PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN II - KEBEBASAN ASASI




Perkara 9. Larangan buang negeri dan kebebasan bergerak.

(1) Tiada seorang pun warganegara boleh dibuang negeri dari atau ditahan masuk ke Persekutuan.

(2) Tertakluk kepada Fasal (3) dan kepada mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam, kesihatan awam, atau penghukuman pesalah, tiap-tiap warganegara berhak bergerak dengan bebas di seluruh Persekutuan dan bermastautin di mana-mana bahagiannya.

(3) Selagi mana-mana Negeri lain berada dalam kedudukan istimewa di bawah Perlembagaan ini berbanding dengan Negeri-Negeri Tanah Melayu, Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan sekatan-sekatan, antara Negeri itu dengan Negeri-Negeri yang lain, ke atas hak-hak yang diberikan oleh Fasal (2) berkenaan dengan pergerakan dan kemastautinan.

_____________________________________________
CATATAN:

Per. 9:

Lihat Per. 149(1).

Fasal 2:

1. Perkataan "Tertakluk kepada Fasal (3) dan kepada mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya" yang terdapat pada permulaan Fasal itu menggantikan perkataan "Tertakluk kepada apa-apa sekatan yang dikenakan oleh mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan keselamatan Persekutuan" menurut Akta 26/1963, subseksyen 60(1), berkuat kuasa dari 16-9-1963.

2. Lihat Per. 4(2)(a):

Fasal (3):

1. Fasal ini ditambahkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 60(1), berkuat kuasa dari 16-9-1963. Suatu proviso yang ditambahkan pada masa yang sama dimansuhkan oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 19-9-1966. Sebagaimana yang terdapat pada tarikh pemansuhan, proviso itu berbunyi seperti yang berikut:

"Dengan syarat bahawa tiada sekatan ke atas hak bergerak antara Negeri Singapura dengan Negeri-Negeri Tanah Melayu boleh dikenakan menurut kuasa Fasal ini kecuali melalui suatu undang-undang yang berhubungan dengan buruh atau pendidikan atau dengan apa-apa perkara yang berkenaan dengannya, oleh sebab kedudukan istimewa Negeri Singapura, ternyata kepada Parlimen wajar ditahan penikmatan hak-hak itu di kedua-dua Negeri Singapura dan Negeri-Negeri Tanah Melayu."


2. Fasal 3 ini terpakai bagi undang-undang yang diluluskan sebelum Hari Malaysia supaya dapat dikenakan sekatan mulai dari Hari Malaysia -- Akta 26/1963, subseksyen 60(2).

3. Proviso kepada Fasal (3) dipinda dengan menambahkan "dan apa-apa sekatan seperti itu hendaklah dipakai bersalingan kepada Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Negeri Singapura" di hujungnya oleh Akta 19/1964, seksyen 2, berkuat kuasa dari 30-7-1964.

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas