PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN III - KEWARGANEGARAAN
Bab 2 - Penamatan Kewarganegaraan




Perkara 28. Pemakaian Bab 2 bagi warganegara tertentu melalui kuat kuasa undang-undang.

(1) Bagi maksud peruntukan yang terdahulu dalam Bab ini--

(a) mana-mana orang yang sebelum Hari Merdeka menjadi warganegara persekutuan atau warganegara bagi Persekutuan melalui pendaftaran sebagai warganegara atau berikutan dengan pendaftarannya sebagai rakyat seseorang Raja, atau melalui pemberian perakuan kewarganegaraan, di bawah mana-mana peruntukan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, atau mana-mana peruntukan mana-mana undang-undang Negeri hendaklah dikira sebagai warganegara melalui pendaftaran dan, jika dia tidak dilahirkan di dalam Persekutuan, sebagai warganegara melalui pendaftaran di bawah Perkara 17;

(b) seseorang perempuan yang sebelum Hari Merdeka menjadi warganegara persekutuan atau warganegara bagi Persekutuan melalui pendaftaran sebagai warganegara, atau berikutan dengan pendaftarannya sebagai rakyat seseorang Raja, di bawah mana-mana peruntukan Perjanjian tersebut atau mana-mana peruntukan mana-mana undang-undang Negeri yang membenarkan pendaftaran perempuan yang berkahwin dengan warganegara bagi Persekutuan atau dengan rakyat Raja hendaklah dikira sebagai warganegara melalui pendaftaran di bawah Fasal (1) Perkara 15;

(c) mana-mana orang yang sebelum Hari Merdeka telah dinaturalisasikan sebagai warganegara persekutuan atau warganegara bagi Persekutuan di bawah Perjanjian tersebut atau yang menjadi warganegara persekutuan atau warganegara bagi Persekutuan berikutan dengan penaturalisasiannya sebagai rakyat seseorang Raja di bawah mana-mana undang-undang Negeri hendaklah (tertakluk kepada Fasal (2)) dikira sebagai warganegara melalui penaturalisasian,

dan sebutan dalam peruntukan itu mengenai pendaftaran atau penaturalisasian seseorang warganegara hendaklah ditafsirkan dengan sewajarnya.

(2) Tiada seorang pun yang dilahirkan di dalam Persekutuan boleh menurut kuasa Perkara ini dilucutkan kewarganegaraan di bawah Perkara 25.

(3) Seseorang yang pada Hari Merdeka menjadi warganegara melalui kuat kuasa undang-undang oleh sebab telah menjadi warganegara bagi Persekutuan sebaik sebelum hari itu tidak boleh dilucutkan kewarganegaraan di bawah Fasal (1) atau (2) Perkara 24 oleh sebab apa-apa jua yang dilakukan pada atau sebelum hari itu; tetapi dalam hal mana-mana orang sedemikian Fasal (2) Perkara 25 hendaklah terpakai juga berhubung dengan tempoh kemastautinan di negara-negara asing yang bermula sebelum Hari Merdeka dan berhubung dengan sesuatu tempoh sedemikian yang bermula pada atau selepas hari itu.


_________________________________
CATATAN

Per. 28:

Lihat jadual Kedua Bahagian III, seksyen 10(2).

Lihat Enakmen Kerakyatan Negeri 1952 bagi Negeri masing-masing.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas