PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN X - PERKHIDMATAN-PERKHIDMATAN AWAM




Perkara 143. Syarat-syarat perkhidmatan anggota Suruhanjaya.

(1) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Fasal (2) Perkara 142, seseorang anggota sesuatu Suruhanjaya yang baginya bahagian ini terpakai, selain anggota ex officio-

(a)

hendaklah dilantik bagi tempoh lima tahun atau, jika Yang di-Pertuan Agong yang bertindak menurut budi bicaranya tetapi selepas menimbangkan nasihat Perdana Menteri dalam sesuatu hal tertentu menentukan sedemikian, bagi apa-apa tempoh yang lebih singkat yang ditentukan sedemikian olehnya;

(b)

boleh, melainkan jika hilang kelayakan, dilantik semula dari semasa ke semasa; dan

(c)

boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya tetapi tidak boleh dipecat daripada jawatan kecuali atas alasan dan mengikut cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan.



(2) Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan mana-mana anggota Suruhanjaya tersebut selain seseorang anggota yang peruntukan bagi saraannya sebagai pemegang apa- apa jawatan lain ada dibuat melalui undang-undang persekutuan; dan saraan yang diperuntukkan sedemikian hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan.

(3) Saraan dan terma-terma lain jawatan bagi seseorang anggota sesuatu Suruhanjaya yang baginya Bahagian ini terpakai tidak boleh, selepas pelantikannya, diubah menjadi kurang baik baginya.


_______________________________________
CATATAN

Per. 143(1):

Perkataan "Seseorang" di permulaan Fasal digantikan dengan "Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Fasal (2) Perkara 142, seseorang" oleh Akta A514, seksyen 12, berkuat kuasa dari 15-5-1981.



Per. 143(1)(c):

1. Perkataan "Mahkamah Besar" digantikan dengan "Mahkamah Persekutuan" oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963. Kemudiannya pula, subseksyen 18(2) Akta A566, berkuat kuasa dari 1-1--1985, memperuntukkan bahawa sebutan mengenai Mahkamah Persekutuan hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Mahkamah Agung.

2. Perkataan "Agung" digantikan dengan perkataan "Persekutuan" oleh Akta A885, seksyen 33, berkuat kuasa dari 24-6-1994.



Per. 143(2):

1. Lihat Per. 146C(2).

2. Lihat Akta Suruhanjaya Perkhidmatan 1957 [Akta 393].

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas