PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN IV - PERSEKUTUAN
Bab 4 - Badan Perundangan Persekutuan




Perkara 57. Yang di-Pertua dan Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

(1) Dewan Rakyat hendaklah dari semasa ke semasa memilih--

(a) sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat, seseorang sama ada yang menjadi ahli Dewan Rakyat atau yang layak dipilih menjadi ahli yang sedemikian; dan

(b) dua orang Timbalan Yang di-Pertua daripada kalangan ahli Dewan Rakyat,

dan Dewan Rakyat tidak boleh, tertakluk kepada Fasal (3), menjalankan apa-apa urusan semasa jawatan Yang di-Pertua kosong selain pemilihan Yang di-Pertua.

(1A) Mana-mana orang yang bukan ahli Dewan Rakyat yang dipilih sebagai Yang di-Pertua--

(a) hendaklah, sebelum menjalankan tugas jawatannya, mengangkat dan menandatangani di hadapan Dewan Rakyat sumpah jawatan dan sumpah setia yang dinyatakan dalam Jadual Keenam; dan

(b) hendaklah, oleh sebab dia memegang jawatannya itu, menjadi ahli Dewan Rakyat sebagai tambahan kepada ahli-ahli yang dipilih menurut Perkara 46:

Dengan syarat bahawa perenggan (b) tidaklah mempunyai kuat kuasa bagi maksud mana-mana peruntukan yang berikut dalam Perlembagaan ini, iaitu, Perkara 43, 43A, 43B, 50 hingga 52, 54 dan 59; dan tiada seorang pun berhak, menurut kuasa perenggan itu, mengundi atas apa-apa perkara di hadapan Dewan Rakyat.

(2) Yang di-Pertua boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Setiausaha Dewan Rakyat, dan hendaklah mengosongkan jawatannya--

(3) Dalam masa apa-apa kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertua atau dalam masa Yang di-Pertua tidak hadir dalam mana-mana persidangan, melainkan oleh sebab Dewan Rakyat bermesyuarat buat pertama kali selepas suatu pilihan raya umum, maka seorang daripada Timbalan Yang di-Pertua atau, jika kedua-dua Timbalan Yang di-Pertua tidak hadir atau jika kedua-dua jawatan mereka itu kosong, seorang ahli lain sebagaimana yang ditentukan oleh kaedah-kaedah tatacara Dewan Rakyat, hendaklah bertindak sebagai Yang di-Pertua.

(4) Jika ahli Dewan Undangan sesuatu Negeri dipilih menjadi Yang di-Pertua, maka dia hendaklah berhenti menjadi ahli Dewan Undangan Negeri itu sebelum menjalankan fungsi jawatannya.

(5) Seseorang yang dipilih menjadi Yang di-Pertua atau Timbalan Yang di-Pertua hilang kelayakan untuk memegang jawatan itu jika selepas tiga bulan dari pemilihannya untuk memegang jawatan itu atau pada bila-bila masa selepas itu dia ialah atau menjadi anggota mana-mana lembaga pengarah atau lembaga pengurusan, atau pegawai atau pekerja, atau melibatkan diri dalam hal ehwal atau urusan, mana-mana organisasi atau badan, sama ada diperbadankan atau selainnya, atau mana-mana pengusahaan komersial, perindustrian atau pengusahaan lain, sama ada atau tidak dia menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya:

Dengan syarat bahawa kehilangan kelayakan itu tidaklah terpakai jika organisasi atau badan itu menjalankan apa-apa kerja kebajikan atau sukarela atau tujuan yang berfaedah kepada masyarakat atau mana-mana bahagiannya, atau apa-apa kerja atau tujuan lain yang bersifat khairat atau sosial, dan ahli itu tidak menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya.

(6) Jika berbangkit apa-apa soal mengenai kehilangan kelayakan Yang di-Pertua atau Timbalan Yang di-Pertua di bawah Fasal (5), maka Dewan Rakyat hendaklah mengambil keputusan mengenainya dan keputusan itu adalah muktamad.


___________________________________________
CATATAN

Per. 57:

1. Akta 19/1964, subseksyen 7(1), berkuat kuasa dari 30-7-1964, menggantikan Fasal (1) dan (2) dengan Fasal (1), (1A), (2) dan (2A). Fasal yang dahulu berbunyi seperti yang berikut:

 

"57. (1) Dewan Rakyat hendaklah dari semasa ke semasa memilih seorang daripada ahlinya menjadi Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Speaker) dan seorang menjadi Timbalan Yang di-Pertua, dan tidaklah boleh menjalankan apa-apa urusan semasa jawatan Yang di-Pertua kosong selain pemilihan Yang di-Pertua.

(2) Seseorang ahli yang memegang jawatan Yang di-Pertua atau Timbalan Yang di-Pertua hendaklah mengosongkan jawatannya apabila dia terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya.".

 

2. Fasal (1)(b): Fasal yang ada sekarang digantikan oleh Akta A566, perenggan 9(1)(a), berkuat kuasa dari 16-12-1983. Fasal yang dahulu sebagaimana yang terdapat pada tarikh pemansuhan berbunyi seperti yang berikut:

 

"(b) sebagai Timbalan Yang di-Pertua, seorang ahli Dewan Rakyat itu;".

 

3. Fasal (1A)(b): Lihat Per. 62(3).



Per. 57(2):

Fasal (2)(bb): Ditambahkan oleh Akta A514, seksyen 4, berkuat kuasa dari 15-5-1981.

Fasal (2A): Perkataan "Timbalan Yang di-Pertua" digantikan dengan perkataan "Seseorang Timbalan Yang di-Pertua" oleh Akta A566, perenggan 9(1)(b), berkuat kuasa dari 16-12-1983.



Per. 57(3):

1. Fasal yang ada sekarang digantikan oleh Akta A514, seksyen 6, berkuat kuasa dari 15-5-1981, dan menggantikan Fasal yang dahulu yang berbunyi seperti yang berikut:

 

"(3) Dalam masa Yang di-Pertua tidak hadir dalam sesuatu persidangan Dewan Rakyat Timbalan Yang di-Pertua atau jika Timbalan Yang di-Pertua juga tidak hadir, mana-mana ahli yang lain sebagaimana yang ditentukan oleh kaedah tatacara Dewan itu, hendaklah bertindak sebagai Yang di-Pertua.".

 

2. Perkataan "Timbalan Yang di-Pertua atau jika Timbalan Yang di-Pertua juga tidak hadir atau jika jawatannya juga kosong" digantikan dengan perkataan "seorang daripada Timbalan Yang di-Pertua atau, jika kedua-dua Timbalan Yang di-Pertua tidak hadir atau, jika kedua-dua jawatan mereka itu kosong," oleh Akta A566, perenggan 9(1)(c), berkuat kuasa dari 16-12-1983.



Per. 57(4):

Ditambahkan oleh Akta 10/1960, seksyen 9, berkuat kuasa dari 31-5-1960.



Per. 57(5) & (6):

1. Ditambahkan oleh Akta A514, seksyen 6, berkuat kuasa dari 15-5-1981.

Fasal (2) dan (2A): Lihat catatan pada muka surat sebelum ini.

2. Perkataan "atau Timbalan Yang di-Pertua" dipotong oleh Akta A566, perenggan 9(1)(d), berkuat kuasa dari 16-12-1983 tetapi dimasukkan semula oleh Akta A1130, seksyen 6, berkuat kuasa dari 28-9-2001.

Nota Bahu: Perkataan "Timbalan Yang di-Pertua" digantikan dengan perkataan "Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua" oleh Akta A566, perenggan 9(1)(e), berkuat kuasa dari 16-12-1983.



Catatan:

Pindaan-pindaan yang dibuat dalam Fasal (5) dan (6) Perkara 57 oleh Akta A566 terpakai hanya bagi seseorang yang dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada atau selepas 16-12-1983.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas