Perkara 20. (Naturalisasi bagi anggota-anggota angkatan Persekutuan -- Dimansuhkan).

(Dimansuhkan).

_____________________________________________
CATATAN

Per. 20:

1. (a) Perkara ini yang berbunyi seperti yang berikut dimansuhkan oleh Akta 14/1962, seksyen 7, berkuat kuasa dari 1-2-1964:

"20. (1) Tertakluk kepada Perkara 21, apabila permohonan dibuat oleh mana-mana orang mengikut Fasal (2), Kerajaan Persekutuan hendaklah memberikan suatu perakuan naturalisasi kepada orang itu jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati--

(a) bahawa dia telah berkhidmat dengan memuaskan selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun dalam perkhidmatan sepenuh masa, atau selama tempoh tidak kurang daripada empat tahun dalam perkhidmatan sambilan, dalam mana-mana angkatan tentera Persekutuan sebagaimana yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi maksud Perkara ini; dan

(b) bahawa dia berniat hendak bermastautin secara tetap di Negeri-Negeri Tanah Melayu jika perakuan itu diberikan.

(2) Permohonan di bawah Perkara ini boleh dibuat sama ada semasa pemohon sedang berkhidmat dalam mana-mana perkhidmatan yang disebut terdahulu atau dalam tempoh lima tahun, atau sesuatu tempoh lanjutan sebagaimana yang dibenarkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam apa-apa hal tertentu, selepas pelepasannya.

(3) Sebutan dalam Perkara ini mengenai perkhidmatan dalam angkatan tentera Persekutuan termasuklah sebutan mengenai perkhidmatan sebelum Hari Merdeka; dan pada membuat hitungan bagi maksud Perkara ini akan tempoh perkhidmatan sepenuh masa seseorang dalam angkatan tentera itu yang telah berkhidmat sepenuh masa dan juga sambilan maka dua bulan perkhidmatan sambilan hendaklah dikira sebagai satu bulan perkhidmatan sepenuh masa.".

(b) Perkataan "Negeri-Negeri Tanah Melayu" yang terdapat di hujung Fasal (1)(b) dimasukkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 29(3), berkuat kuasa dari 16-9-1963, menggantikan perkataan "Persekutuan".

2. Berkenaan dengan senarai angkatan tentera yang ditetapkan di bawah Perkara 20(1)(a) lihat L.N. 261/1958.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas