan yang dijadikan jawatan persekutuan di Negeri itu dan yang telah membuat, mengikut apa jua cara atau dalam apa jua bentuk, apa-apa pilihan yang ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk menjadi anggota perkhidmatan awam am Persekutuan hendaklah disifatkan telah membuat pilihan dan dengan demikian itu ditukarkan ke, atau dilantik menjadi anggota, perkhidmatan awam Persekutuan.".



Per. 139(2):

1. Perkataan "selepas tarikh yang berkaitan" yang terdapat selepas "dan jika" dipotong oleh Akta 25/1963, seksyen 8, berkuat kuasa dari 29-8-1963.

Perkataan "Suruhanjaya yang bersamaan taraf dan bidang kuasa dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam" digantikan dengan "Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri" oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

2.Lihat Per. 146D(3).



Per. 139(3):

1. Fasal ini yang berbunyi seperti yang berikut dimansuhkan oleh Akta 25/1963, seksyen 8, berkuat kuasa dari 29-8-1963:

 

"(3) Tarikh yang berkaitan yang disebut dalam Fasal (2) ialah mana-mana satu daripada tarikh berikut yang terdahulu-

 

(a)

tiga puluh satu hari bulan Disember, seribu sembilan ratus enam puluh dua; atau

(b)

tarikh yang mula-mula sekali berkuatkuasanya sebagai sebahagian daripada Perlembagaan Negeri semua peruntukan yang dinyatakan dalam Bahagian 1 Jadual Kelapan atau peruntukan yang pada keseluruhannya sama kuat kuasanya.".

 

2. Fasal baru ini dimasukkan oleh Akta 27/1968, seksyen 3, berkuat kuasa dari 9-9-1968.



Per. 139(4):

1. Perkataan "Tertakluk kepada Perkara 146B" yang terdapat di permulaan Fasal dimasukkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 59(1), berkuat kuasa dari 16-9-1963. Akta itu juga menggantikan perkataan "lapan orang anggota lain" yang terdapat di hujung Fasal dengan "sepuluh orang anggota lain". Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 19-9-1966, menggantikan perkataan "sepuluh" dengan "dua belas".

2. Perkataan "Tertakluk kepada Perkara 146B" di permulaan Fasal dipotong dan perkataan "dua belas" digantikan dengan "tiga puluh" oleh Akta A514, seksyen 9, berkuat kuasa dari 15-5-1981.

3. Subseksyen 9(2) Akta A514, berkuat kuasa dari 15-5-1981, berbunyi seperti yang berikut:

 

"(2) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan atau Perlembagaan Negeri Sabah atau Sarawak, mana-mana anggota perkhidmatan awam Negeri Sabah atau Sarawak yang berkhidmat dalam mana-mana jawatan persekutuan atau dalam mana-mana jawatan yang dijadikan jawatan persekutuan di Negeri itu dan yang telah membuat mengikut apa jua cara atau dalam apa jua bentuk, apa-apa pilihan yang ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk menjadi anggota perkhidmatan awam am Persekutuan hendaklah disifatkan telah membuat pilihan dan dengan demikian itu ditukarkan ke, atau dilantik menjadi anggota, perkhidmatan awam Persekutuan.".

 

4. Perkataan "tetapi tidak lebih daripada tiga puluh orang anggota lain" yang terdapat di hujung Fasal digantikan dengan perkataan "anggota lain; tetapi bilangan anggota lain itu tidaklah boleh, sehingga diperuntukkan selainnya melalui perintah oleh Yang di-Pertuan Agong, melebihi tiga puluh orang" oleh Akta A767, seksyen 3, berkuat kuasa dari 11-5-1990.

5. Lihat P.U.(A) 149/90.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas