PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN XIII - PERUNTUKAN SEMENTARA DAN PERALIHAN




Perkara 162. Undang-undang yang sedia ada.

(1) Tertakluk kepada peruntukan yang berikut dalam Perkara ini dan Perkara 163, undang-undang yang sedia ada hendaklah, sehingga dimansuhkan oleh pihak berkuasa yang mempunyai kuasa untuk berbuat demikian di bawah Perlembagaan ini, terus berkuat kuasa pada dan selepas Hari Merdeka, dengan apa-apa ubah suaian sebagaimana yang dibuat dalamnya di bawah Perkara ini dan tertakluk kepada apa-apa pindaan yang dibuat oleh undang-undang persekutuan atau undang-undang Negeri.

(2) Jika mana-mana undang-undang Negeri meminda atau memansuhkan sesuatu undang-undang yang sedia ada yang dibuat oleh Badan Perundangasn sesuatu Negeri, maka tiada apa-apa jua dalam Perkara 75 boleh menidaksahkan pindaan atau pemansuhan itu semata-mata oleh sebab undang-undang sedia ada itu, yang berhubungan dengan sesuatu perkara yang berkenaan dengannya Parlimen dan juga Badan Perundangan sesuatu Negeri mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang, ialah undang-undag persekutuan sebagaimana yang ditakrifkan oleh Perkara 160.

(3) Sebutan dalam mana-mana undang-undang yang sedia ada mengenai Persekutuan yang ditubuhkan oleh Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, dan wilayah-wilayahnya, dan mengenai mana-mana pegawai yang memegang jawatan di bawah Persekutuan itu atau mengenai mana-mana pihak berkuasa atau badan yang ditubuhkan di dalam atau bagi Persekutuan itu (termasuklah apa-apa sebutan yang kena ditafsirkan sebagai sebutan sedemikian menurut kuasa Fasal 135 Perjanajian tersebut) hendaklah ditafsirkan, berhubung dengan bila-bila masa pada atau selepas Hari Merdeka, sebagai sebutan mengenai Persekutuan (iaitu, Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957) dan wilayah-wilayahnya dan mengenai masing-masing pegawai, pihak berkuasa atau badan yang bersamaan; dan Yang di-Pertuan Agong boleh melalui perintah mengisytiharkan pegawai, pihak berkuasa atau badan yang manakah yang hendak dikira bagi maksud Fasal ini sebagai bersamaan dengan mana-mana pegawai, pihak berkuasa atau badan yang disebut dalam mana-mana undang-undang yang sedia ada.

(4) (Dimansuhkan).

(5) Apa-apa perintah yang dibuat di bawah Fasal (4) boleh dipinda atau dimansuhkan oleh pihak berkuasa yang mempunayi kuasa untuk membuat undang-undang mengenai perkara yang dimaksudkan oleh perintah itu.

(6) Mana-mana mahkamah atau tribunal yang memakai peruntukan mana-mana undang-undang yang sedia ada yang belum diubahsuaikan pada atau selepas Hari Merdeka di bawah Perkara ini atau selainnya boleh memakainya dengan apa-apa ubah suaian perlu untuk menyelaraskannya dengan peruntukan Perlembagaan ini.

(7) Dalam Perkara ini, "ubah suaian termasuklah pindaaan, penyesuaian dan pemansuhan.

___________________________________________
CATATAN

Bahagian XIII: Lihat Per. 160(2), takrif "Undang-undang persekutuan" dan Undang-undang Negeri".

Per. 162(3):

Perkataan "dan mana-mana pegawai yang memegang jawatan" digantikan dengan "dan mengenai mana-mana pegawai yang memegang jawatan" oleh Akta A31, seksyen 9, berkuat kuasa dari 24-3-1971.

Per. 162(4):

Fasal ini yang berbunyi seperti yang berikut dimansuhkan oleh Akta 25/1963, seksyen 8, bekuat kuasa dari 29-8-1963, dan pemansuhan itu hendaklah tanpa menjejaskan perjalanan kuat kuasa mana-mana perintah yang di buat di bawah Fasal itu:

"(4) Yang di-Pertuan Agong boleh, dalam tempoh dua tahun bermula dari Hari Merdeka, melalui perintah membuat

apa-apa ubah suaian dalam mana-mana undang-undang yang sedia ada, selain Perlembagaan mana-mana Negeri, sebagaimana yang didapatinya perlu atau suai manfaat bagi maksud menyelaraskan peruntukan undang-undang itu dengan peruntukan Perlembagaan ini; tetapi sebelum membuat apa-apa perintah yang sedemikian berhubung dengan suatu undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan sesuatu Negeri, dia hendaklah berunding dengan Kerajaan Negeri itu.".

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas