PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN IV - PERSEKUTUAN
Bab 4 - Badan Perundangan Persekutuan




Perkara 45. Keanggotaan Dewan Negara.

(1) Tertakluk kepada Fasal (4), Dewan Negara hendaklah terdiri daripada ahli-ahli dipilih dan dilantik seperti yang berikut:

(a) dua orang ahli bagi setiap Negeri hendaklah dipilih mengikut Jadual Ketujuh; dan

(aa) dua orang ahli bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, seorang ahli bagi Wilayah Persekutuan Labuan dan seorang ahli bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong; dan

(b) empat puluh orang ahli hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

(2) Ahli-ahli yang akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah orang yang pada pendapatnya telah memberikan perkhidmatan awam yang cemerlang atau telah mencapai keunggulan dalam profesion, perdagangan, perindustrian, pertanian, aktiviti kebudayaan atau perkhidmatan sosial atau yang mewakili ras minoriti atau berkebolehan mewakili kepentingan orang asli.

(3) Tempoh jawatan seseorang ahli Dewan Negara ialah tiga tahun dan tempoh itu tidaklah tersentuh dengan pembubaran Parlimen.

(3A) Seseorang ahli Dewan Negara tidak boleh memegang jawatan selama lebih daripada dua penggal sama ada terus-menerus atau selainnya:

Dengan syarat bahawa jika seseorang yang telahpun tamat dua tempoh jawatan atau lebih sebagai ahli Dewan Negara ialah sebaik sebelum permulaan kuat kuasa Fasal ini seorang ahli Dewan Negara, maka dia boleh terus berkhidmat sebagai ahli sedemikian selama baki tempoh jawatannya.

(4) Parlimen boleh melalui undang-undang--

(a) menambah bilangan ahli yang akan dipilih bagi setiap Negeri menjadi tiga;

(b) memperuntukkan bahawa ahli yang akan dipilih bagi setiap Negeri dipilih sedemikian melalui undi terus oleh pemilih-pemilih Negeri itu;

(c) mengurangkan bilangan ahli dilantik atau menghapuskan ahli dilantik.



____________________________________
CATATAN

Per. 45(1)(aa):

Perenggan ini dimasukkan oleh Akta A442, seksyen 2, berkuat kuasa dari 31-12-1978, kemudiannya pula perenggan itu digantikan oleh Akta A585, seksyen 12, berkuat kuasa dari 16-4-1984 dan sekali lagi oleh Akta A1095, seksyen 15, berkuat kuasa dari 1-2-2001 untuk membolehkan seorang ahli Dewan Negara dilantik untuk mewakili Wilayah Persekutuan Putrajaya. Perenggan (aa) yang asal berbunyi seperti yang berikut:

 

"(aa) dua orang ahli bagi Wilayah Persekutuan hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong; dan".



Per. 45(1)(b):

Pada asalnya perenggan ini memperuntukkan bahawa 16 orang ahli hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Akta 26/1963, seksyen 8, berkuat kuasa dari 16-9-1963, memindanya kepada 22. Akta 19/1964, seksyen 6, berkuat kuasa dari 30-7-1964, selanjutnya memindanya kepada 32; dan seterusnya dipinda dengan menggantikan "tiga puluh dua" dengan "empat puluh" oleh Akta A442, seksyen 2, berkuat kuasa dari 31-12-1978.



Per. 45(3):

Dipinda oleh Akta A442, seksyen 2, berkuat kuasa dari 31-12-1978, dengan menggantikan "enam" dengan "tiga". Kemudiannya pula, Fasal ini dipinda oleh Akta A1130, seksyen 4, berkuat kuasa dari 28-9-2001, dengan menggantikan perkataan "Tertakluk kepada peruntukan Jadual Ketujuh, tempoh" dengan perkataan "Tempoh".



Per. 45(3A):

Ditambahkan oleh Akta A514, seksyen 3, berkuat kuasa dari 15-5-1981.



Per. 45(4):

Lihat Per.120. 

                                                                                                                                                                                                            

 
     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas