PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN IV - PERSEKUTUAN
Bab 5 - Tatacara perundangan




Perkara 67. Sekatan terhadap pembawaan Rang Undang-Undang dan pencadangan pindaan-pindaan yang melibatkan pencukaian, perbelanjaan, dsb.

(1) Sesuatu Rang Undang-Undang atau pindaan yang membuat peruntukan (sama ada secara langsung atau secara tidak langsung) bagi--

(a) mengenakan atau menaikkan apa-apa cukai atau menghapuskan, menurunkan atau meremitkan apa-apa cukai yang ada;

(b) peminjaman wang, atau pemberian apa-apa jaminan, oleh Persekutuan, atau pemindaan undang-undang yang berhubungan dengan obligasi kewangan Persekutuan;

(c) penjagaan Kumpulan Wang Disatukan, pemertanggungan apa-apa wang pada Kumpulan Wang Disatukan atau penghapusan atau pengubahan mana-mana pemertanggungan itu;

(d) pembayaran wang ke dalam Kumpulan Wang Disatukan atau pembayaran, pengeluaran atau pengambilan keluar daripada Kumpulan Wang Disatukan apa-apa wang yang tidak dipertanggungkan padanya, atau apa-apa pertambahan amaun yang dibayar, dikeluarkan atau diambil keluar itu;

(e) pengkompaunan atau peremitan apa-apa hutang yang kena dibayar kepada Persekutuan;

(f) penyerahhakan cukai atau fi atau pembuatan pemberian kepada mana-mana Negeri;

(g) penerimaan wang bagi akaun Kumpulan Wang Disatukan atau penjagaan atau pengeluaran wang itu atau pengauditan akaun Persekutuan atau sesuatu Negeri,

iaitu peruntukan yang berkenaan dengannya Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi kewangan menandakan bahawa peruntukan itu adalah lebih daripada apa yang bersampingan sahaja dan lebih daripada apa yang tidak bersifat substantial memandangkan maksud Rang Undang-Undang atau pindaan itu tidak boleh dibawa atau dicadangkan kecuali oleh seorang Menteri, dan sesuatu Rang Undang-Undang yang membuat apa-apa peruntukan sedemikian tidak boleh dimulakan di dalam Dewan Negara.

(2) Sesuatu Rang Undang-Undang atau pindaan tidaklah boleh disifatkan membuat peruntukan bagi mana-mana perkara tersebut semata-mata oleh sebab Rang Undang-Undang atau pindaan itu mengadakan peruntukan--

(a) bagi pengenaan atau pengubahan apa-apa denda atau penalti wang lain atau bagi pembayaran atau penuntutan fi lesen atau fi atau caj bagi apa-apa perkhidmatan yang diberikan; atau

(b) bagi pengenaan, pengubahan atau pengawalseliaan apa-apa cukai atau kadar oleh mana-mana pihak berkuasa tempatan atau badan bagi maksud tempatan.



_____________________________
CATATAN

Per. 67:

Lihat Per. 66(2).

Fasal (1):

1. Perkataan "(sama ada secara langsung atau secara tidak langsung)" yang terdapat dalam baris dua dan tiga, dan perkataan "iaitu peruntukan yang berkenaan dengannya Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi kewangan menandakan bahawa peruntukan itu adalah lebih daripada apa yang bersampingan sahaja dan lebih daripada apa yang tidak bersifat substansial memandangkan maksud Rang Undang-Undang atau pindaan itu" yang terdapat selepas perenggan (g) ditambahkan dan perkataan "peruntukan berkenaan dengan mana-mana perkara sedemikian" di baris dua dari akhir dalam Fasal itu digantikan dengan "apa-apa peruntukan sedemikian" oleh Akta 14/1962, seksyen 16, berkuat kuasa dari 15-7-1962.

2. Lihat Per. 68(6).

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas