PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN IV - PERSEKUTUAN
Bab 5 - Tatacara perundangan




Perkara 68.Perkenan terhadap Rang Undang-Undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat sahaja.

(1) Jika sesuatu Rang Undang-Undang wang diluluskan oleh Dewan Rakyat dan, setelah dihantar kepada Dewan Negara sekurang-kurangnya sebulan sebelum akhir penggal itu, Rang Undang-Undang itu tidak diluluskan oleh Dewan Negara tanpa pindaan dalam tempoh sebulan, maka Rang Undang-Undang itu hendaklah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan olehnya melainkan jika diarahkan selainnya oleh Dewan Rakyat.

(2) Jika--

(a) sesuatu Rang Undang-Undang yang bukan suatu rang Undang-Undang wang diluluskan oleh Dewan Rakyat dan, setelah dihantar kepada Dewan Negara sekurang-kurangnya sebulan sebelum akhir penggal itu, Rang Undang-Undang itu tidak diluluskan oleh Dewan Negara atau diluluskan oleh Dewan Negara dengan pindaan yang tidak dipersetujui oleh Dewan Rakyat; dan

(b) dalam penggal yang berikutnya (sama ada di dalam Parlimen yang sama atau tidak) tetapi tidak lebih awal daripada setahun selepas Rang Undang-Undang itu mula-mula diluluskan oleh Dewan Rakyat, Rang Undang-Undang yang sama, tanpa apa-apa perubahan lain selain yang disebut dalam Fasal (3), diluluskan sekali lagi oleh Dewan Rakyat dan dihantar kepada Dewan Negara sekurang-kurangnya sebulan sebelum akhir penggal itu dan tidak diluluskan oleh Dewan Negara atau diluluskan oleh Dewan Negara dengan pindaan yang tidak dipersetujui oleh Dewan Rakyat,

maka Rang Undang-Undang itu hendaklah, melainkan jika diarahkan selainnya oleh Dewan Rakyat, dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan olehnya dengan apa-apa pindaan, jika ada, sebagaimana yang telah dipersetujui oleh kedua-dua Majlis Parlimen.

(3) Perubahan yang disebut dalam Fasal (2) ialah perubahan yang diperakui oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat sebagai perlu oleh sebab masa yang telah luput semenjak Rang Undang-Undang itu diluluskan dalam penggal yang terdahulu atau untuk menggambarkan pindaan yang dibuat dalam penggal itu oleh Dewan Negara.

(4) Apabila sesuatu Rang Undang-Undang dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara ini, Rang Undang-Undang itu hendaklah mengandungi suatu perakuan daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang menyatakan bahawa peruntukan Perkara ini telah dipatuhi, dan perakuan itu adalah muktamad bagi segala maksud dan tidaklah boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah.

(5) Perkara ini tidaklah terpakai bagi apa-apa Rang Undang-Undang untuk membuat apa-apa pindaan kepada Perlembagaan ini, selain pindaan yang dikecualikan daripada peruntukan Fasal (3) Perkara 159.

(6) Dalam Perkara ini "Rang Undang-Undang wang" ertinya suatu Rang Undang-Undang, yang pada pendapat Yang di-Pertua Dewan Rakyat mengandungi hanya peruntukan yang memperkatakan kesemua atau mana-mana perkara yang berikut sahaja, iaitu:

(a) perkara yang disebut dalam Fasal (1) Perkara 67 atau pengawalseliaan apa-apa cukai;

(b) pengurangan mana-mana amaun yang disebut dalam perenggan (d) Fasal (1) Perkara 67; dan

(c) apa-apa perkara yang bersampingan dengan perkara itu atau mana-mana perkara itu,


yang diperakui oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat sebagai suatu Rang Undang-Undang wang.


________________________________
CATATAN

Per. 68:

Lihat Per. 66(1), (3) dan (6).

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas