PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN XII - AM DAN PELBAGAI




Perkara 152. Bahasa kebangsaan.

(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:

Dengan syarat bahawa-

(a)

tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan

(b)

tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.



(2) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, bahasa Inggeris boleh digunakan di dalam kedua-dua Majlis Parlimen, di dalam Dewan Undangan tiap-tiap Negeri, dan bagi segala maksud rasmi yang lain.

(3) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, teks sahih-

(a)

segala Rang Undang-Undang yang hendak dibawa atau pindaan kepadanya yang hendak dicadangkan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen; dan

(b)

segala Akta Parlimen dan segala perundangan subsidiari yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan,



hendaklah dalam bahasa Inggeris.

(4) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi hendaklah dalam bahasa Inggeris:

Dengan syarat bahawa, jika Mahkamah dan peguam bagi kedua-dua pihak bersetuju, keterangan yang diambil dalam bahasa yang digunakan oleh saksi tidak perlu diterjemahkan ke dalam atau direkodkan dalam bahasa Inggeris.

(5) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam mahkamah rendah, selain pengambilan keterangan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.

(6) Dalam Perkara ini, "maksud rasmi" ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.


_______________________________________
CATATAN

Per. 152:

1. Lihat Per. 161(5).

2. Lihat Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 [Akta 32].

Fasal (2) dan (3): Lihat Per. 161(1).

Fasal (4):

1. Perkataan "Mahkamah Besar" digantikan dengan "Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Tinggi' oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963. Kemudiannya pula, subseksyen 18(2) Akta A566 memperuntukkan bahawa sebutan mengenai Mahkamah Persekutuan hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Mahkamah Agung.

2. Lihat Per. 161(1).

3. Perkataan "Mahkamah Agung" digantikan dengan "Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan" oleh Akta A885, seksyen 37, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

Fasal (5): Lihat Per. 161(1).

Fasal (6): Dimasukkan oleh Akta A30, seksyen 5, berkuat kuasa dari 10-3-1971.

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas