PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN XII - AM DAN PELBAGAI




Perkara 159. Pindaan Perlembagaan.

(1) Tertakluk kepada peruntukan yang berikut dalam Perkara ini dan kepada Perkara 161E, peruntukan Perlembagaan ini boleh dipinda melalui undang-undang persekutuan.

(2) (Dimansuhkan).

(3) Sesuatu Rang Undang-Undang bagi membuat apa-apa pindaan kepada Perlembagaan (selain pindaan yang dikecualikan daripada peruntukan Fasal ini) dan sesuatu Rang Undang-Undang bagi membuat apa-apa pindaan kepada sesuatu undang-undang yang diluluskan di bawah Fasal (4) Perkara 10 tidaklah boleh diluluskan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen melainkan jika Rang Undang-Undang itu telah disokong pada Bacaan Kali Kedua dan Kali Ketiga dengan undi sebanyak tidak kurang daripada dua pertiga daripada jumlah bilangan ahli Majlis Parlimen itu.

(4) Pindaan-pindaan yang berikut dikecualikan daripada peruntukan Fasal (3), iaitu;

(a)

apa-apa pindaan kepada Bahagian III Jadual Kedua atau kepada Jadual Keenam atau Jadual Ketujuh;

(b)

apa-apa pindaan yang bersampingan dengan atau berbangkit daripada penjalanan apa-apa kuasa untuk membuat undang-undang yang diberikan kepada Parlimen oleh mana-mana peruntukan Perlembagaan ini selain Perkara 74 dan 76;

(bb)

tertakluk kepada Perkara 161E apa-apa pindaan yang dibuat bagi atau berkaitan dengan penerimaan masuk mana-mana Negeri ke dalam Persekutuan atau pergabungannya dengan Negeri-Negeri Persekutuan, atau apa-apa ubah suaian yang dibuat tentang pemakaian Perlembagaan ini bagi sesuatu Negeri yang diterima masuk atau bergabung sedemikian sebelum itu;

(c)

apa-apa pindaan yang berbangkit daripada sesuatu pindaan yang dibuat di bawah perenggan (a).



(5) Sesuatu undang-undang yang membuat sesuatu pindaan kepada Fasal (4) Perkara 10, apa-apa undang-undang yang diluluskan di bawahnya, peruntukan Bahagian III, Perkara 38, 63(4), 70(1), 72(4), 152, atau 153 atau kepada Fasal ini tidaklah boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

(6) Dalam Perkara ini "pindaan" termasuklah tambahan dan pemansuhan; dan dalam Perkara ini dan dalam Perkara 2(a) "Negeri" termasuklah mana-mana wilayah.


___________________________
CATATAN

Per. 159:

Lihat Per. 159A.

Fasal (1): Perkataan kepada Perkara 161E dan 161H" dimasukkan selepas "Perkara ini" oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963. Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965, menggantikannya dengan perkataan "dan kepada Perkara 161E".

Fasal (2): Fasal ini yang berbunyi seperti yang berikut dimansuhkan oleh Akta 25/1963, seksyen 8, berkuat kuasa dari 29-8-1963:

 

"(2) Tiada pindaan kepada Perlembagaan ini boleh dibuat sebelum Parlimen ditubuhkan mengikut Bahagian IV, kecuali apa-apa yang difikirkan perlu oleh Majlis Perundangan untuk menghapuskan apa-apa kesulitan dalam masa peralihan daripada perkiraan perlembagaan yang berkuat kuasa sebaik sebelum Hari Merdeka dengan apa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan ini; tetapi apa-apa undang-undang yang dibuat menurut Fasal ini hendaklah, melainkan jika dimansuhkan terlebih dahulu, terhenti berkuat kuasa apabila habis tempoh dua belas bulan yang bermula pada hari Parlimen pertama kali bersidang.".

 

Fasal (3): Lihat Per. 62(3), 68(5), 161E(1). Perkataan "dan sesuatu Rang Undang-Undang bagi membuat apa-apa pindaan kepada sesuatu undang-undang yang diluluskan di bawah Fasal (4) Perkara 10" dimasukkan selepas "yang dikecualikan daripada peruntukan-peruntukan Fasal ini" oleh Akta A30, seksyen 7, berkuat kuasa dari 10-3-1971.

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas