PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN XII - AM DAN PELBAGAI




Perkara 154. Ibu kota persekutuan.

(1) Sehingga diputuskan selainnya oleh Parlimen, perbandaran Kuala Lumpur ialah ibu kota persekutuan.

(2) Walau apa pun apa-apa jua dalam Bahagian VI, Parlimen mempunyai kuasa khusus untuk membuat undang-undang mengenai sempadan ibu kota persekutuan.

(3) (Dimansuhkan).


_____________________________________
CATATAN

Per. 154:

Lihat Akta Kota Persekutuan 1960 [Akta 190].

Fasal (3):

Dimansuhkan oleh Akta 10/1960, seksyen 31, berkuat kuasa dari 8-8-1960 yang juga memotong perkataan "tetapi tertakluk kepada Fasal (3)" selepas perkataan "Bahagian VI" dalam Fasal (2). Fasal (3) yang asal berbunyi seperti yang berikut:

 

'(3) Berhubung dengan perbandaran Kuala Lumpur, Fasal (2) tidaklah terpakai sehingga suatu tarikh yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan persetujuan Raja Negeri Selangor menurut perkiraan yang dibuat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri itu bagi penubuhan ibu kota Negeri di suatu tempat lain; dan sehingga tarikh itu ditetapkan, Senarai Persekutuan hendaklah terpakai seolah-olah butiran (c) seksyen 6, dan perkataan "kadar di ibu kota persekutuan" dalam butiran (h) seksyen 7 ditinggalkan.".

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas