PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN IV - BADAN EKSEKUTIF
Bab 3 - Badan Eksekutif.




Perkara 43A. Timbalan-Timbalan Menteri.

(1) Yang di-Pertuan Agong boleh atas nasihat Perdana Menteri melantik Timbalan-Timbalan Menteri daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen; tetapi jika sesuatu pelantikan dibuat semasa Parlimen terbubar, seseorang yang menjadi ahli Dewan Rakyat yang lepas boleh dilantik tetapi tidaklah boleh memegang jawatan selepas permulaan penggal Parlimen yang berikutnya melainkan jika dia ialah ahli sama ada bagi Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

(2) Timbalan-Timbalan Menteri hendaklah membantu Menteri-Menteri pada menunaikan tugas-tugas dan fungsi-fungsi mereka, dan bagi maksud sedemikian hendaklah mempunyai segala kuasa Menteri.

(3) Peruntukan Fasal (5) dan (6) Perkara 43 hendaklah terpakai bagi Timbalan Menteri sebagaimana peruntukan itu terpakai bagi Menteri.

(4) Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan Timbalan-Timbalan Menteri.


____________________________________
CATATAN

Per. 43A:

1. Ditambahkan oleh Akta 10/1960, seksyen 6, berkuat kuasa dari 31-5-1960.

2. Lihat Per. 57(1A).

3. Fasal (1), (2), (3) dan (4): Perkataan "Menteri-Menteri Muda" digantikan dengan "Timbalan-Timbalan Menteri" oleh Akta A31, seksyen 10, berkuat kuasa dari 24-3-1971.

4. Fasal (2): Perkataan ", dan bagi maksud sedemikian hendaklah mempunyai segala kuasa Menteri" yang terdapat selepas perkataan "fungsi-fungsi mereka" dimasukkan oleh Akta A566, seksyen 3, berkuat kuasa dari 16-12-1983.

5. Fasal (3): Perkataan "Fasal (5), (6) dan (8)" digantikan dengan perkataan "Fasal (5) dan (6)" oleh Akta A885, seksyen 5, berkuat kuasa dari 24-6-1994.



Per. 43A(4):

Lihat Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237].

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas