PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN IV - PERSEKUTUAN
Bab 3 - Badan Eksekutif




Perkara 42. Kuasa pengampunan, dsb.

(1) Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam Negerinya.

(2) Tertakluk kepada Fasal (10), dan tanpa menjejaskan mana-mana peruntukan undang-undang persekutuan yang berhubungan dengan peremitan hukuman kerana kelakuan baik atau khidmat khas, apa-apa kuasa yang diberikan oleh undang-undang persekutuan atau undang-undang Negeri bagi meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman bagi apa-apa kesalahan bolehlah dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong jika hukuman itu telah dijatuhkan oleh mahkamah tentera atau oleh mahkamah sivil yang menjalankan bidang kuasa di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, dan dalam apa-apa hal lain, kuasa itu bolehlah dijalankan oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri tempat kesalahan itu telah dilakukan.

(3) Jika sesuatu kesalahan telah dilakukan keseluruhannya atau sebahagiannya di luar Persekutuan atau di lebih daripada satu Negeri atau dalam hal keadaan yang boleh menimbulkan keraguan di mana kesalahan itu telah dilakukan, maka bagi maksud Perkara ini kesalahan itu hendaklah dikira telah dilakukan di Negeri tempat kesalahan itu telah dibicarakan. Bagi maksud Fasal ini, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, mengikut mana-mana yang berkenaan, hendaklah masing-masingnya dikira sebagai suatu Negeri.

(4) Kuasa yang disebut dalam Perkara ini--

(a) adalah, setakat yang kuasa itu boleh dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong, antara fungsi yang peruntukan berkenaan dengannya boleh dibuat oleh undang-undang persekutuan di bawah Fasal (3) Perkara 40;

(b) hendaklah, setakat yang kuasa itu boleh dijalankan oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri, dijalankan mengikut nasihat Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi Negeri itu mengikut Fasal (5).

(5) Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi setiap Negeri hendaklah terdiri daripada Peguam Negara Persekutuan, Ketua Menteri Negeri itu dan tidak lebih daripada tiga orang anggota lain yang hendaklah dilantik olrh Raja atau Yang di-Pertua Negeri; tetapi Peguam Negara boleh dari semasa ke semasa melalui surat cara secara bertulis mewakilkan fungsinya sebagai anggota Lembaga itu kepada mana-mana orang lain, dan Raja atau Yang di-Pertua Negeri boleh melantik mana-mana orang untuk menjalankan buat sementara fungsi mana-mana anggota Lembaga yang dilantik olehnya yang tidak hadir atau tidak dapat menjalankan fungsinya.

(6) Anggota-anggota Lembaga Pengampunan yang dilantik oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri hendaklah dilantik bagi tempoh selama tiga tahun dan layak dilantik semula, tetapi boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatan sebagai anggota Lembaga.

(7) Seseorang ahli Dewan Undangan sesuatu Negeri atau ahli Dewan Rakyat tidak boleh dilantik oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri untuk menjadi anggota Lembaga Pengampunan atau untuk menjalankan buat sementara fungsi anggota Lembaga.

(8) Lembaga Pengampunan hendaklah bermesyuarat dengan kehadiran Raja atau Yang di-Pertua Negeri dan Raja atau Yang di-Pertua Negeri itu hendaklah mempengerusikan mesyuarat itu.

(9) Sebelum memberikan nasihatnya mengenai apa-apa perkara, Lembaga Pengampunan hendaklah menimbangkan apa-apa pendapat bertulis yang mungkin telah dikemukakan oleh Peguam Negara mengenai perkara itu.

(10) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perkara ini, kuasa untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan, atau untuk meremitkan, menggantung atau meringankan, hukuman yang dikenakan oleh mana-mana mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang yang mengawal selia hal ehwal agama Islam di Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah atau Sarawak atau Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bolehlah dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua agama Islam di dalam Negeri itu.

(11) Bagi maksud Perkara ini, maka hendaklah ditubuhkan Lembaga Pengampunan tunggal bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan peruntukan Fasal (5), (6), (7), (8) dan (9) hendaklah terpakai mutatis mutandis bagi Lembaga Pengampunan di bawah Fasal ini kecuali bahawa sebutan mengenai "Raja atau Yang di-Pertua Negeri" hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Yang di-Pertuan Agong dan sebutan mengenai "Ketua Menteri Negeri itu" hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

(12) Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam Perlembagaan ini, jika kuasa yang disebut dalam Perkara ini--

(a) kena dijalankan oleh Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri dan dikehendaki dijalankan berkenaan dengan dirinya atau isterinya, anak lelakinya atau anak perempuannya, kuasa itu hendaklah dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi Negeri itu di bawah Perkara ini dan yang hendaklah dipengerusikan olehnya;

(b) dikehendaki dijalankan berkenaan dengan Yang di-Pertuan Agong, Raja sesuatu Negeri, atau Isterinya, mengikut mana-mana yang berkenaan, kuasa itu hendaklah dijalankan oleh Majlis Raja-Raja dan peruntukan yang berikut hendaklah terpakai:

(i) apabila menghadiri mana-mana prosiding di bawah Fasal ini, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh disertai oleh Perdana Menteri dan Raja-Raja lain tidak boleh disertai oleh Menteri-Menteri Besar mereka;

(ii) sebelum membuat keputusannya tentang apa-apa perkara di bawah Fasal ini, Majlis Raja-Raja hendaklah menimbangkan apa-apa pendapat bertulis yang mungkin telah diberikan oleh Peguam Negara tentang perkara itu;

(c) dikehendaki dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Raja sesuatu Negeri berkenaan dengan anak lelakinya atau anak perempuannya, mengikut mana-mana yang berkenaan, kuasa itu hendaklah dijalankan oleh Raja sesuatu Negeri yang dinamakan oleh Majlis Raja-Raja dan Raja itu hendaklah bertindak mengikut nasihat Lembaga Pengampunan yang berkenaan yang ditubuhkan di bawah Perkara ini.

(13) Bagi maksud perenggan (b) dan (c) Fasal (12), Yang di-Pertuan Agong atau Raja Negeri yang berkenaan, mengikut mana-mana yang berkenaan, dan Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri tidak boleh menjadi anggota Majlis Raja-Raja.


_________________________________
CATATAN

Per. 42(1), (2) & (10):

1. Perkataan "Wilayah Persekutuan" digantikan dengan "Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan" oleh Akta A585, perenggan 12(a), berkuat kuasa dari 16-4-1984.

2. Kemudiannya pula, perkataan "Kuala Lumpur dan Labuan" digantikan dengan "Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya" oleh Akta A1095, perenggan 14(a), berkuat kuasa dari 1-2-2001.



Per. 42(1):

Perkataan "dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan" yang terdapat selepas "mahkamah tentera" dimasukkan oleh Akta A206, Jadual, berkuat kuasa dari 1-2-1974. Perkataan "Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh Akta A354, seksyen 42, berkuat kuasa dari 27-8-1976.



Per. 42(2):

1. Perkataan "atau oleh mahkamah sivil yang menjalankan bidang kuasa di dalam Wilayah Persekutuan" yang terdapat selepas "mahkamah tentera" dimasukkan oleh Akta A206, Jadual, berkuat kuasa dari 1-2-1974. Perkataan "Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh Akta A354, seksyen 42, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

2. Perkataan "dan tanpa menjejaskan mana-mana peruntukan undang-undang persekutuan yang berhubungan dengan peremitan hukuman kerana kelakuan baik atau khidmat khas," dimasukkan selepas 'Tertakluk kepada Fasal (10)," oleh Akta A514, seksyen 2, berkuat kuasa dari 15-5-1981. Akta A514, subseksyen 2(2), berbunyi seperti yang berikut:

 

"(2) Apa-apa remitan kerana kelakuan baik atau khidmat khas yang dibenarkan oleh undang-undang persekutuan dan yang diberi sebelum mula berkuat kuasanya Akta ini hendaklah disifatkan sebagai telah diberi dengan sahnya.".

 

3. Lihat nota di bawah Per. 42(10).



Per. 42(3):

1. Perkataan "Bagi maksud Fasal ini, Wilayah Persekutuan hendaklah disifatkan sebagai suatu Negeri." dimasukkan di hujung Fasal oleh Akta A206, Jadual, berkuat kuasa dari 1-2-1974.

2. Perkataan "Wilayah Persekutuan hendaklah disifatkan sebai suatu Negeri" digantikan dengan perkataan "Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau Wilayah Persekutuan Labuan, mengikut mana-mana yang berkenaan, hendaklah masing-masingnya dikira sebagai suatu Negeri" oleh Akta A585, perenggan 12(b), berkuat kuasa dari 16-4-1984.

3. Kemudiannya pula, perkataan "Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau Wilayah Persekutuan Labuan" digantikan dengan "Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya" oleh Akta A1095, perenggan 4(b), berkuat kuasa dari 1-2-2001.



Per. 42(4), (5), (6), (7) & (8):

Perkataan "Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh Akta A354, seksyen 42, berkuat kuasa dari 27-8-1976.



Per. 42(7):


Perkataan "oleh Raja atau Gabenor" dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963.



Per. 42(10):

Ditambahkan oleh Akta 10/1960, seksyen 4, berkuat kuasa dari 31-5-1960, yang juga meminda Fasal (2) dengan memasukkan perkataan "Tertakluk kepada Fasal (10)," di permulaan Fasal. Akta 26/1963, subseksyen 7(2), berkuat kuasa dari 16-9-1963, menggantikan perkataan "atau Pulau Pinang" dengan "Pulau Pinang atau Singapura". Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965, memasukkan semula perkataan "atau Pulau Pinang" yang ada pada asalnya. Perkataan "atau Wilayah Persekutuan' dimasukkan selepas "Melaka atau Pulau Pinang" oleh Akta A206, Jadual, berkuat kuasa dari 1-2-1974.



Per. 42(11):

1. Ditambahkan oleh Akta A206, Jadual, berkuat kuasa dari 1-2-1974, dipinda oleh Akta A354, seksyen 42, berkuat kuasa dari 27-8-1976, dengan menggantikan "Gabenor" dengan "Yang di-Pertua Negeri". Fasal ini sebagaimana yang digantikan oleh Akta A585, perenggan 12(c), berkuat kuasa dari 16-4-1984 berbunyi seperti yang berikut:

 

"(11) Bagi maksud Perkara ini, maka hendaklah ditubuhkan Lembaga Pengampunan tunggal bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan dan peruntukan Fasal (5), (6), (7), (8) dan (9) hendaklah terpakai mutatis mutandis bagi Lembaga Pengampunan di bawah Fasal ini kecuali bahawa sebutan mengenai "Raja atau Yang di-Pertua Negeri" hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Yang di-Pertuan Agong dan sebutan mengenai "Ketua Menteri Negeri itu" hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan.".

 

3. Kemudiannya pula, perkataan "Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan" di mana-mana jua terdapat digantikan dengan "Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya" oleh Akta A1095, perenggan 14(c), berkuat kuasa dari 1-2-2001.



Per. 42(12) & (13):

Ditambahkan oleh Akta A848, seksyen 4, berkuat kuasa dari 30-3-1993.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas