PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN IV - PERSEKUTUAN
Bab 2 - Majlis Raja-Raja




Perkara 38. Majlis Raja-Raja.

(1) Maka hendaklah ada suatu Majlis Raja-Raja yang hendaklah ditubuhkan mengikut Jadual Kelima.

(2) Majlis Raja-Raja hendaklah menjalankan tugasnya bagi--

(a) memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Jadual Ketiga;

(b) mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh.

(c) memperkenankan atau tidak memperkenankan apa-apa undang-undang dan membuat atau memberikan nasihat mengenai apa-apa pelantikan yang di bawah Perlembagaan ini dikehendaki diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja atau dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

(d) melantik anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182.

(e) memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum, atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42,

dan boleh menimbang teliti soal-soal mengenai dasar negara (misalnya perubahan-perubahan tentang dasar imigresen) dan apa-apa perkara lain yang difikirkannya patut.

(3) Apabila Majlis Raja-Raja menimbang teliti perkara-perkara mengenai dasar negara Yang di-Pertuan Agong hendaklah disertai oleh Perdana Menteri, dan Raja-Raja yang lain serta Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri disertai oleh Menteri-Menteri Besar atau Ketua-Ketua Menteri mereka; dan penimbangtelitian itu adalah antara fungsi yang dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut nasihat Jemaah Menteri, dan oleh Raja-Raja yang lain serta Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri itu mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan mereka.

(4) Tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

(5) Majlis Raja-Raja hendaklah dirundingi sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar yang menyentuh tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153.

(6) Anggota-anggota Majlis Raja-Raja boleh bertindak menurut budi bicara mereka dalam apa-apa prosiding yang berhubungan dengan fungsi yang berikut, iaitu:

(a) memilih Yang di-Pertuan Agong atau memecat Yang di-Pertuan Agong daripada jawatannya, atau memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong;

(b) memberikan nasihat mengenai apa-apa pelantikan;

(c) memperkenankan atau tidak memperkenankan apa-apa undang-undang yang mengubah sempadan-sempadan sesuatu Negeri atau yang menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja;

(d) mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh;

(e) pelantikan anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182; atau

(f) memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum, atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42.

(7) (Dimansuhkan).


___________________________________
CATATAN

Per. 38(2)(a):

Perkataan "Timbalan Kepala Utama Negara bagi Persekutuan" digantikan dengan 'Timbalan Yang di-Pertuan Agong" oleh Akta A354, seksyen 11, berkuat kuasa dari 27-8-1976.



Per. 38(2)(d) & (e):

Ditambahkan oleh Akta A848, seksyen 3, berkuat kuasa dari 30-3-1993.



Per. 38(3):

Perkataan "Gabenor-Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.



Per. 38(6):

Perkataan "Timbalan Kepala Utama Negara bagi Persekutuan" digantikan dengan "Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Akta A354, seksyen 11, berkuat kuasa dari 27-8-1976.



Per. 38(6)(e) & (f):

Ditambahkan oleh Akta A848, seksyen 3, berkuat kuasa dari 30-3-1993.



Per. 38(7):

1. Fasal ini yang dimasukkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 7(3), berkuat kuasa dari 16-9-1963, dan dimansuhkan oleh Akta A354, seksyen 13, berkuat kuasa dari 27-8-1976, berbunyi seperti yang berikut:

 

"(7) Fungsi Majlis Raja-Raja mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh tidaklah boleh diperluas ke Sabah dan Sarawak, dan dengan demikian Negeri-Negeri tersebut hendaklah dikira terkecuali daripada sebutan dalam Fasal (2) Perkara 3 dan dalam Perkara ini mengenai Persekutuan secara menyeluruh.".

 

2. Lihat Per. 159(5).

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas