PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VI - PERHUBUNGAN ANTARA PERSEKUTUAN DENGAN NEGERI-NEGERI
Bab 1 - Pembahagian kuasa perundangan




Perkara 76. Kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang bagi Negeri-Negeri dalam hal-hal tertentu.

(1) Parlimen boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Negeri, tetapi hanya seperti yang berikut sahaja, iaitu:

(a) bagi maksud melaksanakan apa-apa triti, perjanjian atau konvensyen antara Persekutuan dengan mana-mana negara lain, atau apa-apa keputusan sesuatu organisasi antarabangsa yang dianggotai oleh Persekutuan; atau

(b) bagi maksud menggalakkan keseragaman undang-undang antara dua Negeri atau lebih; atau

(c) jika diminta sedemikian oleh Dewan Undangan mana-mana Negeri.

(2) Tiada undang-undang boleh dibuat menurut perenggan (a) Fasal (1) mengenai apa-apa perkara mengenai hukum Syarak atau adat orang Melayu atau mengenai apa-apa perkara tentang undang-undang atau adat anak negeri di Negeri Sabah dan Sarawak dan tiada Rang Undang-Undang bagi suatu undang-undang di bawah perenggan itu boleh dibawa di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen sehingga Kerajaan mana-mana Negeri yang berkenaan telah dirundingi.

(3) Tertakluk kepada Fasal (4), sesuatu undang-undang yang dibuat menurut perenggan (b) atau perenggan (c) Fasal (1) tidak boleh berkuat kuasa di mana-mana Negeri sehingga undang-undang itu telah diterima pakai melalui suatu undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu, dan selepas itu hendaklah disifatkan sebagai suatu undang-undang Negeri dan bukan suatu undang-undang persekutuan, dan boleh dipinda atau dimansuhkan sewajarnya melalui suatu undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan itu.

(4) Parlimen boleh, hanya bagi maksud memastikan keseragaman undang-undang dan dasar, membuat undang-undang mengenai pemegangan tanah, perhubungan antara tuan tanah dengan penyewa, pendaftaran hakmilik dan surat ikatan yang berhubungan dengan tanah, pindah hakmilik tanah, gadai janji, pajakan dan gadaian berkenaan dengan tanah, isemen dan hak dan kepentingan lain mengenai tanah, pengambilan tanah dengan paksa, perkadaran dan penilaian tanah, dan kerajaan tempatan; dan Fasal (1)(b) dan (3) tidaklah terpakai bagi mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan mana-mana perkara itu.


________________________________________
CATATAN

Per. 76:

Lihat Per. 159(4)(b), 160(2) takrif "maksud persekutuan".

Fasal (1): Lihat Per. 169.

Fasal (1)(b): Lihat Per. 95D

Fasal (2):

1. Perkataan "atau mengenai apa-apa perkara tentang undang-undang atau adat anak negeri di Negeri-Negeri Borneo" dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

2. Perkataan "Negeri-Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah dan Sarawak" oleh Akta A354, seksyen 43 dan Akta A514, seksyen 19, kedua-duanya berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Fasal (3): Perkataan "bagi maksud Perkara 75" yang terdapat sebelum "sebagai suatu undang-undang Negeri" dipotong oleh Akta 10/1960, seksyen 11, berkuat kuasa dari 31-5-1960.

Fasal (4):

1. Perkataan "selain pajakan perlombongan" yang terdapat selepas "pajakan" dipotong oleh Akta 14/1962, seksyen 17, berkuat kuasa dari 21-6-1962.

2. Lihat Per. 80(3), 95D.

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas