PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN IV - PERSEKUTUAN
Bab 4 - Badan Perundangan Persekutuan




Perkara 62. Tatacara Parlimen.

(1) Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini dan peruntukan undang-undang persekutuan, setiap Majlis Parlimen hendaklah mengawal selia tatacaranya sendiri.

(2) Setiap Majlis Parlimen boleh bertindak walaupun ada apa-apa kekosongan dalam keahliannya, dan kehadiran atau penyertaan mana-mana orang yang tidak berhak hadir atau turut serta tidaklah menidaksahkan mana-mana prosiding.

(3) Tertakluk kepada Fasal (4) dan kepada Perkara 89(1) dan 159(3) dan kepada seksyen 10 dan 11 Jadual Ketiga Belas, setiap Majlis Parlimen hendaklah, jika tidak sebulat suara, membuat keputusannya mengikut majoriti biasa ahli-ahli yang mengundi; dan orang yang mempengerusikan itu, melainkan jika dia menjadi ahli Majlis Parlimen itu semata-mata menurut kuasa perenggan (b) Fasal (1A) Perkara 57, hendaklah membuang undinya apabila perlu bagi mengelakkan undi sama banyak, tetapi tidak boleh mengundi dalam apa-apa hal lain.

(4) Pada mengawal selia tatacaranya, setiap Majlis Parlimen boleh memperuntukkan bahawa tiada apa-apa keputusan yang berkenaan dengan prosidingnya boleh dibuat kecuali mengikut majoriti yang ditentukan atau mengikut bilangan undi yang ditentukan.

(5) Ahli-ahli yang tidak hadir di dalam sesuatu Majlis Parlimen tidaklah dibenarkan mengundi.


___________________________________
CATATAN

Per. 62(3):

Akta 14/1962, Jadual seksyen 4, berkuat kuasa dari 21-6-1962, memasukkan perkataan "dan kepada seksyen 10 dan 11 Jadual Ketiga Belas" dan Akta 19/1964, subseksyen 7(2), berkuat kuasa dari 30-7-1964, memasukkan perkataan "melainkan jika dia menjadi ahli Majlis Parlimen itu semata-mata menurut kuasa perenggan (b) Fasal (1A) Perkara 57.".

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas