PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VI - PERHUBUNGAN ANTARA PERSEKUTUAN DENGAN NEGERI-NEGERI
Bab 4 - Tanah




Perkara 89. Tanah simpanan Melayu.

(1) Mana-mana tanah di sesuatu Negeri yang merupakan tanah simpanan Melayu sebaik sebelum Hari Merdeka mengikut undang-undang yang sedia ada boleh terus menjadi tanah simpanan Melayu mengikut undang-undang itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh suatu Enakmen Badan Perundangan Negeri itu, iaitu suatu Enakmen--

(a) yang diluluskan oleh majoriti jumlah bilangan ahli Dewan Undangan dan dengan undi tidak kurang daripada dua pertiga daripada ahli-ahli yang hadir dan mengundi; dan

(b) yang dipersetujui melalui ketetapan setiap Majlis Parlimen yang diluluskan oleh majoriti jumlah bilangan ahli Majlis Parlimen itu dan dengan undi tidak kurang daripada dua pertiga daripada ahli-ahli yang mengundi.

(1A) Apa-apa undang-undang yang dibuat di bawah Fasal (1) yang membuat peruntukan bagi pelucuthakan atau pengembalian kepada Pihak Berkuasa Negeri, atau bagi pelucutan, pemunyaan mana-mana tanah simpanan Melayu, atau apa-apa hak atau kepentingan mengenainya, disebabkan mana-mana orang, atau mana-mana perbadanan, syarikat atau badan lain (sama ada diperbadankan atau tidak diperbadankan) yang memegangnya tidak lagi layak atau berwibawa di bawah undang-undang yang berkaitan yang berhubungan dengan tanah simpanan Melayu untuk memegangnya, tidaklah menjadi tidak sah atas alasan ketidakselarasan dengan Perkara 13.

(2) Mana-mana tanah di sesuatu Negeri yang pada masa ini bukan tanah simpanan Melayu mengikut undang-undang yang sedia ada dan yang belum dibangunkan atau dicucuk tanam boleh diisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu mengikut undang-undang itu:

Dengan syarat bahawa--

(a) jika mana-mana tanah di sesuatu Negeri diisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu di bawah Fasal ini, suatu keluasan tanah simpanan Melayu di bawah Fasal ini, suatu keluasan tanah yang sama dengan luas tanah itu di dalam Negeri itu yang belum dibangunkan atau dicucuk tanam hendaklah diadakan bagi pemberian hakmilik umum; dan

(b) jumlah keluasan tanah di sesuatu Negeri yang pada masa ini diisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu di bawah Fasal ini tidak boleh pada bila-bila masa melebihi jumlah keluasan tanah di Negeri itu yang telah diadakan bagi pemberian hakmilik umum menurut perenggan (a).

(3) Tertakluk kepada Fasal (4), Kerajaan mana-mana Negeri boleh, mengikut undang-undang yang sedia ada, mengisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu--

(a) mana-mana tanah yang diambil oleh Kerajaan itu melalui perjanjian bagi maksud itu;

(b) mana-mana tanah lain, apabila permohonan dibuat oleh tuan punya tanah itu, dan dengan persetujuan tiap-tiap orang yang mempunyai hak atau kepentingan mengenainya,

dan hendaklah, mengikut undang-undang yang sedia ada, dengan serta-merta mengisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu, dalam hal jika mana-mana tanah terhenti menjadi tanah simpanan Melayu, mana-mana tanah lain yang sama jenisnya dengan tanah itu dan yang luasnya tidak melebihi keluasan tanah itu.

(4) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh membenarkan diisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu mana-mana tanah yang pada masa perisytiharan itu dipunyai atau diduduki oleh seseorang yang bukan seorang Melayu atau yang mengenainya atau ke atasnya orang itu ketika itu mempunyai apa-apa hak atau kepentingan.

(5) Tanpa menjejaskan Fasal (3), Kerajaan mana-mana Negeri boleh, mengikut undang-undang, mengambil tanah untuk menempatkan orang Melayu atau kaum lain, dan mewujudkan amanah bagi maksud itu.

(6) Dalam Perkara ini "tanah simpanan Melayu" ertinya tanah yang disimpan untuk diberi hakmilik kepada orang Melayu atau kepada anak negeri bagi Negeri tempat terletaknya tanah itu; dan "orang Melayu" termasuklah mana-mana orang yang, di bawah undang-undang Negeri tempat dia bermastautin, dikira sebagai orang Melayu bagi maksud perizaban tanah.

(7) Tertakluk kepada Perkara 161A, Perkara ini hendaklah berkuat kuasa walau apa pun apa-apa peruntukan lain dalam perlembagaan ini; tetapi (tanpa menjejaskan mana-mana peruntukan lain yang sedemikian) tiada tanah boleh dikekalkan atau diisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu kecuali sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara ini dan Perkara 90.

(8) Peruntukan Perkara ini hendaklah terpakai bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mengikut cara yang sama sebagaimana peruntukan Perkara ini terpakai bagi sesuatu Negeri, kecuali bahawa Fasal (1) dalam pemakaiannya bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya hendaklah diubahsuaikan supaya dibaca bahawa mana-mana tanah di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang sebaik sebelum Hari Merdeka ialah tanah simpanan Melayu mengikut undang-undang yang sedia ada boleh terus menjadi tanah simpanan Melayu mengikut undang-undang itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Akta Parlimen yang diluluskan oleh majoriti jumlah bilangan ahli setiap Majlis Parlimen dan dengan undi tidak kurang daripada dua pertiga daripada ahli-ahli yang hadir dan mengundi di dalam setiap Majlis Parlimen.

____________________________________________
CATATAN

Per. 89:

1. Lihat Per. 90(3), 161A(5).

2. Fasal (1): Lihat Per. 62(3), 90(2).

3. Fasal (1A): Ditambahkan oleh Akta A514, seksyen 7, berkuat kuasa dari 15-5-1981.

4. Fasal (3): Perkataan "dan hendaklah, mengikut undang-undang yang sedia ada, dengan serta merta mengisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu, dalam hal jika mana-mana tanah terhenti menjadi tanah simpanan Melayu, mana-mana tanah lain yang sama jenisnya dengan tanah itu dan yang luasnya tidak melebihi keluasan tanah itu" ditambahkan selepas perenggan (b) oleh Akta A514, seksyen 7, berkuat kuasa dari 15-5-1981.

Perenggan (c) yang berbunyi seperti yang berikut dimansuhkan oleh Akta A514, seksyen 7, berkuat kuasa dari 15-5-1981:

"(c) dalam hal jika mana-mana tanah terhenti menjadi tanah simpanan Melayu, mana-mana tanah yang sama jenisnya dengan tanah itu dan yang luasnya tidak melebihi keluasan tanah itu.".

5. Fasal (7): Perkataan "Tertakluk kepada Perkara 161A" di permulaan Fasal dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

6. Fasal (8): Ditambahkan oleh Akta A585, seksyen 24(1), berkuat kuasa dari 1-2-1974, dan kemudiannya pula dipinda oleh Akta A1095, seksyen 17, berkuat kuasa dari 1-2-2001 supaya termasuk Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Catatan:

Perkara 89 Perlembagaan tidaklah terpakai bagi Wilayah Persekutuan Labuan dan Perkara 8 Perlembagaan tidaklah menjadikan tidak sah atau melarang mana-mana peruntukan undang-undang persekutuan berkenaan denga perizaban tanah untuk anak negeri di dalam Wilayah Persekutuan Labuan atau berkenaan dengan pembaziran hakmilik kepada mereka, atau berkenaan dengan hal memberikan layanan keutamaan kepada mereka berkenaan dengan pemberian hakmilik tanah di dalam Wilayah Persekutuan Labuan oleh Persekutuan. (Lihat subseksyen 18(2) Akta A585).

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas