PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN X - PERKHIDMATAN-PERKHIDMATAN AWAM




Perkara 145. Peguam Negara.

(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri, melantik seorang yang layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan.

(2) Menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang, dan melaksanakan apa-apa tugas lain yang bersifat undang-undang, yang dari semasa ke semasa dirujukkan atau ditugaskan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri, dan menunaikan fungsi yang diberikan kepadanya oleh atau di bawah Perlembagaan ini atau mana-mana undang-undang bertulis yang lain.

(3) Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.

(3A) Undang-undang persekutuan boleh memberi Peguam Negara kuasa untuk menentukan mahkamah yang di dalamnya atau tempat apa-apa prosiding yang dia mempunyai kuasa untuk memulakannya di bawah Fasal (3) itu hendaklah dimulakan atau mahkamah yang kepadanya prosiding itu hendaklah dipindahkan.

(4) Pada melaksanakan tugasnya Peguam Negara berhak untuk didengar di dalam mana-mana mahkamah atau tribunal di Persekutuan dan hendaklah diberi keutamaan daripada mana-mana orang lain yang hadir di hadapan mahkamah atau tribunal itu.

(5) Tertakluk kepada Fasal (6), Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dan, melainkan jika dia ialah anggota Jemaah Menteri, hendaklah menerima apa-apa saraan yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.

(6) Orang yang memegang jawatan Peguam Negara sebaik sebelum permulaan kuat kuasa Perkara ini hendaklah terus memegang jawatan itu atas terma-terma dan syarat-syarat yang tidak kurang baiknya daripada terma-terma dan syarat-syarat yang terpakai baginya sebaik sebelum permulaan kuat kuasa Perkara ini dan tidaklah boleh dipecat daripada jawatan kecuali atas alasan dan mengikut cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan.


_________________________
CATATAN

Per. 145:

Perkara yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 10/1960, seksyen 26, berkuat kuasa dari 16-9-1963. Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963, memindanya seperti yang berikut:

(a)

Fasal (1) dan (6), dengan menggantikan perkataan "Mahkamah Tinggi" dengan "Mahkamah Persekutuan". Kemudiannya pula, subseksyen 18(2) Akta A566, berkuat kuasa dari 1-1--1985, memperuntukkan bahawa sebutan mengenai Mahkamah Persekutuan hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Mahkamah Agung.

(b)

Fasal (3), dengan memasukkan perkataan "mahkamah anak negeri" selepas "mahkamah Syariah" melalui Akta A354, seksyen 45, berkuat kuasa dari 27-8-1976.


Perkara yang dahulu (seperti yang dipinda oleh Akta 26/1963, subseksyen 53(4) dan seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963) berbunyi seperti yang berikut:

 

"145. (1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah, selepas berunding dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, melantik daripada kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan seorang Peguam Negara, yang hendaklah seorang yang berkelayakan menjadi hakim Mahkamah Persekutuan.

(2) Peguam Negara hendaklah memberi nasihat mengenai perkara undang-undang yang dirujukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri, dan hendaklah mempunyai kuasa, yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan. menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.

(3) Peguam Negara berhak untuk didengar di dalam mana-mana mahkamah atau tribunal dan hendaklah diberi keutamaan daripada mana-mana orang lain yang hadir di hadapan mana-mana mahkamah atau tribunal itu.

(4) Tertakluk kepada Fasal (5), Peguam Negara hendaklah memegang jawatan sehingga dia mencapai umur enam puluh lima tahun atau lebih, tidak lewat daripada enam bulan selepas dia mencapai umur itu, sebagaimana yang diluluskan oleh Yang di-Pertuan Agong.

(5) Peguam Negara boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya tetapi tidaklah boleh dipecat daripada jawatan kecuali atas alasan-alasan dan mengikut cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan.".

 

Fasal (3A): Ditambahkan oleh Akta A704, seksyen 10, berkuat kuasa dari 10-6-1988.

Fasal (1) dan (6): Perkataan "Agung" digantikan dengan perkataan "Persekutuan" oleh Akta A885, seksyen 34, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas