PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VI - PERHUBUNGAN ANTARA PERSEKUTUAN DENGAN NEGERI-NEGERI
Bab 5 - Pembangunan negara




Perkara 92. Rancangan pembangunan negara.

(1) Jika, selepas sesuatu syor diterima daripada suatu jawatankuasa pakar dan selepas berunding dengan Majlis Kewangan Negara, Majlis Tanah Negara dan Kerajaan mana-mana Negeri yang berkenaan, Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa adalah berfaedah bagi kepentingan negara dijalankan sesuatu rancangan pembangunan di mana-mana kawasan atau kawasan-kawasan di dalam satu atau beberapa Negeri, maka Yang di-Pertuan Agong boleh, selepas menyiarkan rancangan itu, mengisytiharkan kawasan atau kawasan-kawasan itu sebagai kawasan pembangunan; dan sesudah itu Parlimen berkuasa melaksanakan rancangan pembangunan itu atau mana-mana bahagiannya, walaupun mana-mana perkara yang dimaksudkan oleh rancangan itu merupakan perkara-perkara yang, jika tidak kerana Perkara ini, hanya Negeri-Negeri sahaja berkuasa membuat undang-undang mengenainya.

(2) Apa-apa Akta yang diluluskan menurut Perkara ini hendaklah menyebut bahawa Akta itu telah diluluskan sedemikian dan bahawa peruntukan Fasal (1) telah dipatuhi; dan Perkara 79 tidaklah terpakai bagi apa-apa Rang Undang-Undang untuk mengadakan suatu Akta yang sedemikian atau apa-apa pindaan kepada suatu Rang Undang-Undang yang sedemikian.

(3) Dalam Perkara ini, "rancangan pembangunan" ertinya suatu rancangan untuk membangunkan, memajukan, atau memelihara sumber-sumber alam di dalam sesuatu kawasan pembangunan, mengeksploitasikan sumber-sumber yang sedemikian, atau menambah peluang-peluang pekerjaan di dalam kawasan itu.

(4) Tanpa menjejaskan kuasanya di bawah mana-mana Perkara lain untuk menghendaki apa-apa kepentingan mengenai tanah diambil atau diberikan bagi maksud persekutuan, Kerajaan Persekutuan boleh dari semasa ke semasa menghendaki dirizabkan bagi maksud sesuatu rancangan pembangunan, setakat yang dinyatakannya, mana-mana tanah di dalam sesuatu kawasan pembangunan yang tidak diduduki oleh orang persendirian; tetapi apa-apa kekurangan hasil tahunan yang diterima oleh sesuatu Negeri disebabkan oleh perizaban itu hendaklah diganti kepada Negeri itu oleh Persekutuan.

(5) Segala pendapatan yang diterima oleh Persekutuan daripada pengendalian sesuatu rancangan pembangunan hendaklah, tertakluk kepada Fasal (6), digunakan--


(a) pertamanya, bagi mengadakan peruntukan modal dan membayar belanja kerja bagi rancangan pembangunan itu;

(b) keduanya, bagi membayar balik kepada Persekutuan apa-apa perbelanjaan, termasuk perbelanjaan di bawah Fasal (4), yang dilakukan oleh Persekutuan dalam mengendalikan rancangan itu; dan

(c) tentang bakinya, bagi membayar kepada Negeri tempat kawasan pembangunan itu terletak atau, jika kawasan pembangunan itu terletak di dalam dua Negeri atau lebih, kepada Negeri-Negeri itu mengikut perkadaran yang ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan.

(6) Jika dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan mana-mana Negeri yang di dalamnya termasuk keseluruhan atau mana-mana bahagian kawasan pembangunan itu bahawa apa-apa perbelanjaan yang dilakukan dalam mengendalikan rancangan pembangunan itu hendaklah dibayar oleh Negeri itu, maka apa-apa perbelanjaaan yang dibayar sedemikian hendaklah dibayar balik kepada Negeri itu dan pembayaran balik itu hendaklah berperingkat pari passu dengan pembayaran balik kepada Persekutuan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan oleh Persekutuan.

(7) Parlimen boleh memansuhkan atau meminda mana-mana Akta yang diluluskan menurut Perkara ini, dan bagi maksud itu boleh membuat apa-apa peruntukan yang bersampingan dan berbangkit sebagaimana yang difikirkannya perlu.

(8) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh menyentuh kuasa Parlimen atau Badan Perundangan mana-mana Negeri--

(a) untuk mengenakan apa-apa cukai atau kadar yang dibenarkan untuk dikenakan olehnya di bawah mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan ini; atau

(b) untuk membuat daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan atau Kumpulan Wang Disatukan Negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan, pemberian-pemberian yang tidak kena dibayar balik di bawah Fasal (5) atau (6),

kecuali bahawa jika, menurut Fasal (1), suatu kadar dikenakan ke atas apa-apa harta oleh undang-undang persekutuan yang, jika tidak kerana Perkara ini, mungkin dikenakan oleh undang-undang Negeri, maka kadar yang sama jenisnya tidak boleh dikenakan oleh undang-undang Negeri selama apa-apa tempoh kadar yang dikenakan oleh undang-undang persekutuan kena dibayar.

____________________________________________
CATATAN

Per. 92:

Lihat Per. 95E(1) dan (3), 108(4)(e).

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas