PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN IV - PERSEKUTUAN
Bab 5 - Tatacara perundangan




Perkara 66. Penjalanan kuasa perundangan.

(1) Kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang hendaklah dijalankan melalui Rang Undang-Undang yang diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen (atau, dalam hal yang disebut dalam Perkara 68, oleh Dewan Rakyat) dan, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya dalam Perkara ini, diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

(2) Tertakluk kepada Perkara 67, sesuatu Rang Undang-Undang boleh bermula di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen.

(3) Apabila sesuatu Rang Undang-Undang telah diluluskan oleh Majlis Parlimen tempat Rang Undang-Undang itu bermula, maka Rang Undang-Undang itu hendaklah dihantar kepada Majlis Parlimen yang satu lagi; dan Rang Undang-Undang itu hendaklah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan olehnya apabila telah diluluskan oleh Majlis Parlimen yang satu lagi itu dan persetujuan telah dicapai antara kedua-dua Majlis Parlimen itu mengenai apa-apa pindaan yang dibuat dalam Rang Undang-Undang itu atau apabila Rang Undang-Undang itu dikehendaki dikemukakan sedemikian di bawah Perkara 68.

(4) Yang di-Pertuan Agong hendaklah dalam masa tiga puluh hari selepas sesuatu Rang Undang-Undang dikemukakan kepadanya memperkenankan Rang Undang-Undang itu dengan menyebabkan Mohor Besar dicapkan pada Rang Undang-Undang itu.

(4A) Jika sesuatu Rang Undang-Undang tidak diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam masa yang ditentukan dalam Fasal (4), Rang Undang-Undang itu hendaklah menjadi undang-undang apabila habis masa yang ditentukan dalam Fasal itu mengikut cara yang sama seolah-olah dia telah memperkenankannya.

(4B) (Dimansuhkan).

(5) Sesuatu Rang Undang-Undang hendaklah menjadi undang-undang apabila diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong atau sebagaimana yang diperuntukkan dalam Fasal (4A), tetapi tiada undang-undang boleh berkuat kuasa sehingga undang-undang itu telah disiarkan, tanpa, walau bagaimanapun, menjejaskan kuasa Parlimen untuk menangguhkan kuat kuasa mana-mana undang-undang atau untuk membuat undang-undang yang berkuat kuasa ke belakang.

(6) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini atau dalam Perkara 68 boleh menidaksahkan mana-mana undang-undang yang mengesahkan aku janji yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan yang bermaksud bahawa Rang Undang-Undang yang dimaksudkan oleh aku janji itu tidak akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan olehnya kecuali mengikut aku janji itu.



__________________________________
CATATAN

Per. 66(1):

Perkataan ", kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya dalam Perkara ini," ditambahkan selepas perkataan "dan" oleh Akta A584, perenggan 2(a), berkuat kuasa dari 20-1-1984.



Per. 66(4):

1. Perkataan "dan selepas memperkenankan sesuatu Rang Undang-Undang, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menyebabkan Rang Undang-Undang itu disiarkan sebagai undang-undang" dipotong oleh Akta A566, seksyen 12, berkuat kuasa dari 16-12-1983.

2. Fasal (4) digantikan oleh Akta A584, seksyen 2, berkuat kuasa dari 20-1-1984. Fasal yang asal berbunyi seperti yang berikut:

 

"(4) Yang di-Pertuan Agong hendaklah menyatakan perkenannya terhadap sesuatu Rang Undang-Undang dengan menyebabkan Rang Undang-Undang itu dicapkan dengan Mohor Besar, dan selepas memperkenankan Rang Undang-Undang itu, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menyebabkan Rang Undang-Undang itu disiarkan sebagai undang-undang.".

 

Fasal (4A) dan (4B): Ditambahkan oleh Akta A584, perenggan 2(b), berkuat kuasa dari 20-1-1984.

Fasal (5):

1. Digantikan oelh Akta A566, perenggan 12(b), berkuat kuasa dari 16-12-1983, Akta A566, perenggan 12(b) juga memasukkan Fasal (5A). Kedua-dua Fasal (5) dan (5A) berbunyi seperti yang berikut:

 

"(5) Sesuatu Rang Undang-Undang hendaklah menjadi undang-undang apabila ia diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Jika kerana apa-apa jua sebab Rang Undang-Undang itu tidak diperkenankan oleh Baginda dalam tempoh lima belas hari selepas Rang Undang-Undang itu dipersembahkan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Yang di-Pertuan Agong, maka Baginda hendaklah disifatkan teleh memperkenankan Rang Undang-Undang itu dan Rang Undang-Undang tersebut hendaklah dengan demikian itu menjadi undang-undang.

(5A) Tiada satu pun undang-undang boleh berkuat kuasa sehingga ia telah disiarkan tetapi, bagaimanapun, tidaklah menjejaskan kuasa Parlimen untuk menangguhkan kuat kuasa mana-mana undang-undang atau untuk membuat undang-undang dengan kuat kuasa ke belakang.".

 

2. Kemudiannya pula, Akta A584, perenggan 2(c) dan (d), berkuat kuasa dari 20-1-1984, menggantikan Fasal (5) dengan apa yang terdapat sekarang dan memansuhkan Fasal (5A).

Fasal (4), (4A), (4B) dan (5):

1. Fasal (4) dan (4A) digantikan oleh Akta A885, seksyen 8, berkuat kuasa dari 24-6-1994. Fasal dahulu berbunyi seperti yang berikut:

 

"(4) Yang di-Pertuan Agong hendaklah dalam tempoh tiga puluh hari selepas sesuatu Rang Undang-Undang dipersembahkan kepadanya-

 

(a)

memperkenankan Rang Undang-Undang itu dengan menyebabkan Rang Undang-Undang itu dicapkan dengan Mohor Besar; atau

(b)

jika Rang Undang-Undang itu bukan Rang Undang-Undang wang, mengembalikan Rang Undang-Undang itu kepada Majlis Parlimen di mana Rang Undang-Undang itu bermula bersama-sama dengan suatu penyata mengenai sebab-sebab bantahannya terhadap Rang Undang-Undang itu, atau terhadap mana-mana peruntukannya.

 

(4A) Jika Yang di-Pertuan Agong mengembalikan sesuatu Rang Undang-Undang kepada Majlis Parlimen di mana Rang Undang-Undang itu bermula mengikut Fasal (4)(b), Majlis Parlimen itu hendaklah dengan seberapa segera yang mungkin terus menimbangkan semula Rang Undang-Undang itu. Jika selepas ditimbangkan semula, Rang Undang-Undang itu diluluskan dengan undi tidak kurang daripada dua pertiga jumlah ahli Majlis Parlimen itu dalam hal suatu Rang Undang-Undang bagi membuat apa-apa pindaan kepada Perlembagaan selain pindaan yang dikecualikan menurut Perkara 159, dan mengikut majoriti biasa dalam hal mana-mana Rang Undang-Undang lain, dengan atau tanpa pindaan, Rang Undang-Undang itu hendaklah dihantar bersama-sama dengan bantahan-bantahan itu kepada Majlis Parlimen yang satu lagi itu, yang hendaklah juga menimbangkan semula Rang Undang-Undang itu, dan jika diluluskan dengan cara yang sama oleh ahli-ahli Majlis Parlimen itu, maka Rang Undang-Undang itu hendaklah sekali lagi dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan dan Yang di-Pertuan Agong hendaklah memperkenankan Rang Undang-Undang itu dalam tempoh tiga puluh hari selepas Rang Undang-Undang itu dipersembahkan kepadanya.".

 

2. Fasal (4B) yang berbunyi seperti yang berikut, dimansuhkan oleh Akta A885, seksyen 8, berkuat kuasa dari 24-6-1994:

 

"(4B) Jika sesuatu Rang Undang-Undang tidak diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh yang dinyatakan dalam Fasal (4)(a) atau (4A), maka Rang Undang-Undang itu hendaklah menjadi undang-undang selepas habisnya tempoh yang dinyatakan dalam Fasal (4)(a) atau (4A), mengikut mana-mana yang berkenaan, mengikut cara yang sama seolah-olah Baginda telah memperkenankannya.".

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas