PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN III - KEWARGANEGARAAN
Bab 1 - Pemerolehan Kewarganegaraan




Perkara 18. Peruntukan am tentang pendaftaran.

(1) Tiada seorang pun yang berumur lapan belas tahun atau lebih boleh didaftarkan sebagai warganegara di bawah Perlembagaan ini sehinggalah dia telah mengangkat sumpah yang dinyatakan dalam Jadual Pertama.

(2) Kecuali dengan kelulusan Kerajaan Persekutuan, tiada seorang pun yang telah melepaskan atau yang telah dilucutkan kewarganegaraannya di bawah Perlembagaan ini atau yang telah melepaskan atau yang telah dilucutkan kewarganegaraan persekutuan atau kewarganegaraan bagi Persekutuan sebelum Hari Merdeka di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 boleh didaftarkan sebagai warganegara di bawah Perlembagaan ini.

(3) Seseorang yang didaftarkan sebagai warganegara di bawah Perlembagaan ini menjadi warganegara melalui pendaftaran mulai dari hari dia didaftarkan sedemikian.

(4) (Dimansuhkan).



__________________________________________________
CATATAN:

Per. 18:

1. Perkataan "Perlembagaan ini" yang terdapat dalam Fasal (1), di hujung Fasal (2) dan dalam Fasal (3) dimasukkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 29(2), berkuat kuasa dari 16-9-1963, dan menggantikan sebutan mengenai Perkara 15 dan 16. Akta itu juga memasukkan perkataan "atau Perlembagaan Negeri Singapura" selepas perkataan "dilucutkan kewarganegaraannya di bawah Perlembagaan ini" dalam Fasal (2) tetapi perkataan ini dipotong oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965.

2. Fasal (4) yang berbunyi, seperti yang berikut dimansuhkan oleh Akta 25/1963, seksyen 8, berkuat kuasa dari 29-8-1963:

"(4) Bagi maksud mana-mana permohonan untuk pendaftaran di bawah mana-mana Perkara tersebut, seseorang hendaklah disifatkan sebagai berkelakuan baik melainkan jika dalam tempoh tiga tahun sebaik sebelum tarikh permohonan itu--

(a) dia telah disabitkan oleh suatu mahkamah berwibawa di mana-mana negara atas suatu kesalahan jenayah yang kerananya dia telah dihukum mati; atau

(b) dia telah ditahan kerana dihukum penjara selama dua belas bulan atau lebih yang dikenakan ke atasnya apabila dia disabitkan atas kesalahan jenayah (sama ada dalam masa atau sebelum tempoh tersebut) oleh mahkamah yang sedemikian itu,

dan dalam kedua-dua hal itu dia belum mendapat pengampunan bebas berkenaan dengan kesalahan itu."

3. Lihat Per. 15(1), (2), (3), 15A, 16, 16A.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas