PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN III - KEWARGANEGARAAN
Bab 2 - Penamatan Kewarganegaraan




Perkara 26. Peruntukan lain bagi melucutkan kewarganegaraan melalui pendaftaran atau penaturalisasian.

(1) Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan mana-mana warganegara yang menjadi warganegara melalui pendaftaran atau melalui penaturalisasian jika berpuas hati bahawa pendaftaran atau perakuan naturalisasi itu--

(a) telah didapati dengan cara fraud, nyataan palsu atau penyembunyian apa-apa fakta material; atau

(b) telah dibuat atau diberikan dengan silap.

(2) Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan mana-mana perempuan yang menjadi warganegara melalui pendaftaran di bawah Fasal (1) Perkara 15 jika berpuas hati bahawa perkahwinan yang disebabkan olehnya perempuan itu didaftarkan telah dibubarkan, melainkan disebabkan oleh kematian, dalam tempoh dua tahun mulai dari tarikh perkahwinan itu.

(3) (Dimansuhkan).

(4) (Dimansuhkan).

____________________________________________
CATATAN

Per.26:

1. Akta 14/1962, Jadual, seksyen 3, berkuat kuasa dari 1-10-1962, memotong Fasal (3) dan meminda Fasal (1) dan (2) dengan memotong perkataan "Tertakluk kepada Fasal (3)" yang terdapat di permulaan Fasal itu, dan mengikut subseksyen 27(3) pula membuat peruntukan yang berikut:

"(3) Jika dalam masa satu bulan selepas permulaan kuat kuasa seksyen ini Menteri menjalankan kuasa pewakilan yang diberikan oleh seksyen 4 Jadual Kedua tersebut sebagaimana yang dipinda oleh seksyen ini, mana-mana perintah di bawah Perkara 26 Perlembagaan yang dibuat sebelum penjalanan kuasa itu (sama ada dibuat sebelum atau selepas lulusnya Akta Perlembagaan (Pindaan) 1960) sama sahnya seolah-olah seksyen 4 tersebut telah berkuat kuasa pada masa perintah itu dibuat sebagaimana seksyen itu berkuat kuasa selepas permulaan kuat kuasa seksyen ini, dan seolah-olah penjalanan kuasa pewakilan tersebut telahpun berkuat kuasa pada masa itu.".

2. Akta 19/1964, seksyen 3, berkuat kuasa dari 30-7-1964, memansuhkan Fasal (4). Fasal (3) dan (4) yang dimansuhkan itu berbunyi seperti yang berikut:

"(3) Tiada seorang pun boleh dilucutkan kewarganegaraan di bawah Perkara ini melainkan jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa tidak berfaedah kepada kebaikan awam untuk orang itu terus menjadi warganegara; dan tiada seorang pun boleh dilucutkan kewarganegaraan di bawah perenggan (b) Fasal (1) melainkan jika notis yang dikehendaki oleh Perkara 27 diberikan dalam masa dua belas bulan bermula dengan tarikh pendaftaran atau pemberian perakuan, mengikut mana-mana yang berkenaan.

(4) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara ini, pendaftaran seseorang sebagai warganegara atau pemberian perakuan naturalisasi kepada mana-mana orang tidaklah boleh dipersoalkan atas alasan kesilapan.".

3. Lihat Per. 26B(2), 27(1), 28A(2), Jadual Kedua Bahagian III, seksyen 4(1), (3).

Fasal (1)(a): Lihat Per. 26A.

Fasal (1)(b): Lihat Per. 26B(2).

Fasal (2): Lihat Per. 28A(3).

Fasal (3) dan (4): Lihat catatan di atas.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas