PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VI - PERHUBUNGAN ANTARA PERSEKUTUAN DENGAN NEGERI-NEGERI
Bab 7 - Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan




Perkara 95A. Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan.

(1) Maka hendaklah ada suatu Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan yang terdiri daripada seorang Menteri sebagai Pengerusi, seorang wakil dari setiap Negeri yang hendaklah dilantik oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri, dan apa-apa bilangan wakil Kerajaan Persekutuan yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan tetapi, tertakluk kepada Fasal (5) Perkara 95E, bilangan wakil Kerajaan Persekutuan tidak boleh melebihi sepuluh.

(2) Pengerusi boleh mengundi atas apa-apa soal di hadapan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan dan mempunyai undi pemutus.

(3) Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan hendaklah dipanggil bermesyuarat oleh Pengerusi seberapa kerap yang difikirkannya perlu tetapi sekurang-kurangnya satu mesyuarat hendaklah diadakan pada tiap-tiap tahun.

(4) Jika Pengerusi atau seseorang wakil sesuatu Negeri atau seseorang wakil Kerajaan Persekutuan tidak dapat hadir dalam sesuatu mesyuarat, maka pihak berkuasa yang melantiknya itu boleh melantik seorang lain untuk mengambil tempatnya dalam mesyuarat itu.

(5) Menjadi kewajipan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan untuk membentuk, dari semasa ke semasa, dengan berunding dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri, suatu dasar negara untuk memajukan, membangunkan dan mengawal kerajaan tempatan di seluruh Persekutuan dan untuk mentadbirkan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengannya; dan Kerajaan-Kerajaan Persekutuan dan Negeri hendaklah mengikuti dasar yang dibentuk sedemikian.

(6) Menjadi kewajipan juga bagi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan mana-mana Negeri untuk berunding dengan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan berkenaan dengan apa-apa perundangan yang dicadangkan mengenai kerajaan tempatan dan menjadi kewajipan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan untuk menasihati Kerajaan-Kerajaan itu mengenai mana-mana perkara yang sedemikian.

(7) Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan mana-mana Negeri boleh merundingi Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan berkenaan dengan apa-apa perkara lain yang berhubungan dengan kerajaan tempatan, dan menjadi kewajipan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan untuk menasihati Kerajaan itu mengenai mana-mana perkara yang sedemikian.

____________________________________________
CATATAN

Per. 95A:

1. Ditambahkan oleh Akta 10/1960, seksyen 12, berkuat kuasa dari 31-5-1960.

2. Lihat Per. 95E(1), (2) dan (5)(b).

3. Fasal (1):(a) perkataan "tidaklah boleh melebihi sepuluh" yang terdapat selepas "dan apa-apa bilangan" dipotong dan perkatan "tetapi, tertakluk kepada Fasal (5) Perkara 95E, bilangan wakil Kerajaan Persekutuan tidaklah boleh melebihi sepuluh" yang terdapat di hujungnya ditambahkan oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

(b) Perkataan "Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh Akta A354, seksyen 42, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas