PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN V - NEGERI-NEGERI




Perkara 70. Keutamaan Raja dan Yang di-Pertua Negeri.

(1) Tertakluk kepada keutamaan Yang di-Pertuan Agong dan Isterinya, Raja dan Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri-Negeri hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang lain dan setiap Raja atau Yang di-Pertua Negeri hendaklah, di dalam Negerinya sendiri, diberi keutamaan daripada Raja dan Yang di-Pertua Negeri yang lain.

(2) Tertakluk kepada Fasal (1), Raja hendaklah diberi keutamaan daripada Yang di-Pertua Negeri dan, antara mereka sendiri, mengikut tarikh mereka menjadi Raja, dan Yang di-Pertua Negeri hendaklah, antara mereka sendiri, diberi keutamaan mengikut tarikh mereka dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri; dan jika Yang di-Pertua Negeri dilantik pada hari yang sama, maka yang lebih tua hendaklah diberi keutamaan daripada yang lebih muda.


________________________________________
CATATAN

Per. 70:

1. Fasal (1): Perkataan "Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh Akta A354, seksyen 42, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

2. Fasal (1) dan (2): Perkataan "Gabenor-Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

3. Lihat Per. 159(5).

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas