PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN IV - PERSEKUTUAN
Bab 4 - Badan Perundangan Persekutuan




Perkara 65. Setiausaha Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

(1) Maka hendaklah ada seorang Setiausaha Dewan Negara dan seorang Setiausaha Dewan Rakyat.

(2) Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong daripada kalangan anggota perkhidmatan awam am Persekutuan dan setiap seorang hendaklah memegang jawatan sehingga dia mencapai umur persaraan paksa bagi anggota perkhidmatan awam am melainkan jika dia terlebih dahulu meletakkan jawatannya atau ditukarkan kepada suatu jawatan lain dalam perkhidmatan awam am itu.

(3) Orang yang memegang jawatan Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat sebaik sebelum permulaan kuat kuasa Fasal ini hendaklah, melainkan jika mana-mana orang itu belum mencapai umur lima puluh lima tahun dan sudah memilih untuk menjadi anggota perkhidmatan awam am Persekutuan, terus memegang jawatan masing-masing atas terma-terma dan syarat-syarat yang tidak kurang baiknya daripada yang terpakai baginya sebaik sebelum permulaan kuat kuasa sedemikian dan tidaklah boleh dipecat daripada jawatan kecuali atas alasan dan mengikut cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan, dan dalam hal ini representasi yang disebut dalam Perkara 125(3) hendaklah representasi yang dibuat oleh Yang di-Pertua Dewan Negara atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

(4) (Dimansuhkan).

(5) (Dimansuhkan).


___________________________________
CATATAN

Per. 65(2):

1. Proviso ditambahkan oleh Akta A354, seksyen 17, berkuat kuasa dari Hari Merdeka.

Lihat seksyen 7 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1992 [Akta A837] mengenai taraf anggota Perkhidmatan Parlimen setelah Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 [Akta 394] dimansuhkan.

2. Perkataan "umur lima puluh lima tahun" digantikan dengan "umur persaraan paksa bagi anggota perkhidmatan awam am" oleh Akta A1130, seksyen 7, berkuat kuasa dari 28-9-2001.



Per. 65(3):

1. Perkataan "Mahkamah Agung" digantikan dengan "Mahkamah Persekutuan" oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

2. Subseksyen 18(2) Akta A566, berkuat kuasa dari 1-1-1985, memperuntukkan bahawa sebutan mengenai Mahkamah Persekutuan hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Mahkamah Agung.

3. Perkataan "Agung" digantikan dengan perkataan "Persekutuan" oleh Akta A885, seksyen 7, berkuat kuasa dari 24-6-1994.



Per. 65(2) & (3):

Fasal-Fasal yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta A837, seksyen 5, berkuat kuasa dari 20-11-1992, dan menggantikan Fasal-Fasal yang dahulu yang berbunyi seperti yang berikut:

 

"(2) Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada Fasal (3), setiap orang hendaklah memegang jawatan sehingga dia mencapai umur enam puluh tahun atau apa-apa umur lain sebagaimana yang diperuntukkan oleh Parlimen melalui undang-undang, melainkan jika dia terlebih dahulu meletakkan jawatannya:

Dengan syarat bahawa Fasal ini tidaklah boleh dikira sebagai menghalang Yang di-Pertuan Agong daripada membuat pelantikan itu daripada kalangan anggota perkhidmatan awam yang baginya Bahagian X terpakai bagi apa-apa tempoh yang lebih pendek sebagaimana yang difikirkannya patut, dan proviso ini hendaklah disifatkan telah menjadi bahagian perlu Perkara ini mulai dari Hari Merdeka.

(3) Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat boleh dipecat daripada jawatan atas alasan dan mengikut cara yang sama sebagaimana seorang hakim Mahkamah Agung, kecuali bahawa representasi yang disebut dalam Fasal (3) Perkara 125 hendaklah representasi yang dibuat oleh Yang di-Pertua Dewan Negara atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat.".



Per. 65(4):

1. Fasal yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 14/1962, perenggan 15(a), berkuat kuasa dari 21-6-1962, dan menggantikan Fasal yang dahulu yang berbunyi seperti yang berikut:

 

"(4) Sebelum melantik mana-mana anggota kakitangannya, Setiausaha Dewan Negara hendaklah berunding dengan Yang di-Pertua Dewan Negara, dan Setiausaha Dewan Rakyat pula hendaklah berunding dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.".

 

2. Lihat Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 [Akta 12/1963].

3. Fasal ini yang dinyatakan di bawah seperti yang berikut, dimansuhkan oleh Akta A837, seksyen 5, berkuat kuasa dari 20-11-1992:

 

"(4) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata selainnya oleh Perkara ini, kelayakan untuk pelantikan dan syarat-syarat perkhidmatan Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat, dan anggota kakitangan Majlis-Majlis Parlimen, bolehlah dikawal selia oleh undang-undang persekutuan.".



Per. 65(5):

1. Perkataan "anggota kakitangannya" digantikan dengan "anggota kakitangan Parlimen" oleh Akta 14/1962, perenggan 15(b), berkuat kuasa dari 21-6-1962.

2. Fasal ini yang dinyatakan di bawah seperti yang berikut, dimansuhkan oleh Akta A837, seksyen 5, berkuat kuasa dari 20-11-1992:

 

"(5) Setiausaha Dewan Negara, Setiausaha Dewan Rakyat dan anggota kakitangan Parlimen adalah hilang kelayakan daripada menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen atau Dewan Undangan mana-mana Negeri.".

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas