PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN IV - PERSEKUTUAN
Bab 4 - Badan Perundangan Persekutuan




Perkara 46. Keanggotaan Dewan Rakyat.

(1) Dewan Rakyat hendaklah terdiri daripada dua ratus sembilan belas orang ahli dipilih.

(2) Maka hendaklah ada--

(a) dua ratus enam orang ahli dari Negeri-negeri di Malaysia seperti yang berikut:

(i) dua puluh enam orang ahli dari Johor;

(ii) lima belas orang ahli dari Kedah;

(iii) empat belas orang ahli dari Kelantan;

(iv) enam orang ahli dari Melaka;

(v) lapan orang ahli dari Negeri Sembilan;

(vi) empat belas orang ahli dari Pahang;

(vii) tiga belas orang ahli dari Pulau Pinang;

(viii) dua puluh empat orang ahli dari Perak;

(ix) tiga orang ahli dari Perlis;

(x) dua puluh lima orang ahli dari Sabah;

(xi) dua puluh lapan orang ahli dari Sarawak;

(xii) dua puluh dua orang ahli dari Selangor; dan

(xiii) lapan orang ahli dari Terengganu; dan

(b) tiga belas orang ahli dari Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya seperti yang berikut:

(i) sebelas orang ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur;

(ii) seorang ahli dari Wilayah Persekutuan Labuan;

(iii) seorang ahli dari Wilayah Persekutuan Putrajaya.



______________________________________________
CATATAN

Per. 46:

1. Perkara ini seperti yang terdapat pada Hari Merdeka berbunyi seperti yang berikut:

 

"46. (1) Dewan Rakyat hendaklah terdiri daripada seratus orang ahli dipilih kecuali bahawa Dewan Rakyat yang pertama hendaklah terdiri daripada seratus empat orang ahli.

(2) Selepas selesainya banci pertama yang dijalankan selepas Hari Merdeka Parlimen boleh melalui undang-undang mengubah bilangan ahli Dewan Rakyat.".

 

2. Perkara ini dipinda oleh Akta 14/1962, seksyen 14, berkuat kuasa dari 21-6-1962, dengan menggantikan "seratus orang ahli dipilih kecuali bahawa Dewan Rakyat yang pertama hendaklah terdiri daripada seratus empat orang ahli" dengan "seratus empat orang ahli dipilih" dalam Fasal (1), dan memansuhkan Fasal (2).

3. Perkara ini digantikan oleh Akta 26/1963, seksyen 9, berkuat kuasa dari 16-9-1963 yang berbunyi seperti yang berikut:

 

"46. (1) Dewan Rakyat hendaklah terdiri daripada seratus lima puluh sembilan orang ahli dipilih.

(2) Maka hendaklah ada-

(a)

seratus empat orang ahli dari Negeri-Negeri Tanah Melayu;

(b)

enam belas orang ahli dari Sabah;

(c)

dua puluh empat orang ahli dari Sarawak;

(d)

lima belas orang ahli dari Singapura.".

 

4. Perkara ini dipinda oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965, dengan menggantikan "lima puluh sembilan" dalam Fasal (1) dengan "empat puluh empat" dan memansuhkan perenggan (d) Fasal (2).

5. Perkara ini dipinda lagi oleh Akta A206, seksyen 12, berkuat kuasa dari 23-8-1973, dengan menggantikan seluruh Perkara itu yang berbunyi seperti yang berikut:

 

"46. (1) Dewan Rakyat hendaklah mengandungi seratus lima puluh empat orang ahli yang dipilih.

(2) Daripada bilangan itu-

 

(a) seratus empat puluh sembilan orang ahli ialah dari Negeri-Negeri dalam Malaysia seperti yang berikut:

(i)

enam belas orang ahli dari Johor;

(ii)

tiga belas orang ahli dari Kedah;

(iii)

dua belas orang ahli dari Kelantan;

(iv)

empat orang ahli dari Melaka;

(v)

enam orang ahli dari Negeri Sembilan:

(vi)

lapan orang ahli dari Pahang;

(vii)

sembilan orang ahli dari Pulau Pinang;

(viii)

dua puluh satu orang ahli dari Perak;

(ix)

dua orang ahli dari Perlis;

(x)

enam belas orang ahli dari Sabah;

(xi)

dua puluh empat orang ahli dari Sarawak;

(xii)

sebelas orang ahli dari Selangor;

(xiii)

tujuh orang ahli dari Terengganu; dan

 

(b) lima orang ahli dari Wilayah Persekutuan.".

 

6. Perkara yang ada sekarang digantikan oleh Akta A566, seksyen 5, berkuat kuasa dari 16-12-1983 dan dipinda oleh Akta A585, perenggan 14(b), berkuat kuasa dari 16-4-1984. Walau bagaimanapun, penggantian dan pemindaan itu tidaklah menjejaskan keanggotaan Dewan Rakyat atau mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat itu sehingga pembubaran Parlimen yang berlaku pada atau selepas 31-12-1984. (Lihat P.U. (A) 475 dan 476/1984).

7. Fasal (1): Dipinda oleh Akta A631, seksyen 2, berkuat kuasa dari 24-2-1986, dengan menggantikan perkataan "tujuh puluh tujuh" dengan "lapan puluh".

Fasal (2): Dipinda oleh Akta A631, seksyen 2, berkuat kuasa dari 24-2-1986, dengan menggantikan perkataan "enam puluh sembilan" dalam perenggan (a) dengan "tujuh puluh dua" dan perkataan "dua puluh empat" dalam subperenggan (xi) perenggan perenggan (a) dengan "dua puluh tujuh".

8. Perkara ini, sebagaimana yang dipinda, tidaklah menjejaskan keanggotaan Dewan Rakyat atau mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat sehingga pembubaran Parlimen. Lihat Per. 57(1A).

9. Fasal (1): Dipinda oleh Akta A837, seksyen 2, berkuat kuasa dari 20-11-1992, dengan menggantikan perkataan "lapan puluh" dengan perkataan "sembilan puluh dua".

Fasal (2): Dipinda oleh Akta A837, seksyen 2, berkuat kuasa dari 20-11-1992-

 

(i)

dengan menggantikan perkataan "tujuh puluh dua" dalam perenggan (a) dengan perkataan "lapan puluh satu";

(ii)

dengan menggantikan perkataan "lapan belas" dalam subperenggan (i) perenggan (a) dengan perkataan "dua puluh";

(iii)

dengan menggantikan perkataan "empat belas" dalam subperenggan (ii) perenggan (a) dengan perkataan "lima belas";

(iv)

dengan menggantikan perkataan "tiga belas" dalam subperenggan (iii) perenggan (a) dengan perkataan "empat belas";

(v)

dengan menggantikan perkataan "sepuluh" dalam subperenggan (vi) perenggan (a) dengan perkataan "sebelas";

(vi)

dengan menggantikan perkataan "dua" dalam subperenggan (ix) perenggan (a) dengan perkataan "tiga";

(vii)

dengan menggantikan perkataan "empat belas" dalam subperenggan (xii) perenggan (a) dengan perkataan "tujuh belas";

(viii)

dengan menggantikan perkataan "lapan" dalam perenggan (b) dengan perkataan "sebelas"; dan

(ix)

dengan menggantikan perkataan "tujuh" dalam subperenggan (i) perenggan (b) dengan perkataan "sepuluh".



Catatan:

Pindaan di atas tidaklah menjejaskan keanggotaan Dewan Rakyat atau mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat itu sehingga pembubaran Parlimen yang berlaku pada atau selepas tarikh permulaan kuat kuasa Perintah yang dibuat di bawah seksyen 12 Jadual Ketiga Belas- Lihat seksyen 4 Akta A837.

10. Perkara yang ada sekarang dipinda lagi oleh Akta A945, seksyen 2, berkuat kuasa dari 7-6-1996, untuk menambahkan keanggotaan Dewan Rakyat daripada seratus sembilan puluh dua kepada seratus sembilan puluh tiga, iaitu khususnya menambahkan keanggotaan ahli dari Negeri Sarawak daripada dua puluh tujuh kepada dua puluh lapan.



Catatan:

Walau bagaimanapun pindaan ini tidaklah menjejaskan keanggotaan Dewan Rakyat atau mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat itu sehingga pembubaran Parlimen yang berlaku pada atau selepas tarikh permulaan kuat kuasa Perintah yang dibuat di bawah seksyen 12 Jadual Ketiga Belas kepada Perlembagaan Persekutuan berikutan dengan kajian semula yang dijalankan menurut Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan Jadual Ketiga Belas tersebut.

11. Fasal (1): Dipinda oleh Akta A1095, perenggan 16(a), berkuat kuasa dari 1-2-2001, dengan menggantikan perkataan "sembilan puluh tiga" dengan perkataan "sembilan puluh empat".

Fasal (2): Dipinda oleh Akta A1095, perenggan 16(b), berkuat kuasa dari 1-2-2001, untuk membolehkan seorang ahli Dewan Rakyat dipilih untuk mewakili Wilayah Persekutuan Putrajaya.

12. Fasal (1): Dipinda oleh Akta A1198, perenggan 2(a), berkuat kuasa dari 15-8-2003, dengan menggantikan perkataan "seratus sembilan puluh empat" dengan perkataan "dua ratus empat belas".

Fasal (2): Dipinda oleh Akta A1198, perenggan 2(b), berkuat kuasa dari 15-8-2003, menambahkan bilangan ahli Dewan Rakyat ekoran persempadanan semula Bahagian Pilihan Raya yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dari 8 Ogos 2002 hingga 7 September 2002. Tambahan adalah seperti berikut:

 

(a) enam orang ahli dari Johor;

(b) seorang ahli dari Melaka;

(c) seorang ahli dari Negeri Sembilan;

(d) tiga orang ahli dari Pahang;

(e) dua orang ahli dari Pulau Pinang;

(f) seorang ahli dari Perak;

(g) lima orang ahli dari Sabah;

(h) lima orang ahli dari Selangor; dan

(i) seorang ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas