PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN XV - PROSIDING TERHADAP YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA-RAJA




Perkara 182. Mahkamah Khas.

(1) Maka hendaklah ada suatu mahkamah yang hendaklah dikenali sebagai Mahkamah Khas dan hendaklah terdiri daripada Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, yang hendaklah menjadi Pengerusi, Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi, dan dua orang lain yang memegang atau pernah memegang jawatan sebagai hakim Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Tinggi yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja.

(2) Apa-apa prosiding oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau Raja sesuatu Negeri atas sifat peribadinya hendaklah dibawa di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Fasal (1).

(3) Mahkamah Khas hendaklah mempunyai bidang kuasa khusus untuk membicarakan segala kesalahan yang dilakukan di Persekutuan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Raja sesuatu Negeri dan segala kes sivil oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau Raja sesuatu negeri walau di mana-mana pun kuasa tindakan berbangkit.

(4) Mahkamah Khas hendaklah mempunnyai bidang kuasa dan kuasa-kuasa yang sama seperti yang terletak hak pada mahkamah-mahkamah bawahan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan melalui Perlembagaan ini atau mana-mana undang-undang persekutuan dan hendaklah mempunyai pejabar pendaftarannya di Kuala Lumpur.

(5) Sehingga Parlimen, melalui undang-undang, membuat peruntukan khas yang berlawanan berkenaan dengan tatacara (termasuk pendengaran prosiding secara tertutup) dalam kes-kes sivil atau jenayah undang-undang yang mengawal selia keterangan dan pembuktian dalam prosiding sivil dan jenayah, maka amalan dan tatacara yang terpakai dalam mana-mana prosiding di dalam mana-mana mahkamah, mana-mana Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan hendaklah terpakai dalam mana-mana prosiding di dalam Mahkamah Khas.

(6) Prosiding di dalam Mahkamah Khas hendaklah diputuskan mengikut pendapat majoritu anggota dan keputusannya adalah muktamad dan konklusif dan tidak boleh dicabar atau dipertikaikan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.

(7) Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Ketua Hakim Negara, membuat apa-apa kaedah yang difikirkannya perlu atau suai manfaat untuk membuat peruntukan bagi penghapusan apa-apa jua pun kesulitan atau anomali dalam mana-mana undang-undang bertulis atau dalam perlaksanaan apa-apa fungsi, perjalanan apa-apa kuasa, penunaian apa-apa kewajipan, atau pembuatan apa-apa perbuatan, di bawah mana-mana undang-undang bertulis, yang mungkin disebabkan oleh Perkara ini; dan bagi maksud itu kaedah-kaedah itu boeh membuat apa-apa jua pun pengubahsuaian, adaptasi, pengubahan, pertukaran atau pindaan kepada mana-mana undang-undang bertulis.

____________________________________________
CATATAN

Bahagian XV, Per. 182:

Ditambahkan oleh Akta A848, seksyen 7A, berkuat kuasa dari 30-3-1993.

Catatan:

Tiada apa-apa jua prosiding boleh dibawa didalam mana-mana mahkamah atau didalam Mahkamah Khas terhadap Yang di-Pertuan Agong atau Raja sesuatu Negeri atas sifat peribadinya berkenaan dengan apa-apa jua yang dilakukan atau ditinggalkan daripada olehnya sebelum permulaan kuat kuasa Akta perlembagaan (Pindaan) 1993-Lihat seksyen 8 Akta A848.

Per. 182:

Fasal (1): Perkataan "Ketua Hakim Negara Mahkamah Agung" dan "Agung" digantikan dengan "Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan" dan "Persekutuan" oleh Akta A885, seksyen 42, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

Fasal (4) dan (5): Perkataan "Agung" digantikan dengan perkataan "Persekutuan" oleh Akta A885, seksyen 42, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas