PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN III - KEWARGANEGARAAN
Bab 1 - Pemerolehan Kewarganegaraan




Perkara 16. Kewarganegaraan melalui pendaftaran (orang yang bermastautin di Negeri Sabah dan Sarawak pada hari Malaysia).

Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh mana-mana orang yang berumur lapan belas tahun atau lebih dan yang dilahirkan di Persekutuan sebelum Hari Merdeka, maka orang itu berhak didaftarkan sebagai warganegara jika dia memuaskan hati Kerajaan Persekutuan--

(a) bahawa dia telah bermastautin di Persekutuan dalam masa tujuh tahun sebaik sebelum tarikh permohonan itu, selama tempoh yang pada agregatnya berjumlah tidak kurang daripada lima tahun;

(b) bahawa dia berniat hendak berbuat demikian secara tetap;

(c) bahawa dia berkelakuan baik; dan

(d) bahawa dia mempunyai pengetahuan asas bahasa Melayu.

_____________________________________________
CATATAN

Per. 16:

1. Akta 10/1960, perenggan 2(a) dan (b), berkuat kuasa dari 1-12-1960, menggantikan perkataan "pihak berkuasa pendaftaran" dan "pihak berkuasa itu" dengan "Kerajaan Persekutuan".

2. Akta 25/1963, seksyen 8, berkuat kuasa dari 29-8-1963, memotong perkataan "kecuali jika permohonan dibuat dalam masa satu tahun selepas Hari Merdeka," yang terdapat di permulaan perenggan (d).

3. Akta 26/1963, subseksyen 29(1), berkuat kuasa dari 16-9-1963--

(a) memasukkan perkataan "di luar Singapura" selepas "Persekutuan" dalam perenggan (a). Perkataan ini dimansuhkan kemudiannya oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965.

(b) menggantikan perkataan "hendak bermastautin secara tetap di Persekutuan" dalam perenggan (b) dengan "hendak berbuat demikian secara tetap". 

                                                                                                                                                                                                             

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas