PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VI - PERHUBUNGAN ANTARA PERSEKUTUAN DENGAN NEGERI-NEGERI
Bab 4 - Tanah




Perkara 83. Pengambilan tanah bagi maksud persekutuan.

(1) Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa tanah di sesuatu Negeri, yang bukan tanah beri hakmilik, dikehendaki bagi maksud persekutuan, maka Kerajaan Persekutuan boleh, selepas berunding dengan Kerajaan Negeri itu, menghendaki Kerajaan Negeri itu, dan kemudiannya adalah menjadi kewajipan Kerajaan Negeri itu, untuk menyebabkan mana-mana tanah sebagaimana yang diarahkan oleh Kerajaan Persekutuan diberikan kepada Persekutuan atau kepada mana-mana pihak berkuasa awam sebagaimana yang diarahkan oleh Kerajaan Persekutuan:

Dengan syarat bahawa Kerajaan Persekutuan tidaklah boleh menghendaki supaya diberikan mana-mana tanah yang dirizabkan bagi sesuatu maksud Negeri melainkan jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa adalah bagi kepentingan negara untuk berbuat demikian.

(2) Jika mengikut Fasal (1) Kerajaan Persekutuan menghendaki supaya Kerajaan Negeri itu menyebabkan tanah diberikan untuk selama-lamanya, maka pemberian itu hendaklah dibuat tanpa sekatan tentang kegunaan tanah itu tetapi hendaklah tertakluk kepada pembayaran cukai tanah yang berkenaan pada tiap-tiap tahun dan Persekutuan hendaklah membayar kepada Negeri itu suatu premium yang sama banyak dengan nilai pasaran bagi pemberian itu; dan jika Kerajaan Persekutuan menghendaki supaya Kerajaan Negeri itu menyebabkan apa-apa kepentingan lain mengenai tanah diberikan, maka Persekutuan hendaklah membayar kepada Negeri itu cukai tahunan yang adil bagi kepentingan itu dan apa-apa premium, jika ada yang dikehendaki oleh Kerajaan Negeri itu, sebagaimana yang adil:

Dengan syarat bahawa jika nilai tanah itu telah dinaikkan oleh sebab apa-apa pemajuan yang dibuat (selain atas perbelanjaan Negeri itu) semasa tanah itu dirizabkan bagi maksud persekutuan, maka kenaikan itu tidak boleh diambil kira pada menentukan nilai pasaran, cukai atau premium bagi maksud Fasal ini.

(3) Jika sesuatu kehendak dibuat di bawah Fasal (1) berkenaan dengan mana-mana tanah yang, pada tarikh kehendak itu, telah dicadangkan bagi apa-apa maksud Negeri, maka jika--

(a) tanah lain diambil oleh Negeri itu bagi maksud itu sebagai ganti tanah yang mula-mula disebut itu; dan

(b) kos tanah yang diambil sedemikian melebihi amaun yang dibayar oleh Persekutuan (selain bayaran sebagai cukai) mengikut Fasal (2) berkenaan dengan kepentingan yang diberikan kepada Persekutuan itu,

Persekutuan hendaklah membayar kepada Negeri itu apa-apa jumlah wang yang adil berkenaan dengan lebihan itu.

(4) Jika pemberian selanjutnya dibuat menurut Perkara ini berkenaan dengan tanah yang mengenainya suatu kepentingan terletak hak pada Persekutuan atau mana-mana pihak berkuasa awam, maka apa-apa jumlah wang yang kena dibayar sebagai premium di bawah Fasal (2) berkenaan dengan pemberian selanjutnya itu hendaklah dikurangkan sebanyak amaun yang sama dengan nilai pasaran bagi apa-apa pemajuan yang dibuat (selain atas perbelanjaan Negeri itu) semenjak kepentingan itu menjadi terletak hak seperti yang disebut terdahulu.

(5) Peruntukan yang tersebut di atas dalam Perkara ini (kecuali Fasal (3)) hendaklah terpakai berhubung dengan tanah beri hakmilik sebagaimana peruntukan itu terpakai berhubung dengan tanah yang bukan tanah beri hakmilik, tetapi tertakluk kepada ubah suaian yang berikut:

(a) dalam Fasal (1), perkataan ", selepas berunding dengan Kerajaan Negeri itu," hendaklah ditinggalkan;

(b) jika suatu kehendak dibuat di bawah Fasal itu, maka menjadi kewajipan Kerajaan Negeri itu untuk menyebabkan diambil melalui perjanjian atau dengan paksa apa-apa kepentingan mengenai tanah itu sebagaimana yang perlu untuk mematuhi kehendak itu;

(c) apa-apa perbelanjaan yang dilakukan oleh Negeri itu dalam atau berkaitan dengan pengambilan tanah mengikut perenggan (b) hendaklah dibayar balik oleh Persekutuan, kecuali bahawa jika pengambilan itu dilakukan melalui perjanjian, maka Persekutuan tidaklah bertanggungan, melainkan jika Persekutuan merupakan satu pihak kepada perjanjian itu, untuk membayar lebih daripada apa yang akan dibayar olehnya jika tanah itu diambil dengan paksa;

(d) apa-apa jumlah wang yang dibayar oleh Persekutuan kepada Negeri itu mengikut perenggan (c) hendaklah, bagi maksud Fasal (2), diambil kira pada menentukan nilai pasaran, cukai tanah yang berkenaan atau cukai tahunan yang adil, dan hendaklah dipotong daripada apa-apa premium yang kena dibayar oleh Persekutuan di bawah Fasal itu.

(6) Jika pemberian dibuat kepada Persekutuan menurut Fasal (1) berkenaan dengan tanah, atau suatu kepentingan mengenainya, yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri itu atas perbelanjaan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu sebelum Hari Merdeka, maka perenggan (d) dan Fasal (5) hendaklah terpakai bagi jumlah-jumlah wang yang dibayar berkenaan dengan pengambilan itu oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu seolah-olah jumlah-jumlah wang itu dibayar oleh Persekutuan mengikut perenggan (c) Fasal (5); dan Fasal (3) tidaklah terpakai bagi mana-mana tanah yang sedemikian.

(7) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh menghalang perizaban tanah di sesuatu Negeri bagi maksud persekutuan atas apa-apa terma dan syarat yang dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri itu, atau boleh menyentuh kuasa pihak berkuasa yang berkenaan di sesuatu Negeri untuk mengambil, mengikut mana-mana undang-undang yang sedang berkuat kuasa, mana-mana tanah beri hakmilik bagi maksud persekutuan tanpa suatu kehendak oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Perkara ini.

(8) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh menghalang pemberian tanah di sesuatu Negeri kepada Persekutuan, atas apa-apa terma dan syarat yang dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri, tanpa suatu kehendak oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Perkara ini.


_______________________________________
CATATAN

Per. 83:

Lihat Per. 88.

Fasal (5): Lihat Per. 84(1)(a).

Perenggan (a): Lihat Per. 88(b).

Fasal (8): Ditambahkan oleh Akta A704, seksyen 3, berkuat kuasa dari 10-6-1988.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas