PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN X - PERKHIDMATAN-PERKHIDMATAN AWAM




Perkara 148. Tafsiran Bahagian X.

(1) Sebutan dalam Perlembagaan ini mengenai sesuatu Suruhanjaya yang baginya Bahagian ini terpakai ialah sebutan mengenai mana-mana Suruhanjaya yang ditubuhkan di bawah Perkara 138 hingga 141A, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain.

(2) Dalam Bahagian ini "anggota ex officio" termasuklah Menteri dan hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi dan "Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri", berhubung dengan mana-mana Negeri, ertinya sesuatu Suruhanjaya yang menjalankan fungsi berkenaan dengan anggota-anggota perkhidmatan awam Negeri itu dan yang bersamaan taraf dan bidang kuasanya dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.


____________________________________
CATATAN

Per. 148(1):

1. Perkataan ", melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain," dimasukkan oleh Akta 10/1960, perenggan 27(a), berkuat kuasa dari 1-4-1961. Perenggan 27(b) Akta yang sama, berkuat kuasa dari 31-5-1960, menggantikan angka "138" dengan "139"; Akta 26/1963, subseksyen 53(5), berkuat kuasa dari 16-9-1963, mengekalkan angka asal "138".

2. Angka "141" digantikan dengan "141A" oleh Akta A354, seksyen 39,berkuat kuasa dari 27-8-1976.



Per. 148(2):

1. Fasal yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 14/1962, Jadual seksyen 11, berkuat kuasa dari 21-6-1962. Akta 26/1963, subseksyen 59(2) dan seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963, menggantikan perkataan "Mahkamah Besar" dengan "Mahkamah Persekutuan atau hakim Mahkamah Tinggi" dan menambahkan selepas itu perkataan 'dan "Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri", berhubung dengan mana-mana Negeri, ertinya sesuatu Suruhanjaya yang menjalankan fungsi-fungsi berkenaan dengan anggota-anggota perkhidmatan awam Negeri itu dan yang bersamaan taraf dan bidang kuasa dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam'. Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 19-9-1966, membetulkan kesilapan yang terdapat dalam Cetakan Semula tahun 1964. Fasal yang dahulu berbunyi seperti yang berikut:

 

'(2) Dalam Bahagian ini "anggota ex officio" termasuklah seorang Menteri, Hakim Besar dan hakim-hakim lain Mahkamah Besar dan Peguam Negara.'.

 

Kemudiannya pula, subseksyen 18(2) Akta A566, berkuat kuasa dari 1-1-1985, memperuntukkan bahawa sebutan mengenai Mahkamah Persekutuan hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Mahkamah Agung.

2. Perkataan "Mahkamah Agung" digantikan dengan "Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan" oleh Akta A885, seksyen 35, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas