PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN IV - PERSEKUTUAN
Bab 1 - Ketua Utama Negara




Perkara 33. Timbalan Ketua Utama Negara bagi Persekutuan.

(1) Maka hendaklah ada seorang Timbalan Ketua Utama Negara bagi Persekutuan (digelar Timbalan Yang di-Pertuan Agong) yang hendaklah menjalankan fungsi dan mempunyai keistimewaan Yang di-Pertuan Agong selama apa-apa kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertuan Agong dan selama apa-apa tempoh semasa Yang di-Pertuan Agong tidak dapat menjalankan fungsi jawatannya kerana sakit, tidak ada di dalam Persekutuan atau kerana apa-apa sebab lain, tetapi Timbalan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menjalankan fungsi itu semasa Yang di-Pertuan Agong tidak berdaya atau tidak ada di dalam Persekutuan selama tempoh yang dijangka kurang daripada lima belas hari, melainkan jika Timbalan Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa adalah perlu atau suai manfaat untuk menjalankan fungsi itu.

(2) Timbalan Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipilih oleh Majlis Raja-Raja bagi tempoh lima tahun, atau jika dipilih dalam tempoh yang baginya Yang di-Pertuan Agong dipilih, bagi baki tempoh itu, tetapi boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Majlis Raja-Raja, dan hendaklah berhenti memegang jawatan apabila terhenti menjadi Raja.

(3) Jika dalam tempoh yang baginya Timbalan Yang di-Pertuan Agong itu dipilih berlaku kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertuan Agong, maka tempoh jawatannya hendaklah tamat apabila kekosongan itu diisi.

(4) Peruntukan Bahagian II Jadual Ketiga hendaklah terpakai bagi pemilihan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

(5) Parlimen boleh melalui undang-undang* membuat peruntukan supaya fungsi Yang di-Pertuan Agong dijalankan oleh seorang Raja dalam hal jika fungsi itu kena menurut Fasal (1) dijalankan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong tetapi tidak dapat dijalankan sedemikian kerana jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong kosong atau kerana Timbalan Yang di-Pertuan Agong sakit, tidak ada di dalam Persekutuan atau kerana apa-apa sebab lain; tetapi undang-undang sedemikian tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

____________________________________________
CATATAN:

* Lihat Akta Yang di-Pertuan Agong (Penjalanan Fungsi) 1957 [Akta 373].

Per. 33:

Fasal (1): Perkataan "dikenali sebagai" digantikan dengan "digelar", dan perkataan "tetapi Timbalan Kepala Utama Negara tidak boleh menjalankan tugas-tugas itu dalam masa Yang di-Pertuan Agong tidak ada dalam Persekutuan selama yang dijangka kurang daripada lima belas hari" digantikan dengan "tetapi Timbalan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menjalankan fungsi itu semasa Yang di-Pertuan Agong tidak berdaya atau tidak ada di dalam Persekutuan selama tempoh yang dijangka kurang daripada lima belas hari, melainkan jika Timbalan Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa adalah perlu atau suai manfaat untuk menjalankan fungsi itu" oleh Akta A354, seksyen 10, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Fasal (2): Perkataan "Timbalan Kepala Utama Negara" digantikan dengan "Timbalan Yang di-Pertuan Agong" oleh Akta A354, seksyen 11, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Fasal (3): Perkataan "Timbalan Kepala Utama Negara bagi Persekutuan" digantikan dengan "Timbalan Yang di-Pertuan Agong" oleh Akta A354, seksyen 11, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Fasal (5): Lihat: (a) Per. 37(4).

(b) Akta Yang di-Pertuan Agong (Penjalanan Fungsi) 1957 [Akta 373].

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas