PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VI - PERHUBUNGAN ANTARA PERSEKUTUAN DENGAN NEGERI-NEGERI
Bab 8 - Pemakaian bagi Negeri Sabah dan Sarawak




Perkara 95B. Ubah suaian bagi Negeri Sabah dan Sarawak mengenai pembahagian kuasa perundangan.

(1) Dalam hal Negeri Sabah dan Sarawak--

(a) tambahan kepada Senarai II yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan hendaklah disifatkan menjadi sebahagian daripada Senarai Negeri, dan perkara-perkara yang disebut satu persatu dalamnya hendaklah disifatkan tidak termasuk dalam Senarai Persekutuan atau Senarai Bersama; dan

(b) tambahan kepada Senarai III yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan, tertakluk kepada Senarai Negeri, hendaklah disifatkan menjadi sebahagian daripada Senarai Bersama, dan perkara-perkara yang disebut satu persatu dalamnya hendaklah disifatkan tidak termasuk dalam Senarai Persekutuan (tetapi tidaklah sehingga menyentuh pentafsiran Senarai Negeri, jika ia merujuk kepada Senarai Persekutuan).

(2) Jika menurut kuasa Fasal (1) sesuatu butiran dimasukkan ke dalam Senarai Bersama bagi sesuatu Negeri selama sesuatu tempoh sahaja, maka habisnya atau tamatnya tempoh itu tidaklah menyentuh kuat kuasa seterusnya mana-mana undang-undang Negeri yang diluluskan menurut kuasa butiran itu, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang persekutuan atau Negeri.

(3) Badan Perundangan Negeri Sabah atau Sarawak boleh juga membuat undang-undang bagi mengenakan cukai jualan, dan apa-apa cukai jualan yang dikenakan oleh undang-undang Negeri di Negeri Sabah atau Sarawak hendaklah disifatkan termasuk dalam perkara-perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Negeri dan tidak dalam Senarai Persekutuan; tetapi--

(a) pada mengenakan atau mentadbirkan sesuatu cukai jualan Negeri, tidaklah boleh ada apa-apa diskriminasi antara barang yang sama perihalannya mengikut tempat asal barang itu; dan

(b) caj bagi apa-apa cukai jualan persekutuan hendaklah dibayar daripada jumlah wang yang dipungut daripada orang yang bertanggungan membayar cukai itu terlebih dahulu sebelum caj bagi sesuatu cukai jualan Negeri.

____________________________________________
CATATAN

Bahagian VI:

Tajuk bab 8 "Negeri-Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah dan Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Per. 95B:

Ditambahkan oleh Akta 26/1963, seksyen 35, berkuat kuasa dari 16-9-1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965, memotong perkataan "dan Singapura" yang terdapat di hujung baris pertama Fasal (1) dan perkataan "yang berkenaan" yang terdapat selepas "tambahan" di permulaan perenggan (a) dan (b).

Nota bahu dan Fasal (1): Perkataan "Negeri-Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah dan Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Fasal (3): Perkataan "sesuatu Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah atau Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas